Tenis China Melangkah Makin Jauh

Dua bulan pertama tahun 2023 menyaksikan pencapaian yang memberangsangkan oleh atlet tenis China. Pada Januari, sejumlah 10 pemain Persatuan Tenis China (CTA) berjaya melayakkan diri ke pusingan utama perseorangan Australian Open 2023, mencipta rekod baharu. Februari, Zhu Lin meraih kejuaraan perseorangan wanita Jelajah WTA buat kali pertama, sementara Wu Yibing johan perseorangan lelaki di Jelajah ATP 250 Dallas. Wu juga pemain CTA pertama yang menjuarai perseorangan Jelajah ATP sepanjang era terbuka. Wu Yibing, Zhang Zhizhen, Shang Juncheng, Zhang Shuai, Zheng Qinwen, Zhu Lin, Wang Xiyu, Wang Xinyu, Yuan Yue, Han Xinyun... Semakin ramai pemain China yang menyerlah di arena antarabangsa.

Wu Yibing (Foto/Xinhua)

Wu Yibing yang dilahirkan pada 1999, bergelar juara perseorangan dan beregu lelaki dalam kumpulan junior US Open pada 2017, namun mengalami masalah kesihatan beberapa tahun berikutnya. Tahun lepas, Wu pertama kali melayakkan diri ke pusingan utama kumpulan dewasa US Open dan menjadi pemain lelaki CTA pertama yang memasuki 32 teratas US Open sepanjang era terbuka.

Pada Februari 2023, Wu meraih kemenangan dalam Jelajah ATP 250 Dallas, menaikkan ranking di dunia ke tangga ke-58, mencipta rekod baharu bagi CTA. Selain itu, Wu juga diberikan slot 'wild card' untuk ATP Masters 1000 Indian Wells yang jatuh pada 8 Mac 2023 selepas lima tahun.

Zhang Zhizhen (Foto/Xinhua)

Pada tahun 2021, Zhang Zhizhen melayakkan diri ke perseorangan lelaki Wimbledon, yang juga pertama kali bagi pemain CTA. Pada 2022, Zhang meraih lapan tempat teratas dalam Jelajah ATP 250 Dallas dan menduduki ranking ke-97 dunia pada masa itu, menjadikannya pemain lelaki CTA pertama yang masuk ranking 100 teratas di dunia.

Zhang menjadi pemain lelaki CTA pertama yang diberikan slot automatik ke pertandingan Masters berdasarkan kedudukan ranking dunia pada 2023 dengan mendapatkan slot ke Australian Open. Namun, Zhang kalah dalam pusingan pertama dan kemungkinan sedang mencari jalan untuk menambah baik prestasinya.

Shang Juncheng (Foto/Xinhua)

Shang Juncheng yang umurnya belum genap 18 tahun juga menarik banyak perhatian di arena Australian Open 2023. Shang memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam pusingan kelayakan dan mara ke pusingan utama, walaupun dalam penyertaan sulungnya pada pertandingan Grand Slam (kumpulan dewasa). Shang juga meraih kemenangan dalam perlawanan pertama Australian Open dengan mengalahkan pemain Jerman, Oscar Otte, sesuatu yang tidak pernah dicapai CTA sebelum itu.

Zhang Shuai (Foto/Xinhua)

Zhang Shuai dilahirkan pada 1989. Selaku pemain wanita tertua yang masih aktif di China, pengalamannya cukup memberikan semangat dan motivasi. Selepas 14 kali kecundang di pusingan pertama Grand Slam, pada 2016 Zhang berjaya meraih kemenangan dalam pusingan utama Wimbledon dan memasuki lapan teratas dalam acara perseorangan wanita. Selepas itu, Zhang meraih kejuaraan beregu wanita dalam Australian Open 2019 dan US Open 2021 dan menduduki ranking kedua di dunia dalam acara beregu.

Walaupun umurnya sudah 34 tahun, Zhang masih aktif beraksi di arena antarabangsa. Awal musim ini, rankingnya dalam acara perseorangan melonjak ke tangga ke-22 dunia, mencatat rekod baharu. Di arena Australian Open 2023, Zhang tersenarai antara 16 teratas dalam acara perseorangan dan melayakkan diri ke pusingan kedua dalam acara beregu. Dalam WTA 500 Abu Dhabi pula, Zhang Shuai bersama Luisa Stefani (pemain Brazil) meraih kejuaraan beregu wanita. Sebagai veteran, kegemilangan Zhang Shuai masih dipertahankan.

Zheng Qinwen (Foto/Xinhua)

Pada 2022, Zheng Qinwen yang baru berusia 20 tahun, memberikan kejutan buat dunia tenis wanita China. Awal tahun lepas, Zheng buat julung kali mara ke pusingan utama perseorangan wanita Australian Open dan meraih kemenangan dalam perlawanan pertama. Dalam French Open yang diadakan pada Mei, Zheng berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga perseorangan wanita, dan menjadi pemain wanita China keempat yang memasuki 16 teratas French Open selepas Zheng Jie, Li Na dan Zhang Shuai. Zheng turut mara ke pusingan ketiga perseorangan wanita dalam Wimbledon dan US Open tahun lepas.

Tahun ini, Zheng Qinwen berjaya mara ke pusingan kedua perseorangan wanita Australian Open dan memasuki empat teratas dalam WTA 500 Abu Dhabi. Dalam ranking terkini, Zheng menduduki tangga ke-24 dan menjadi pemain no.1 di China.

Zhu Lin (Foto/Xinhua)

Zhu Lin yang berusia 29 tahun menetapkan dua matlamat untuk musim baharu. Yang pertama, meraih kejuaraan perseorangan dalam Jelajah WTA. Yang kedua, memperbaiki ranking dunia ke 50 teratas. Di arena Australian Open, Zhu mengalahkan beberapa lawan dan buat kali pertama memasuki 16 teratas perseorangan wanita. Pada 5 Februari, Zhu Lin memenangi kejuaraan perseorangan wanita WTA pertamanya dalam WTA Hua Hin dan memperbaiki ranking dunia ke tangga ke-41, mencipta rekod peribadi. Hanya dalam satu bulan, Zhu sudah merealisasikan matlamatnya. Selepas itu, Zhu juga berjaya memasuki empat teratas dalam WTA 250 Monterrey, memperbaiki ranking dunia ke tangga ke-33, sekali lagi mencipta rekod baharu peribadi. Zhu dipercayai mampu mencipta lebih banyak rekod baharu pada masa kelak. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan