Alat Muzik Naikkan Nama Kampung Xinjiang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 07 April 2023

Sebaik sahaja masuk ke studio tukang alat muzik ternama, Ayit Imin di kampung Jiayi, kaunti Xinhe, wilayah autonomi Xinjiang, kelihatan pelbagai alat muzik tradisional Uygur digantung pada dinding, termasuklah tanbur, dutar, rubab, sataer, ghijak, dap dan sebagainya.

Alat muzik telah menaikkan nama kampung terpencil ini hingga menjadi begitu terkenal, sama sekali tidak disangka-sangka oleh penduduknya. Tahun-tahun kebelakangan ini, rumah Ayit Imin berkali-kali dikunjungi wartawan. Keternamaannya turut memberi manfaat kepada kampung Jiayi.

Pokok mulberi sebagai harta

Ayit Imin telah lebih 50 tahun menceburi pembuatan alat muzik. Lima generasi keluarganya menjadikan seni ini sebagai sumber rezeki. Katanya, “Saya dibesarkan dengan dikelilingi bahan untuk membuat alat muzik, kemahiran ini diwarisi daripada ayah saya. Pembuatan alat muzik bersejarah selama lebih 300 tahun di kampung ini. Saya menceburi bidang ini pada usia 15 tahun. Ketika itu, terdapat hanya dua atau tiga orang tukang alat muzik. Namun kini hampir setiap keluarga terlibat dalam industri berkenaan.”

Bagi Ayit, selaku seorang tukang alat muzik Uygur, pokok mulberi yang paling biasa ditemui di kampung Jiayi adalah harta yang tidak ternilai. Kayunya adalah bahan mentah bagi banyak alat muzik. “Misalnya, pembuatan sataer memerlukan kayu pokok mulberi dan juga tulang unta, mengambil masa kira-kira tiga bulan,” menurut Ayit.

Kampung Jiayi kini digelar sebagai “Kampung No.1 bagi Pembuatan Alat Muzik Rakyat Xinjiang”, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan tempatan. Kini hampir setiap keluarga terlibat dalam industri berkenaan, contohnya ada yang diupah oleh kilang alat muzik, ada yang membuka kedai alat muzik, dan ada juga yang menjadi pemandu pelancong di tempat percutian bertema alat muzik di kampung itu.

Pada Jun 2008, teknik pembuatan alat muzik kampung Jiayi disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara peringkat negara. Pada 2012, Ayit Imin pula diiktiraf sebagai wakil pewaris warisan budaya tidak ketara peringkat negara.

Ayit Imin main muzik untuk tetamu yang berkunjung ke studionya pada 23 Mei 2022. (Foto/Xinjiang Daily)

Ayit Imin main muzik untuk tetamu yang berkunjung ke studionya pada 23 Mei 2022. (Foto/Xinjiang Daily)

Murid seramai 200 orang

Musim panas tahun 1976, tangan kiri Ayit Imin tercacat akibat kemalangan, satu tamparan yang cukup perit bagi seorang tukang alat muzik. Dengan sokongan dan bantuan keluarga, beliau membiasakan diri untuk membuat alat muzik dengan tangan kanan tiga tahun kemudian.

Pada tahun 2008, beliau mengambil seorang murid yang juga kurang upaya, yang kini telahpun mempunyai muridnya sendiri.

Kata Ayit Imin, setakat ini beliau telah mengajar lebih 200 orang murid yang enam antaranya adalah pemuda kurang upaya, dan mengajarkan segala sesuatu kepada mereka supaya mereka dapat mencari rezeki dengan membuat alat muzik.

Ayit Imin yang dalam keadaan sakit memeriksa alat muzik yang dibuat muridnya pada 6 Februari 2023. (Foto/Xinjiang Daily)

Ayit Imin yang dalam keadaan sakit memeriksa alat muzik yang dibuat muridnya pada 6 Februari 2023. (Foto/Xinjiang Daily)

Anak rantau kembali cari rezeki di kampung

“Kampung Jiayi yang dulu bukanlah makmur seperti masa ini.” Menurut pegawai tempatan, integrasi serta berkembangnya sektor kesenian dan sektor pelancongannya yang digalakkan kerajaan tempatan membawa manfaat yang cukup besar bagi kampung itu.

Dimaklumkan bahawa, semakin ramai pemuda yang dulu mencari rezeki di luar kini pulang dan mempelajari cara membuat alat muzik dengan para pewaris warisan budaya.

Ada juga pemuda yang berjaya dalam usaha mereka dengan menjual alat muzik melalui e-dagang strim langsung. Kini, jualan tahunan alat muzik di kampung Jiayi mencatat lebih 20,000. Jumlah nilai jualan pada 2022 mencecah 18 juta yuan (11.52 juta ringgit), bahkan menjangkau ke pasaran luar negara.

Gaya Hidup