- Lain-lain
China, Benin Jalin Perkongsian Strategik
Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Benin, Patrice Athanase Guillaume Talon bersama-sama mengumumkan penjalinan perkongsian strategik antara dua negara.
Pengumuman itu dibuat semasa pertemuan antara Xi dengan Talon yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing pada Jumaat.
Xi menyatakan China amat mementingkan perkembangan hubungan dengan Benin, dan bersedia mempererat interaksi di semua peringkat, memperkasa kerjasama saling untung dalam pelbagai bidang, sekali gus melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu.
China juga mahu meningkatkan pertukaran dua hala dalam tadbir urus negara, berkongsi pengalaman dari segi pembaharuan dan pembangunan, serta teguh menyokong satu sama lain ke arah mewujudkan pembangunan bersama.
Xi berkata China menggalakkan perusahaan domestik melabur dan menjalankan kerjasama di Benin, dan mengalu-alukan Benin memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti ke pasaran China dengan memanfaatkan platform seperti Sidang Kemuncak Perdagangan Perkhidmatan Global serta Ekspo Ekonomi dan Perdagangan China-Afrika.
China akan terus bekerjasama dengan negara-negara Afrika termasuk Benin untuk melaksanakan hasil Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC), dan menggalakkan penyelarasan secara mendalam antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dengan Agenda Kesatuan Afrika (AU) 2063 dan strategi pembangunan negara Afrika.
Di samping itu, China akan menyokong Afrika dalam usaha mencapai pemulihan ekonomi dan pembangunan mampan, sambil bersinergi membina komuniti berkongsi nasib pada era baharu.
Sementara itu, Talon menyifatkan jalinan kerjasama yang berkualiti dan saling menguntungkan dengan China akan menggerakkan proses pengindustrian Benin dan membantu Benin mencapai pembangunan negara dengan lebih baik.
Beliau berkata Benin mendapat banyak manfaat daripada pengalaman China dalam tadbir urus negara, dan bersedia bersama-sama China membina perkongsian strategik yang jitu dan memperdalam kerjasama saling untung melibatkan segenap aspek.