Animasi, Wadah Pererat Persahabatan China-Serbia

Baru-baru ini, satu tayangan filem diadakan di Pusat Kebudayaan Serbia di Beijing, menampilkan filem animasi henti-gerak yang merangkumi elemen-elemen berkaitan dengan kanak-kanak seperti boneka, tanah liat, kolaj, lukisan pasir dan lukisan tangan.

Sejumlah 10 filem animasi ciptaan Pusat Pengajian Filem Animasi Vranje Serbia ditayangkan pada acara tersebut, sekali gus menarik perhatian penggiat dan penggemar filem animasi China.

“Sekolah yang ditubuhkan pada 1980-an itu kini telah berkembang menjadi institut awam Serbia yang berperanan penting dalam menggalakkan pertukaran dan perkembangan bidang tersebut.

“Ini kali pertama saya melawat ke China, dan lawatan ini cukup menarik buat saya,” ujar Jasmina Stojanovic, Canselor Pusat Pengajian Filem Animasi Vranje Serbia ketika diwawancara People’s Daily Online

Beliau berharap acara tersebut dapat membantu penonton China untuk lebih mengenali tentang Serbia, secara tidak langsung memperdalam persefahaman rakyat kedua-dua negara.

SneZana Trajkovic, pensyarah di pusat pengajian itu pula menzahirkan harapan untuk dapat banyak berkomunikasi dengan penggiat industri di China dalam usaha tersebut.

“Ini merupakan satu gabungan yang membawa impak positif,” kata Wendy, mahasiswa Pusat Pengajian Animasi dan Seni Digital, Universiti Komunikasi China.

Guo Kun, penonton yang telah lama merancang untuk melancong ke Serbia bersama-sama dengan anaknya turut akur bahawa aktiviti sedemikian memupuk lagi minatnya terhadap budaya Serbia.

Dia turut berhasrat agar lebih banyak lagi aktiviti yang serupa dapat diadakan agar boleh membantu masyarakat China mengenali Serbia, sementara rakyat kedua-kedua negara pula dapat menjadi lebih rapat.

Video

Berita Berkaitan