- Lain-lain
Pembuat Kapal China Dalam Transisi Menuju Ke Arah Tenaga Bersih
Di limbungan kapal yang sibuk di Teluk Haixi yang terletak di Kawasan Baru Xihai'an (Pantai Barat) Qingdao, provinsi Shandong di timur China, para pekerja dilihat sedang giat mengimpal plat keluli di barisan pengeluaran.
"Pesanan kami penuh sehingga 2028. Dengan jadual yang padat dan beban kerja yang berat, kami perlu memastikan pengeluaran berjalan tanpa henti," kata Chen Zhihua, timbalan pengarah jabatan perancangan di China State Shipbuilding Corporation Qingdao Beihai Shipbuilding Co., Ltd. (Pembinaan Kapal Beihai).
Meskipun mempunyai banyak pesanan ketika ini, syarikat itu pernah melalui tempoh peralihan yang penuh cabaran.
Foto yang diambil pada 24 September 2024 menunjukkan pemandangan hiruk-pikuk Kapal Teluk Haixi dan Pangkalan Perindustrian Kejuruteraan Marin di Kawasan Baru Xihai'an (Pantai Barat) Qingdao, provinsi Shandong di timur China. (People’s Daily Online/Han Jiajun)
Terdahulu, industri perkapalan antarabangsa sangat bergantung kepada bahan api diesel, dan model kapal syarikat yang digunakan sebelum ini berkuasa diesel.
Namun, pada beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran tersebut telah mengalami perubahan ketara, dengan piawaian pelepasan kapal yang semakin ketat khususnya dalam perkapalan antarabangsa.
"Pada masa kini, hampir mustahil untuk mendapatkan tempahan daripada pemilik kapal antarabangsa jika anda tidak membangunkan kapal tenaga bersih," jelas Chen.
Transformasi syarikat juga menjadi keutamaan selepas pasaran itu mengemukakan permintaan baharu.
"Gas asli cecair (LNG) kini merupakan bahan api kapal paling selamat dan paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan di bawah keadaan ekonomi dan teknologi sedia ada," kata Li Zhonggang, ketua pasukan reka bentuk Beihai Shipbuilding.
Selepas penyelidikan menyeluruh, pasukan itu memutuskan untuk memperkenalkan kapal bahan api LNG sebagai kapal rendah karbon pertama mereka, dan memilih untuk membangunkan kapal pengangkut pukal 210,000 tan, iaitu jenis kapal yang mempunyai permintaan tinggi serta tulang belakang kepada armada perkapalan pukal global.
Semasa proses mereka bentuk, pasukan tersebut telah mendepani cabaran penting iaitu mengawal gas sejat dan mengekalkan tekanan yang betul dalam tangki bahan api LNG kapal.
Menggunakan dandang untuk membakar lebihan gas sejat akan meningkatkan penggunaan tenaga dan pelepasan sambil meningkatkan kos operasi, sementara menggunakan set penjana dwi-bahan api untuk menggunakan gas tersejat pula merupakan langkah yang tidak cekap.
Untuk menangani kesesakan teknikal, pasukan tersebut membangunkan sistem simulasi secara sendiri. Pada awal 2021, selepas ratusan simulasi dan beberapa pusingan ujian model tangki air, Beihai Shipbuilding akhirnya mengatasi halangan teknikal dan berjaya membangunkan pembawa pukal dwi-bahan api LNG 210,000 tan.
Seorang pemilik kapal asing yang tertarik dengan berita itu telah meneliti reka bentuk dan segera memesan tiga kapal.
Berbanding dengan kapal pengangkutan yang dikuasakan oleh bahan api tradisional, kapal baharu tersebut mengurangkan penggunaan bahan api harian sebanyak 1.9 tan, pelepasan nitrogen oksida sebanyak lebih 25 peratus, pelepasan karbon monoksida sebanyak lebih 30 peratus, dan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 20 peratus.
Selain itu, ia hampir tidak mengeluarkan sulfur oksida. Faedah ekonomi dan ekologi meningkat dengan ketara.
China State Shipbuilding Corporation Qingdao Beihai Shipbuilding Co., Ltd. menghantar pengangkut pukal dwi-bahan api LNG 210,000 tan ketiga kepada syarikat Korea Selatan H-Line, 22 Januari 2024. (Foto daripada akaun rasmi WeChat China State Shipbuilding Corporation Qingdao Beihai Shipbuilding Co., Ltd.)
Setakat ini, Beihai Shipbuilding telah menerima tempahan untuk 64 kapal, dengan jumlah nilai mencecah hampir RMB35.44 bilion (AS$4.98 bilion).
Difahamkan, tujuh daripada 64 kapal tersebut merupakan pengangkut pukal dwi-bahan api LNG seberat 210,000 tan. Selain itu, kapal tenaga baharu yang dikuasakan oleh ammonia dan metanol menyumbang 87.5 peratus daripada tempahan.
Dengan tempahan yang saban meningkat, Beihai Shipbuilding yakin dengan keupayaan pengeluarannya. Teluk Haixi, yang menempatkan kluster pembinaan kapal, kejuruteraan marin dan pelbagai perusahaan sokongan, kini mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 6.68 juta tan pembinaan kapal, lebih 200 pembaikan kapal dan 500,000 tan pemprosesan keluli kejuruteraan marin.
Syarikat dalam industri, termasuk CSSC Engine Co., Ltd. dan Qingdao Haixi Heavy Industry Co., Ltd. telah melabur dan membina kilang di Pangkalan Perindustrian Kejuruteraan Laut dan Kapal Teluk Haixi.
CSSC Engine Co., Ltd. turut membeli aci engkol enjin yang dihasilkan oleh Qingdao Haixi Heavy Industry Co., Ltd. dan kemudian membekalkan enjin kapal ke Beihai Shipbuilding. Kerjasama erat antara perusahaan huluan dan hiliran ini telah meningkatkan kadar bekalan tempatan enjin kapal kepada 89 peratus.
Kini, dengan tempahan untuk pembawa pukal berkuasa ammonia yang besar, syarikat atas dan bawah rantaian industri melabur dalam projek penyelidikan baharu, bekerjasama dalam pembangunan dan pengeluaran enjin bahan api ammonia.
Sebagai sumber tenaga bersih sifar karbon dengan potensi pembangunan yang besar, ammonia tidak mengeluarkan karbon dioksida semasa pembakaran, sekali gus mencerminkan matlamat baharu untuk pangkalan pembinaan kapal.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri pembinaan kapal China terus bertambah baik secara keseluruhan, mengekalkan bahagian utama dalam pasaran antarabangsa dan terus meningkatkan daya saingnya.
Malah, struktur tempahan kapal baharu juga telah dioptimumkan secara berterusan, dengan dorongan dipercepatkan ke arah penyelesaian hijau dan rendah karbon.
Untuk rekod, pada 2023, China menduduki tempat pertama di peringkat global dalam tempahan baharu untuk 14 daripada 18 jenis kapal utama. Pesanan untuk kapal hijau, seperti yang dikuasakan oleh LNG dan metanol, telah berkembang dengan pesat.
Kejayaan demi kejayaan telah terhasil dalam pesanan untuk kapal sifar karbon, termasuk yang menggunakan sel bahan api hidrogen dengan China menerima 57 peratus tempahan baharu untuk kapal hijau di seluruh dunia.
- Lebih 70% Tempahan Kapal Hijau Dunia Jadi Pegangan China
- Industri Pembinaan Kapal China Meningkat Pada Separuh Pertama 2024
- China Bina Kapal Kontena Tenaga Ammonia Pertama di Dunia
- Tiga Indeks Pembuatan Kapal China Meningkat pada 2023
- Kapal Persiaran Besar Buatan China Pertama akan Diserah pada 4 Nov
- Kapal Kontena Terbesar Diserah kepada Pelanggan di Shanghai
- Industri Pembinaan Kapal China Berkembang Mantap pada S1