- Lain-lain
China Dorong Penghapusan Halangan Perdagangan, Aktif Galak Agenda Ekonomi Hijau, Main Peranan Penting dalam APEC
China dengan teguh mempertahankan sistem perdagangan multilateral dan giat menggalakkan integrasi ekonomi serantau, menurut pandangan ahli parlimen Malaysia Lee Chean Chung.
Lee yang juga pengerusi Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) memuji komitmen China mendorong pemansuhan halangan perdagangan dan pelaburan, menyokong agenda ekonomi hijau, dan menangani isu perubahan iklim.
Bercakap dalam temu bual eksklusif bersama People’s Daily Online di Beijing baru-baru ini, beliau menyatakan China telah bertahun-tahun lamanya memainkan peranan penting dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Sejak keanggotaannya pada 1991, China telah menjadi penyangga sistem perdagangan multilateral yang menyokong iklim perdagangan antarabangsa bebas dan terbuka berlandaskan peraturan, di samping membantu memacu pemudahan perdagangan.
China dan ASEAN rakan dagang terbesar satu sama lain. Semasa pertemuan pemimpin China-ASEAN ke-27 pada Oktober tahun ini, kedua-dua pihak mengumumkan pemuktamadan substantif rundingan berkaitan versi 3.0 Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN.
Dilihat sebagai tanda kerjasama ekonomi dua hala semakin intensif, Lee yakin perkembangan ini akan menyuntik lagi momentum kepada integrasi ekonomi Asia Timur bahkan memangkinkan kewujudan sebuah komuniti berkongsi masa depan China-ASEAN yang lebih erat.
“Integrasi ekonomi rantau ini akan menyumbang kepada pencapaian matlamat jangka panjang APEC iaitu mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP),” ujarnya.
Versi 3.0 Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN meliputi ekonomi digital, ekonomi hijau, ketersambungan rantaian bekalan dan sebagainya, bidang-bidang baru muncul yang telah mempertingkatkan tahap liberalisasi serta pemudahan perdagangan dan pelaburan. Lee menekankan, ini sejajar dengan sasaran APEC untuk mengurangkan halangan perdagangan serta menggalakkan aliran bebas barangan dan perkhidmatan di dalam rantau.
Pada masa yang sama, beliau juga berkata bahawa kerjasama lebih mantap antara China dengan ASEAN dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan pertukaran budaya mencerminkan semangat kerjasama saling menguntungkan yang diseru oleh APEC.
Lee percaya kesignifikanan peranan China dalam APEC dapat dilihat daripada perhatian negara ini terhadap perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari, begitu juga dalam menyokong agenda ekonomi hijau dan menangani cabaran-cabaran ekoran perubahan iklim.
Katanya, “keharmonian manusia dan alam” yang dititikberatkan dalam jalan pemodenan gaya sendiri China mempunyai titik persamaan nyata dengan konsep “kemampanan” yang menjadi salah satu tonggak gagasan Malaysia Madani. Kedua-duanya mengejar pembangunan mampan, perlindungan ekologi dan kebajikan sosial, menunjukkan adanya asas dan potensi kukuh untuk jalinan sinergi yang berfokus pada pembangunan hijau.
China dan Malaysia sama-sama mengutamakan keseimbangan pembangunan ekonomi dan pelindungan alam sekitar, bertekad memajukan ekonomi hijau dan pembangunan karbon rendah.
“Ini memperlihatkan pertimbangan terhadap pembangunan jangka panjang, khususnya dalam menangani perubahan iklim, memulihara sumber dan mendorong transformasi ekonomi hijau,” kata beliau.
Lee juga menyanjung tinggi pengalaman serta pencapaian China dalam pembangunan tamadun ekologi, menyatakan China dan Malaysia mempunyai potensi yang amat luas untuk bekerjasama dalam begitu banyak bidang yang berkenaan.
Salah satu bidang kerjasama yang sesuai diteroka lagi ialah tenaga dan teknologi boleh baharu. China kaya dengan pengalaman dalam teknologi seumpama seperti tenaga suria dan angin, sementara Malaysia juga sedang giat membangunkan sektor tenaga hijau. Lee melihat terdapat ruang kerjasama melibatkan pembangunan tenaga bersih, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti untuk membantu Malaysia mencapai matlamat pembangunan tenaga hijaunya.
Yang kedua ialah kewangan hijau. China dan Malaysia mampu merancakkan lagi usaha sama dalam bidang ini, memandangkan permintaan yang semakin meningkat di peringkat global. Menubuhkan dana pelaburan hijau, mempromosikan bon hijau dan memajukan perdagangan pasaran karbon, antara langkah yang boleh diambil kedua-dua pihak untuk bersama-sama mendorong transformasi ekonomi hijau.
Menyentuh teknologi perlindungan alam sekitar dan pembangunan bandar secara lestari, Lee menganggap China telah banyak menghimpun pengalaman termasuk dari segi bandar pintar dan perlindungan alam secara pintar. Kedua-dua negara boleh mengintensifkan lagi sinergi meliputi bidang-bidang seperti rawatan air buangan, kawalan gas ekzos dan pengurusan sisa pepejal, terutamanya sewaktu meneroka penyelesaian inovatif bagi pembinaan bandar mesra alam pintar.
Akhir sekali, perlindungan ekologi dan kepelbagaian biologi. Pengalaman China dalam pemulihan ekologi dan pengurusan cagar alam boleh menjadi rujukan kepada Malaysia dalam aspek-aspek seperti perlindungan hutan hujan tropika dan ekologi marin. Kedua-dua negara boleh menjalankan kerjasama praktikal berkaitan pemuliharaan biodiversiti, ekopelancongan, pengurusan sumber asli dan sebagainya.
Mengulas selaku presiden Persatuan Penggalakan Teknologi China-Malaysia, Lee merasakan wajar bagi kedua-dua negara memperkasakan kerjasama membabitkan kecerdasan buatan, analisis data raya, penderiaan jarak jauh satelit, sains farmasi dan sumber tenaga baharu yang mesra alam.
“Selain interaksi kerajaan ke kerajaan, kedua-dua negara juga patut memperkukuh pertukaran antara industri, persatuan teknologi, badan penyelidikan dan universiti,” ujarnya, sambil menyarankan perlunya pertukaran dan pemindahan teknologi dari pelbagai sudut.
Lee Chean Chung (dua dari kiri) bersama-sama delegasi Perdana Menteri Malaysia diberi taklimat semasa melawat ke Beijing, pada 7 November 2024.
Guizhou Warna-warni, Jendela Media Asia Pasifik Intai Peluang di China
Sekilas Teknologi AI yang Dipamerkan pada CIIE ke-7
Understanding China | Bagaimanakah China, dengan populasinya yang besar, dapat merealisasikan pemodenan?
Understanding China | Jalan pemodenan China berteraskan keharmonian manusia dan alam
Jalan-jalan Bandar: Menelusuri Jalan Kebudayaan Purba Tianjin
- Dagangan China, Entiti APEC Baharui Rekod
- Dagangan China, Entiti APEC Baharui Rekod
- Tinjauan CGTN: Peranan China Pacu Kerjasama APEC Disanjung Tinggi
- Xi Berlepas Menuju Lima untuk Mesyuarat APEC, Lawatan Rasmi ke Peru
- APEC Tetap Enjin Dinamik Pertumbuhan Ekonomi Global
- Xi akan Hadir Meyuarat APEC, Sidang Kemuncak G20, Lawat Peru, Brazil
- Masa Depan Hubungan China-AS Bergantung pada Rakyat
- Pertemuan Pemimpin China, AS Beri Mesej Positif: Tokoh Jepun
- Xi Syor Cipta Lagi 'Tiga Dekad Keemasan' Pembangunan Asia Pasifik
- Tokoh-tokoh Antarabangsa Sanjung Tinggi Ucapan Xi di APEC