- Lain-lain
Syarikat Asing Jadikan WIMC 2024 Platform Untuk Terokai Peluang Pasaran China
Seorang peserta sedang berinteraksi dengan robot semasa Persidangan Pembuatan Pintar Dunia 2024 yang membuka tirainya di Pusat Ekspo Antarabangsa Nanjing, Provinsi Jiangsu, timur China pada 20 Disember 2024. (Foto/Su Yang)
Persidangan Pembuatan Pintar Dunia (WIMC) 2024 yang berlangsung selama tiga hari melabuhkan tirainya di Nanjing, Provinsi Jiangsu pada Ahad, dengan menarik penyertaan perusahaan dari hampir 10 negara dan wilayah, yang sebahagian besarnya mempersembahkan produk dan teknologi termaju terkini.
Pada persidangan itu, perusahaan dari dalam dan luar negara telah mengambil bahagian untuk menunjukkan produk terkini masing-masing yang meliputi 20 sektor pembuatan utama termasuk eVTOL, robot bermanusia dan tenaga baharu.
Memetik laporan Global Times, sebanyak 263 syarikat telah menyertai persidangan itu, dengan 51 daripadanya adalah antara 500 syarikat dan syarikat perwakilan industri terkemuka dunia.
Syarikat asing turut mengambil kesempatan itu untuk memanfaatkan potensi pasaran China yang luas. LG Energy Solution, sebuah syarikat teknologi Korea Selatan, mengambil bahagian dalam pameran itu buat kali pertama, dan menerbangkan sekumpulan produk bateri terbarunya ke negara Tembok Besar.
Pada majlis penutupan WIMC 2024, syarikat itu turut menubuhkan ibu pejabatnya secara rasmi di Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Nanjing, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meneroka pasaran China, dan berikrar untuk meningkatkan lagi pelaburan dalam pasaran China serta terus meningkatkan daya saing terasnya.
Mengulas mengenai penganjuran WIMC, felow penyelidik madya di Akademi Sains Sosial Beijing, Wang Peng menyifatkan ia sebagai membantu dalam memberikan pemahaman secara mendalam terhadap trend dan hala tuju dasar terkini berhubung pembangunan tenaga produktif berkualiti baharu di China.
Kementerian Teknologi Maklumat dan Industri (MIIT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sektor pembuatan China sedang mengalami transformasi pesat ke arah pembuatan pintar, dengan banyak industri baru muncul.
Jelas kementerian itu, China telah mewujudkan 50 standard antarabangsa untuk pembuatan pintar, dan mempunyai lebih daripada 6,500 penyedia penyelesaian sistem pembuatan pintar, sekali gus menawarkan perkhidmatan yang merangkumi kesemua sektor pembuatan.
- China Ikrar Dorong Pembangunan AI yang Inklusif dan Universal
- Dialog Kerajaan China-AS Bincangkan Topik AI
- Gala AI Pertama Dianjur Dengan Jaya di Beijing
- Persidangan AI Dunia 2023 di Shanghai
- Industri Kejenteraan Beralih ke Arah Pintar dan Hijau
- Gim Layan Diri Pintar Beri Manfaat kepada Penduduk Xiamen
- Skylight Pintar Gergasi Siap Dibina di Stesen Xiamenbei
- Robot Beri Pengunjung Rasa Masa Depan