Kementerian Perumahan China Ikrar Stabilkan Industri Hartanah Pada 2025

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 25 Disember 2024

Agensi berita Global Times hari ini melaporkan bahawa Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Desa telah merencanakan tugas-tugas utama untuk tahun depan, dan berjanji untuk melipat gandakan usaha bagi menstabilkan pasaran hartanah China.

Kementerian itu menyatakan bahawa usaha akan digembleng bagi memupuk model pembangunan baharu untuk sektor hartanah, dan mempercepat projek pemulihan rumah-rumah lama di bandar sekitar China pada masa yang sama.

Menurut kenyataan kementerian tersebut semasa persidangan kerja tahunan selama dua hari di ibu negara China itu, ia juga akan menambah usaha untuk menzahirkan potensi pemintaan pasaran, sambil memperbaiki bekalan pasaran menjelang tahun baru nanti.

Difahamkan, kerajaan juga akan terus mengembangkan skala pemulihan perumahan lama di pusat bandar, dalam usaha untuk menghapuskan bahaya keselamatan yang tersembunyi, dan menambah baik keadaan kehidupan penduduk.

Bagi memperbaiki bekalan pasaran, kementerian itu juga berkata bahawa pembinaan lebih banyak rumah komersial akan diperketat supaya stok rumah sedia ada ketika ini dapat dioptimumkan.

Kementerian itu turut melaporkan bahawa transaksi pangsapuri baharu telah mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dan bulan ke bulan pada Oktober dan November, dengan 3.38 juta unit rumah telah disiapkan pada tahun ini.

Semasa Persidangan Kerja Ekonomi Pusat yang diadakan pada awal Disember, penggubal dasar China memutuskan bahawa usaha perlu dilakukan secara berterusan untuk memulihkan sektor hartanah yang merosot, mengawal bekalan tanah bandar untuk pembangunan perumahan secara munasabah, dan menggalakkan penubuhan model baharu untuk industri.

Video

Berita Berkaitan