- Lain-lain
19 Warga Asing Antara Kumpulan Pertama Cef Hotpot Berlesen China
![]() |
Pelanggan menjamu selera di sebuah restoran hotpot di daerah Jiulongpo, Chongqing, barat daya China, 2 Ogos 2023. (Xinhua/Liu Chan) |
Seramai 54 individu termasuk 19 warga asing menerima sijil kemahiran vokasional sebagai “cef hotpot” Jumaat lepas, menjadikan mereka kumpulan pertama tukang masak profesional yang mendapat pengiktirafan rasmi untuk bidang kerja ini di China.
Selepas lulus peperiksaan memasak, pekerja mahir ini yang berasal dari negara-negara seperti Poland, Pakistan dan Ghana dikurniai sijil pelbagai tahap pada majlis pelancaran Sijil Kemahiran Antarabangsa Jalur dan Laluan di Chongqing, barat daya China, Jumaat.
“Saya gembira dapat lulus peperiksaan pensijilan ini dan menerima sijil sebagai cef hotpot tahap junior,” ujar Claudia Katarzyna Bzyl, pelajar warga Poland di Sekolah Pentadbiran Ekonomi dan Perniagaan Universiti Chongqing. Katanya lagi, selepas mengikuti latihan secara sistematik, dia kini lebih memahami hotpot Chongqing dan gemar akan budaya makanan tempatan.
“Saya akan terus belajar, dan merancang membuka restoran hotpot Chongqing di Poland. Dengan itu, orang (sana) boleh menikmati cita rasa Chongqing.
Peranan cef hotpot diiktiraf secara rasmi dalam kod klasifikasi pekerjaan China edisi tahun 2022. Piawaian terperinci yang menggariskan definisi pekerjaan tersebut, tahap kemahiran dan syarat-syarat latihan vokasional turut diterbitkan pada bulan Februari oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jaminan Sosial China bersama Kementerian Perdagangan.
Terkenal di seluruh negara kerana hotpotnya yang pedas, Chongqing merintis jalan dalam merumuskan piawaian industri berkenaan. Setakat Jun 2024, bandar itu memiliki sekitar 37,000 restoran hotpot, dengan jumlah output rantaian industri hotpot mencecah 300 bilion yuan, menurut Suruhanjaya Perdagangan Bandar Chongqing.
Acara kali ini dihoskan oleh Biro Sumber Manusia dan Jaminan Sosial Chongqing.
Memetik ketua biro Xie Liguo, Chongqing telah melakar kemajuan signifikan dalam menubuhkan sebuah sistem penilaian antarabangsa bagi bakat mahir.
Pada majlis yang sama, Chongqing turut melancarkan sijil kemahiran antarabangsa lain yang meliputi pelbagai sektor termasuk katering, logistik, Internet dan tenaga baharu. Selain itu, badan-badan tempatan turut menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pensijilan kemahiran dengan TüV Rheinland (China) Ltd., pembekal khidmat ujian dan pensijilan terkemuka yang beribu pejabat di Jerman.
![]() |
Perantis belajar menyediakan hotpot di sebuah restoran hotpot di daerah Nan’an, Chongqing, barat daya China, 9 Mac 2024. (Xinhua) |