Maraton Jadi Pemangkin Baharu Pertumbuhan Ekonomi, Kesihatan Awam di China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 14 Januari 2025

Acara maraton dengan Label Platinum pertama tahun ini, iaitu Xiamen Marathon telah berlangsung dengan jayanya di Xiamen, Provinsi Fujian di tenggara China pada 5 Januari lalu – menarik sekitar 35,000 peserta dari lebih 40 negara dan wilayah.

Pada tahun lalu, China telah menganjurkan sejumlah 671 pertandingan larian yang meliputi 31 wilayah bertaraf provinsi, 261 bandar serta 537 daerah dan kaunti. Pada bulan November sahaja, sebanyak 114 pertandingan larian telah diadakan di China, dengan 31 acara maraton diadakan secara serentak pada 3 November.

Peserta memulakan larian di garisan permulaan pada Xiamen Marathon 2025 di Xiamen, Provinsi Fujian, tenggara China pada 5 Januari 2024. (Xinhua/Wei Peiquan)

Peserta memulakan larian di garisan permulaan pada Xiamen Marathon 2025 di Xiamen, Provinsi Fujian, tenggara China pada 5 Januari 2024. (Xinhua/Wei Peiquan)

Zhao Yilong dari Institut Sains Sukan China berpendapat bahawa ledakan sukan larian di China telah memainkan peranan penting dalam menambah baik kesihatan awam, memenuhi aspirasi orang ramai untuk mempunyai kehidupan lebih baik, mendorong pembangunan sosio-ekonomi, dan mencerminkan kuasa lembut kebudayaan bandar tersebut.

Meskipun jumlah acara tersebut diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ramai pelari China masih gagal untuk menyertainya. Sebagai contoh, angka individu yang memohon untuk mendaftar Xiamen Marathon adalah lebih daripada 180,000, manakala yang terpilih pula adalah seramai 35,000 individu.

Untuk rekod, angka 180,000 tersebut merupakan rekod baharu dalam permohonan pendaftaran bagi acara maraton penuh di China. Daripada jumlah itu, 65,000 daripadanya merupakan pemohon pendaftaran buat pertama kali, iaitu peningkatan lebih daripada 60 peratus.

Memetik laporan Pusat Penyelidikan Ekonomi Sukan China di bawah Institut Sains Sukan China, peserta pertengahan umur telah menjadi tunjang kepada pertandingan larian, dengan individu yang berumur 40 tahun ke atas merupakan peserta paling ramai dalam kumpulan itu.

Difahamkan, antara pendorong utama di sebalik penyertaan acara larian tersebut adalah untuk memiliki kesihatan fizikal, mencari kepuasan mental, dan mengurangkan tekanan.

Laporan oleh pusat penyelidikan itu menunjukkan bahawa acara larian mampu menambah baik mental dan fizikal peserta, serta memberi impak positif pada keseluruhan kesihatan, pengurusan tekanan dan kegembiraan.

Pada masa sama, acara larian juga telah mendorong kepada penggunaan, yang menjadi antara faktor utama dalam pembangunan ekonomi sukan.

Menurut laporan tersebut, penggunaan oleh pelari yang berdaftar telah melebihi RMB13.3 bilion pada 2023, dengan perbelanjaan terus seperti pakaian dan peralatan sukan, sehingga pendaftaran larian dan penjagaan kesihatan, direkodkan telah melepasi RMB8.2 bilion, berbanding perbelanjaan secara tidak terus sebanyak sekitar RMB5 bilion.

  Seorang pengunjung sedang memilih kasut larian pada Ekspo Maraton China ke-6 di Xiamen, Provinsi Fujian di tenggara China. (Xinhua/Wei Peiquan)

Seorang pengunjung sedang memilih kasut larian pada Ekspo Maraton China ke-6 di Xiamen, Provinsi Fujian di tenggara China. (Xinhua/Wei Peiquan)

Persatuan Olahraga China dalam statistik yang dikeluarkannya menunjukkan bahawa lebih daripada 90 peratus pelari telah membuat pelaburan dalam pembelian peralatan keselamatan, dengan 30.21 peratus telah membelanjakan lebih daripada RMB2,000.

Selain itu, 59.34 peratus pelari telah berbelanja lebih daripada RMB1,000 terhadap peranti boleh pakai, dengan 10 peratus daripadanya membelanjakan lebih daripada RMB5,000.

Zhang Yehan, naib dekan Institut Ekonomi dan Pengurusan di bawah Universiti Sukan Shanghai memaklumkan bahawa jualan barangan berkaitan sukan pada platform e-dagang gergasi China, JD.com pada 2024 telah melonjak beberapa kali ganda berbanding 2019.

Bagi bandar tuan rumah, maraton telah berkembang melangkaui acara sukan sahaja, dengan mempamerkan daya hidup bandar dan daya tarikan budaya, sambil memacu pertumbuhan ekonomi.

"Dengan pembangunan berterusan industri maraton China, kemampanan telah menjadi titik penting untuk pembangunan acara maraton yang berkualiti tinggi," kata Wang Xiaoying, bendahari Persatuan Olahraga China.

Wang menyeru semua penganjur untuk menerapkan konsep pembangunan mampan ke dalam setiap penganjuran acara maraton, sekali gus membantu acara ini menjadi simbol berkilauan bagi setiap bandar.

Video

Berita Berkaitan