TBC 2025: Cuti Panjang 8 Hari Dorong Penggunaan, Pelancongan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 05 Februari 2025
TBC 2025: Cuti Panjang 8 Hari Dorong Penggunaan, Pelancongan
Foto orang ramai melintasi poster filem di sebuah pawagam di Shenyang, Provinsi Liaoning, pada 4 Februari 2025. (Xinhua/Li Gang)

China menyaksikan ledakan dalam aktiviti beli-belah dan pelancongan susulan daripada pergerakan pulang ke kampung oleh ratusan juta rakyatnya sempena cuti panjang Tahun Baru Cina (TBC) selama lapan hari yang melabuhkan tirainya pada Selasa.

Memetik laporan agensi berita Xinhua, industri filem meraih pendapatan antara yang terbanyak dalam perbelanjaan sepanjang TBC, dengan pelbagai filem blokbuster khusus sempena percutian telah disajikan kepada para peminat.

Dari tempoh 29 Januari hingga 3 Februari, pecah panggung harian berjaya melangkaui RMB1 bilion (hampir AS$140 juta) untuk enam hari berturut-turut, sekali gus menjadikan pulangan pecah panggung pada cuti TBC 2025 sebanyak RMB8.02 bilion, iaitu rekod baharu untuk tempoh sama dalam sejarah industri filem negara.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Filem China, jumlah pecah panggung keseluruhan China pada 2025 termasuk pra-jualan masa nyata juga telah melepasi angka RMB10 bilion, yang secara tidak langsung meletakkan ia di tangga pertama dunia.

Difahamkan, filem-filem yang berada di tangga teratas pecah panggung merupakan karya tempatan, dengan filem sekual animasi “Ne Zha 2” berjaya meraih pendapatan sebanyak RMB3.8 bilion.

Sementara itu, aktiviti pelancongan juga telah menjadi pilihan bagi sejumlah besar rakyat China yang ingin menerokai keindahan semula jadi dan warisan kebudayaan negara.

Di Altay, destinasi ski terkemuka negara yang terletak di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang telah berjaya menjana pendapatan pelancongan sebanyak RMB225 juta dari tempoh 28 hingga 31 Januari, dengan catatan kedatangan pelawat seramai 191,900 individu.

Jauh di bahagian selatan China pula, Kaunti Yangshuo di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi telah menarik ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa yang tertarik dengan keunikan pemandangan semula jadinya, serta aktiviti kebudayaannya yang kaya. Ia diterjemahkan dengan kedatangan seramai 410,600 pelancong dalam tempoh 28 hingga 30 Januari, yang menjana pendapatan pelancongan sebanyak RMB589 juta.

Begitu juga dengan Lhasa, iaitu ibu kota Wilayah Autonomi Xizang yang menyaksikan lonjakan pelancong. Ia menerima sekitar 1.95 juta pelancong, iaitu kenaikan sebanyak 20.6 peratus dari tahun ke tahun, mengaut jumlah pendapatan pelancongan hampir RMB1.76 bilion, bersamaan dengan peningkatan 14.75 peratus berbanding tahun terdahulu.

Menuju ke hari-hari terakhir percutian, lapangan terbang dan hab pengangkutan di Shanghai bersiap-siaga untuk mempermudah kepulangan pengembara, dengan meningkatkan kekerapan metro, bas dan teksi.

Mengikut kenyataan Kumpulan Lapangan Terbang Shanghai, aliran penumpang pada Ahad telah memperbaharui rekod iaitu sebanyak 404,000 individu, dengan lapangan terbang Pudong menerima 259,000 penumpang, manakala lapangan terbang Hongqiao pula sebanyak 145,000 penumpang.

Pada Isnin, China Railway turut berkongsikan kejayaan bersejarah apabila kereta api negara berjaya membawa 16.45 juta penumpang, iaitu aliran penumpang sehari paling tinggi dalam sejarah perjalanan balik kampung TBC.

Dalam pada itu, data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan China menunjukkan bahawa penjualan bagi syarikat katering dan peruncit utama China pada empat hari pertama musim percutian itu telah meningkat sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meituan, platform perkhidmatan e-dagang terkemukan China melaporkan peningkatan 300 peratus dari tahun ke tahun untuk tempahan dalam talian bagi makan malam Tahun Baru Cina, dengan kumpulan yang menempah pakej bertemakan “budaya tidak ketara” melonjak 12 kali ganda sejak Januari tahun ke tahun.

Foto orang ramai melintasi poster filem di sebuah pawagam di Shenyang, Provinsi Liaoning, pada 4 Februari 2025. (Xinhua/Li Gang)

Video

Berita Berkaitan