Meski Tanpa Salji, Gaoqiao Berjaya Jadi Hab But Salji Global

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 06 Februari 2025

Berpopulasi 30,000 orang, Gaoqiao, perbandaran yang terletak di bandar Zhenjiang, Provinsi Jiangsu tanpa disangka-sangka telah berjaya muncul sebagai hab global bagi pembuatan but salji.

Meskipun jarang dituruni salji, Gaoqiao mempunyai hampir 400 pengilang but salji dan lebih daripada 800 perusahaan e-dagang yang memberikan peluang pekerjaan kepada 8,300 penduduk tempatan.

Seorang wanita sedang mempromosi but salji yang dihasilkan di Gaoqiao menerusi penstriman langsung di bandar Zhenjiang, Provinsi Jiangsu, di timur China. (Foto ihsan akaun WeChat Jawatankuasa Parti Komunis China Perbandaran Zhenjiang.

Seorang wanita sedang mempromosi but salji yang dihasilkan di Gaoqiao menerusi penstriman langsung di bandar Zhenjiang, Provinsi Jiangsu, di timur China. (Foto ihsan akaun WeChat Jawatankuasa Parti Komunis China Perbandaran Zhenjiang.

Difahamkan, sektor but salji Gaoqiao telah menjana pendapatan melebihi RMB2.2 bilion (AS$303 juta), sekali gus merangkumi lebih daripada 40 peratus pasaran domestik China. Pada masa sama, Gaoqiao juga mengeksport lebih daripada 15 juta pasang but setiap tahun, dengan hampir separuh daripadanya dihantar ke pasaran seperti Amerika Syarikat dan Jerman.

Warisan pembuatan kasut kulit memainkan peranan utama dalam kejayaan industri but salji Gaoqiao. Terletak di persimpangan Sungai Yangtze, Laut China Timur dan Sungai Huangpu, lokasi strategik Gaoqiao telah memberikan dorongan terhadap pertumbuhan perindustriannya.

Pada 1960-an, Gaoqiao telah mula mengetengahkan keududukannya sebagai pusat pemprosesan kasut kulit utama. Memasuki tahun 2000, Gaoqiao kemudiannya memanfaatkan kepakaran pembuatan kasut untuk merebut peluang dalam pasaran but salji yang baru muncul di luar negara.

Sekarang, Gaoqiao telah menampilkan beberapa jenama tempatan yang terkenal termasuk Donessy, Wufengshan, Yataiya dan Changjia, serta mempunyai lebih daripada 200 paten reka bentuk.

Elemen penstriman langsung di serata China juga dilihat berjaya dalam mewujudkan peluang baharu buat industri but salji Gaoqiao, apabila penjualan but salji Gaoqiao secara dalam talian telah meraih sebanyak RMB900 juta, dengan beberapa pempengaruh media sosial menjual lebih daripada 20,000 pasang setiap hari menerusi platform tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Gaoqiao mempamerkan but saljinya pada acara perdagangan di Harbin, iaitu pusat pelancongan musim sejuk utama China yang terletak di Provinsi Heilongjiang. Di situ, Gaoqiao menyasarkan untuk memacu hubungan ekonomi dan kerjasama e-dagang rentas sempadan.

Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China Perbandaran Gaoqiao, Wan Chenghui berkata kawasan itu kini sedang membangunkan pusat perindustrian but salji untuk memajukan lagi sektor tersebut.

Katanya, projek tersebut akan mewujudkan ruang pameran, kemudahan perdagangan dan venue kebudayaan untuk melonjakkan lagi pengelompokan perindustrian dalam sektor but salji.

Untuk rekod, laporan penyelidikan industri menunjukkan bahawa pasaran sukan musim sejuk China telah meningkat hampir empat kali ganda kepada RMB970 bilion sejak 2015, dan diunjurkan untuk melebihi RMB1 trilion pada 2025, sekali gus membuka peluang baharu buat pengilang di Gaoqiao.

Video

Berita Berkaitan