Kafe di Xining Hargai Kelebihan OKU, Tawar Peluang Pekerjaan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 06 Februari 2025

(Nota: Artikel dari Xinhua ini diterjemah dan disunting semula oleh People’s Daily Online)

Seorang pekerja kategori Orang Kurang Upaya (OKU) mental sedang bertugas di sebuah kafe yang terletak di Xining, Provinsi Qinghai, barat laut China pada 27 November 2024. (Xinhua/Zheng Ziqi)

Seorang pekerja kategori Orang Kurang Upaya (OKU) mental sedang bertugas di sebuah kafe yang terletak di Xining, Provinsi Qinghai, barat laut China pada 27 November 2024. (Xinhua/Zheng Ziqi)

Kadangkala, Zheng Hong, 20, seorang pembuat kopi atau barista di sebuah kafe di Xining, Provinsi Qinghai akan terkial-kial atau terhenti seketika akibat ketidakpastian. Namun begitu, respon yang diterimanya daripada pelanggan adalah senyuman dan kata-kata penuh semangat.

Pemuda yang menderitai autistik tersebut adalah pekerja di kafe yang menawarkan peluang pekerjaan buat golongan OKU mental, dan dia menghabiskan hampir dua bulan bagi menghafal setiap langkah untuk membuat kopi.

Bagi Yuan Zhipeng, barista berpengalaman yang juga merupakan mentor kepada Zheng, dia berkata bahawa pemuda OKU itu memerlukan latihan berulang-kali dan interaksi yang kerap berbanding pelatih lain, sambil menerangkan bahawa proses pengajaran kepada golong itu dilakukan dalam kelajuan yang lebih perlahan serta memerlukan pendekatan yang lebih sabar.

“Mereka sentiasa senyap, tetapi mereka memahami penggalakan dan cadangan, serta kemajuan masing-masing,” ujar Wang Jing, 37, yang membuka kafe tersebut pada Jun 2023.

Berkongsi pengalamannya, interaksi pertama Wang dengan golongan OKU mental adalah pada 15 tahun yang lalu. Dia yang ketika itu merupakan seorang tenaga pengajar disebuah institusi pendidikan telah ditemukan dengan seorang kanak-kanak autistik.

Didorong oleh keinginan untuk membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan, dia terjun ke dalam bidang pendidikan khas.

Pada 2013, Wang telah menubuhkan sebuah organisasi kebajikan awam yang dikhususkan untuk memberi pendidikan khas dan latihan rehabilitasi kepada kanak-kanak dan remaja golongan OKU mental. Sehingga kini, organisasi tersebut telah membantu lebih 500 kanak-kanak untuk menerima latihan rehabilitasi.

Kata wanita tersebut, bagi kanak-kanak golongan istimewa itu, mereka memerlukan pendidikan dan latihan khas, namun bagi golongan dewasa yang menderitai kekurangan tersebut sentiasa menerima halangan signifikan di alam pekerjaan.

“Kafe ini adalah ruang untuk latihan sosial dan peluang pekerjaan buat mereka, membolehkan golongan tersebut mempamerkan bakat masing-masing, serta dihargai,” ujar Wang.

Seorang lagi pekerja, Liu Xiyang, 35, telah ditemani oleh ahli keluarganya pada hari pertama dia bekerja, yang dilihat sebagai satu tanda sokongan. Bagi memberi galakan kepada Liu yang juga OKU mental, mereka telah membuat pesanan pelbagai jenis minuman.

Menurut kakak kepada Liu, adiknya yang kini dilihat lebih cerita itu telah mengambil langkah berani untuk bekerja di kafe tersebut, dan dia turut berpendapat bahawa Liu boleh berinteraksi dengan ramai orang, selain mendapat kelebihan daripada penjagaan rapi serta dorongan daripada mentornya.

Difahamkan, kafe tersebut kini mempunyai lebih daripada 10 OKU mental, dan mereka telah menerima latihan rehabilitasi profesional daripada mentor masing-masing, sambil diberi tugas berpandukan kebolehan tersendiri termasuk membuat kopi, serta menjaga kebersihan serta proses pesanan.

Tatkala kafe itu semakin mendapat perhatian lebih meluas, ia juga berjaya telah menarik bakal pengusaha sama dan individu yang penuh dengan belas kasihan.

Zhang Fan, ahli komedi di Qinghai telah bekerjasama dengan kafe tersebut untuk membangunkan program kebudayaan yang dikhususkan untuk golongan OKU, sekali gus membuka lebih banyak ruang buat mereka untuk mempamerkan kelebihan masing-masing.

Untuk rekod, kafe itu adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh kerajaan Provinsi Qinghai untuk menyokong potensi pekerjaan dan keusahawanan bagi golongan OKU. Pada masa ini, Qinghai mempunyai 19 pangkalan latihan vokasional dan lapan pusat inkubasi perniagaan, yang menyediakan lebih 2,000 program latihan vokasional untuk golongan OKU.

Video

Berita Berkaitan