- Lain-lain
PM Li, Sultan Brunei Adakan Pertemuan di Beijing
![]() |
Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, yang sedang dalam lawatan negara ke China, di Dewan Besar Rakyat di Beijing, ibu negara China, pada 6 Februari 2025. (Xinhua/Li Xiang) |
Perdana Menteri China, Li Qiang telah mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, yang sedang dalam lawatan negara ke China, di Beijing pada Khamis.
Li dalam kenyataannya berkata bahawa China dan Brunei terus memajukan hubungan mereka dengan stabil, dengan kerjasama dalam pelbagai bidang berkembang dengan ketara dan menghasilkan pencapaian yang memberangsangkan di bawah kepimpinan strategik kedua-dua ketua negara pada tahun-tahun mutakhir ini.
Katanya, China sentiasa menganggap Brunei sebagai rakan penting dalam usaha mempererat hubungan persahabatan dengan negara jiran, sambil menambah bahawa China bersedia bekerjasama dengan Brunei untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara, mengekalkan pertukaran peringkat tinggi, memperkukuh kepercayaan politik bersama, memperdalam kerjasama praktikal, dan bersama-sama mempromosikan pembangunan serta kemakmuran, demi manfaat yang lebih baik kepada rakyat kedua-dua negara.
China bersedia bekerjasama dengan Brunei untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta mengambil peluang daripada pembaharuan pelan kerjasama Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempercepatkan pembinaan projek-projek utama.
“China juga bersedia bekerjasama dengan Brunei untuk memperkukuh kerjasama dalam industri maklumat, inovasi sains dan teknologi, pembangunan hijau, pertanian, serta bidang lain, dan bersama-sama memupuk pemacu ekonomi baharu,” kata Li.
Beliau juga berkata bahawa China bersedia mengimport lebih banyak produk pertanian dan perikanan berkualiti tinggi dari Brunei serta menggalakkan syarikat-syarikat China yang layak untuk melabur di Brunei.
Li turut menzahirkan harapan agar Brunei memberikan lebih banyak sokongan dan kemudahan kepada syarikat-syarikat China.
“China secara tegas menyokong ASEAN dalam memperkukuh perpaduan dan autonomi strategiknya, serta bersedia bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN, termasuk Brunei, untuk mempromosikan pembentukan komuniti China-ASEAN yang lebih erat dengan masa depan bersama,” kata perdana menteri itu.
Sementara itu, Sultan Brunei berkata pihaknya amat menghargai hubungan dengan China, teguh berpegang pada dasar satu China, menganggap China sebagai rakan utama, dan bersedia memperluaskan kerjasama dengan China dalam bidang seperti perdagangan, petrokimia, ekonomi digital, pertanian, serta menangani perubahan iklim.
“Brunei juga bersedia memperdalam kerjasama dalam rangka ASEAN-China, memperkukuh kesalinghubungan serantau dan pertukaran antara rakyat, serta mempromosikan pembangunan perkongsian strategik komprehensif antara ASEAN dan China, selain menggalakkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau,” kata Sultan Hassanal Bolkiah.
Tambah Sultan Brunei itu lagi, pihaknya menghargai peranan penting China dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau serta menyokong kemasukan China ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
![]() |
Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, yang sedang dalam lawatan negara ke China, di Dewan Besar Rakyat di Beijing, ibu negara China, pada 6 Februari 2025. (Xinhua/Li Xiang) |
Kalender 24 Jieqi: Hari Lichun, Permulaan Musim Bunga
Tahun Baru Cina di Beijing: Warga Asing Nimakti Salji, Hotpot & Kemeriahan Qianmen
Tiga “Mama” Zhejiang, Seorang Anak Uygur
Jubli Intan Hubungan Diplomatik China-Indonesia: Ke Arah Kerjasama Lebih Kukuh
Tahun 2024 Presiden Xi: Detik-detik bersama rakyat
- Presiden Xi Bertemu dengan Sultan Brunei
- Sultan Brunei Adakan Lawatan Rasmi ke China
- Sultan Brunei Haji Hassanal Bolkiah akan Lawat China
- Bioteknologi China Sokong Saringan Kanser Serviks Brunei
- Han Zheng akan Lawat Indonesia dan Brunei
- China, Brunei Dorong Kerjasama Industri Sub-wilayah ASEAN
- Kerjasama China-Brunei: Raikan Kejayaan Lalu, Buka Lembaran Baharu
- China, Brunei Ikrar Perkasa Sinergi
- Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Lawat China
- Kejohanan Wusyu Antarabangsa Brunei Pertama Dirasmikan