TBC 2025: Banyak Sektor Lapor Pertumbuhan Pesat Pada Hari Cuti

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Sabtu 08 Februari 2025

Seorang pembeli (kanan) sedang memerhatikan peralatan memasak di sebuah kedai di Huaian, Provinsi Jiangsu, pada 31 Januari. (Zhao Qirui/China Daily)

Seorang pembeli (kanan) sedang memerhatikan peralatan memasak di sebuah kedai di Huaian, Provinsi Jiangsu, pada 31 Januari. (Zhao Qirui/China Daily)

Momentum pasaran penggunaan China dilihat merancak semasa tempoh percutian Tahun Baru Cina (TBC) atau Festival Musim Bunga pada baru-baru ini, memperlihatkan pertumbuhan pesat dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan runcit, pelancongan dan kebudayaan, lapor agensi berita China Daily.

Memetik data terkini dalam invois cukai nilai tambah (VAT) keluaran Pentadbiran Percukaian Negara (STA), jumlah keseluruhan jualan dalam industri berkaitan pengguna dicatatkan meningkat sebanyak 10.8 peratus berbanding tempoh sama tahun terdahulu.

Difahamkan, lonjakan tersebut didorong oleh permintaan kukuh dalam penggunaan komoditi yang menaik 9.9 peratus dari tahun ke tahun, serta peningkatan lebih memberangsangkan dalam penggunaan perkhidmatan iaitu sebanyak 12.3 peratus.

Dalam tempoh percutian selama lapan hari itu, usaha China dalam mempromosi peningkatan barangan berskala besar dan tukar beli barang lama kepada baharu, dilihat menjadi punca ledakan jualan khususnya terhadap peralatan dan barangan rumah.

Data STA turut menunjukkan bahawa pengguna berpusu-pusu untuk menambah baik rumah masing-masing, dengan jualan barangan audio-visual dan peralatan rumah menaik sebanyak 166.4 peratus dari tahun ke tahun.

Pada masa sama, peningkatan tersebut turut dilihat berpunca daripada subsidi yang diberikan terhadap peralatan pintar seperti jam dan telefon bimbit, serta produk digital, sekali gus membantu pengguna untuk menikmati lebih banyak penjimatan.

Sektor telekomunikasi turut naik mencanak apabila penjualan peranti seperti telefon pintar dan teknologi pintar naik sebanyak 181.9 peratus dari tahun ke tahun.

Penyelidik madya Universiti Institut China Fudan, Liu Dian berkata bahawa TBC merupakan percutian tradisional di China yang signifikan dan merupakan jendela penting untuk memerhati trend pasaran pengguna tempatan.

Beliau berkata, dengan peningkatan penggunaan, perbelanjaan pada TBC tidak lagi terhad kepada keperluan tradisional, malah turut semakin menuju ke arah pilihan berkualiti tinggi, diperibadikan dan berasaskan pengalaman.

Sepanjang cuti tahun ini, perkhidmatan pelancongan China turut menjadi salah satu perhatian apabila jumlah hasil yang didapati berkembang sebanyak 37.5 peratus berbanding tahun 2024.

Dengan kembalinya aktiviti kebudayaan serta trend hiburan baharu yang semakin mencuri perhatian ramai, musim cuti TBC menjadi musim pecah rekod untuk sektor pelancongan. Melawat tempat-tempat dan perkhidmatan berkaitan taman, serta taman hiburan menyaksikan pertumbuhan masing-masing sebanyak 81.9 peratus, 59.5 peratus dan 14.1 peratus.

Industri inap desa yang popular juga dilihat mengikuti trend tersebut dengan hasil yang direkodkan daripada penginapan tempatan menaik sebanyak 12.6 peratus dari tahun ke tahun.

Liu turut mengunjurkan bahawa pasaran pengguna China akan meneruskan momentum kukuhnya pada sepanjang tahun, didorong oleh dasar ekonomi keutamaan kerajaan terhadap penggunaan domestik.

Video

Berita Berkaitan