China Bertindak Pantas Tambah Baik Tadbir Urus Global Berdasarkan Penggunaan AI

(CRI)Rabu 12 Februari 2025

“China bertindak pantas menambah baik tadbir urus global berdasarkan penggunaan teknologi AI, yang sudah wujud sebagai penggerak penting bagi revolusi sains teknologi serta transformasi perindustrian pusingan baharu."

Demikian dinyatakan Zhang Guoqing selaku wakil khas Presiden China Xi Jinping, ketika menghadiri dan membuat ucapan pada Sidang Kemuncak Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) di Paris pada Isnin.

“Pada Oktober 2023, Presiden Xi Jinping mengemukakan cadangan Inisiatif Tadbir Urus AI Global yang dilihat sebagai pakej penyelesaian yang mempunyai cita rasa China mengenai kaedah pembangunan dan arah perkembangan AI," kata Zhang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Naib Perdana Menteri.

“China mencadangkan masyarakat antarabangsa berganding bahu menyokong penggunaan AI untuk kemaslahatan rakyat, memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi, meningkatkan keterangkuman dan mengamalkan nilai universal demi penambahbaikan tadbir urus global, tatkala menghadapi peluang dan cabaran dari pembangunan AI.

“China bersedia bekerjasama dengan negara lain dalam bidang AI untuk menggalakkan pembangunan, menjaga keselamatan, berkongsi pencapaian, dan bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib sesama insan,”kata Zhang.

Selain itu, beliau juga mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menghadiri Persidangan AI Dunia 2025 di Shanghai China pada masa yang akan datang.

Sidang kemuncak itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin negara, pegawai kanan kerajaan serta wakil pangkat tinggi dari lebih 30 negara dan ketua organisasi antarabangsa, yang bersama mewartakan Kenyataan mengenai Pembangunan AI yang Inklusif dan Mampan untuk Kesejahteraan Manusia dan Bumi.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron ketika ditemui Zhang Guoqing di Perancis berkata bahawa pihaknya konsisten dalam mengamalkan dasar mandiri dari segi strategi dan bersedia mengukuhkan komunikasi dan kerjasama dengan China untuk mendorong pembangunan secara damai dan menghadapi cabaran zaman ini.

Video

Berita Berkaitan