China Mulakan Pembinaan Fasiliti Uji Aero Enjin Baharu

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 17 Februari 2025

Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan bahawa fasiliti uji aero enjin China pertama yang dibiayai pihak swasta tempatan telah memulakan pembinaannya di Chongzhou, Provinsi Sichuan.

Menurut kenyataan pejabat publisiti kerajaan perbandaran Chongzhou, upacara pecah tanah yang telah dilakukan pada 13 Februari tersebut sekali gus menandakan pelancaran rasmi projek bernilai RMB2.24 bilion (sekitar AS$314 juta) yang diketuai oleh Syarikat ZhongFaTianXin (SiChuan) Aviation Technology.

Difahamkan, projek tersebut menyasarkan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi sejak sekian lama dalam ujian beraltitud tinggi untuk enjin pesawat bersaiz kecil dan sederhana.

Pengerusi syarikat itu, Liu Chen menyatakan bahawa fasiliti yang dijangka siap menjelang 2027 serta turut merupakan merupakan pangkalan penghasilan enjin pesawat ringan itu akan menyediakan pembangunan dan penyelidikan penting dalam menyokong pesawat generasi seterusnya termasuk dron, kereta terbang, dan kenderaan beraltitud rendah.

Tambah beliau, fasiliti tersebut direka bentuk dan dikendalikan secara 100 peratus oleh pihak tempatan, dengan prestasinya mencapai standard antarabangsa, manakala garis masa projek turut dipendekkan daripada lima ke tiga tahun dengan terdapatnya inovasi yang dipercepatkan.

Li Tao, ketua jabatan kerjasama serantau di zon pembangunan ekonomi Chonzhou berkata bahawa setakat ini terdapat keterbatasan dalam platform ujian berprestasi tinggi untuk aero enjin di China, dengan platform yang terdapat di pasaran awam lebih sukar untuk didapati.

Jelasnya, platform ujian berprestasi tinggi yang memenuhi kehendak semua pihak akan memberikan sokongan signifikan dalam pembangunan ekonomi penerbangan altitud rendah Chongzhou, serta mempermudah dalam usaha menghimpunkan industri huluran dan hiliran.

Tanggal 13 Februari tersebut juga merupakan satu lagi kejayaan bagi projek taman perindustrian tenaga penerbangan Hongyuan di Chongzhou yang mendapat pelaburan sejumlah RMB600 juta, dengan objektif projek adalah untuk mewujudkan pangkalan penyelidikan, pembuatan dan penyelenggaraan untuk komponen enjin kipas turbo besar.

Memetik Xinhua, kesemua projek tersebut sekali gus memperlihatkan cita-bita Chongzhou untuk membina “Bandar Udara” menjelang 2027, iaitu visi untuk mengintegrasikan perkhidmatan pembuatan, ujian dan mobiliti udara bandar.

Video

Berita Berkaitan