Robot Manusia China Ambil Alih Kerja Kilang, Rumah, Separa Maraton

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 19 Februari 2025

Sebuah robot sedang diuji untuk pengeluaran kenderaan di kilang kereta di Shanghai, timur China. (Foto tangkap layar video laman web rasmi Fourier)

Sebuah robot sedang diuji untuk pengeluaran kenderaan di kilang kereta di Shanghai, timur China. (Foto tangkap layar video laman web rasmi Fourier)

Di China, robot manusia dengan kemampuannya yang pelbagai telah menarik perhatian ramai orang pada mutakhir ini, lapor agensi berita Global Times.

Kini, ia bukan sahaja digunakan dalam kehidupan harian seperti memasak dan mengemas, tetapi juga dalam pengeluaran perindustrian di dalam kilang serta menyertai cabaran separa maraton.

Di Provinsi Guangdong, sebuah pengilang robot ‘dihujani’ dengan pesanan dari seluruh China sejak bermulanya tahun 2025.

Robot manusia LeadIn D1, yang mempunyai dwi-lengan berkapisiti sehingga 40 kilogram serta dilengkapi dengan skeletal bionik yang tinggi dan struktur berotot, telah direka bentuk bagi penggunaan perindustrian.

Ia berkeupayaan untuk mengendalikan tugas-tugas berintensiti tinggi secara mudah seperti mengangkat berat, dan kerja-kerja menangkut dalam pengeluaran perindustrian.

Difahamkan, LeadIn D1 dijadualkan untuk memasuki barisan pengeluaran pada suku kedua tahun ini, dengan penggunaannya merangkumi pelbagai industri, termasuk aeroangkasa, peranti perubatan dan sains hayat.

Dalam bidang seperti memantau kapasiti bengkel khususnya, LeadIn D1 boleh memanfaatkan interaksi pintar dan operasi yang tepat untuk mencapai pengurusan proses pengeluaran digital dan pintar.

Selain itu, siri Robot GRx Fourier pula telah diuji untuk digunakan di kilang-kilang kereta di Shanghai, iaitu tempat mereka ditugaskan untuk memasang komponen voltan tinggi langsung dan melakukan operasi berketepatan tinggi.

Versi terbaru Siri Robot Fourier GRx, robot manusia GR-2 yang berketinggian 175 sentimeter serta berat 63 kilogram, mempunyai jangka hayat bateri sehingga dua jam. GR-2 mempunyai tangan yang lebih lincah, dan direka untuk mencerminkan fleksibiliti fisiologi manusia.

Dengan kelebihan baharu tersebut, ia sekali gus menyaksikan robot itu boleh menyesuaikan dengan lancar dalam melakukan tugas yang kompleks dengan ketepatan yang lebih tinggi.

Robot bermanusia dalam Siri Robot GRx telah digunakan secara eksperimen dalam senario seperti penerimaan, penyelidikan dan pendidikan saintifik, pembuatan industri dan penjagaan kesihatan pemulihan.

Dari segi kehidupan seharian, robot manusia juga telah mula digunakan. Sebagai robot manusia bersaiz penuh pertama di dunia yang dipandu oleh kuasa elektrik sahaja, "Tiangong" bukan sekadar boleh berjalan di atas tanah rata, tetapi juga bergerak secara berterusan di cerun, rumput, kerikil, pasir dan beg pasir.

Menurut Global Times, sejak dikeluarkan secara rasmi pada April 2024, Tiangong telah digunakan dalam pelbagai situasi, termasuk tugas memilih dan menempatkan gudang serta rondaan untuk loji elektrik.

Pada April, buat julung-julung kalinya, puluhan robot manusia dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam separa maraton yang akan diadakan di daerah Daxing, Beijing.

Wei Jiaxin, pengurus jenama dan perhubungan awam Pusat Inovasi Robotik AI Terwujud Syarikat Tempatan Kebangsaan yang berpangkalan di Beijing berkata bahawa penyertaan robot dalam acara maraton adalah bertujuan untuk mengoptimumkan kemampuannya dan mengatasi cabaran teknikal dalam struktur badan serta algoritma gerakan.

Ketika diwawancara Beijing Daily, beliau berkata ia sekali gus akan membantu meningkatkan keserasian, membolehkan robot manusia digunakan dalam pelbagai senario yang lebih luas.

Dengan melatih robot manusia dalam pelbagai persekitaran dan menggunakannya dalam operasi jauh, ia akan menjadi lebih pintar dan lebih berkebolehan.

“Di rumah, ia boleh belajar mencuci pakaian, memasak dan mengatur, secara tidak langsung berpontensi untuk menjadi pembantu rumah yang berguna pada masa hadapan,” tambah Wei.

"Sebelum robot manusia memasuki kilang, banyak robot perindustrian telah dilengkapi di barisan pengeluaran automatik China," kata Wang Peng, penyelidik madya di Akademi Sains Sosial Beijing.

Namun, beliau menyatakan bahawa robot manusia yang berkeupayaan untuk meniru pergerakan manusia dilihat lebih sesuai untuk persekitaran yang kompleks.

Jelas Wang, keanjalan mereka membolehkan mereka bekerja di ruang yang sempit, memanjat tangga, dan menavigasi rupa bumi yang tidak rata, menangani tugas yang dihadapi oleh robot industri tradisional.

"Pada masa hadapan, robot manusia dan robot industri mungkin membentuk hubungan pelengkap dalam tetapan industri, " kata beliau lagi.

Video

Berita Berkaitan