China Sokong Usaha Malaysia Selaku Pengerusi ASEAN

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 Februari 2025

(foto/Kementerian Luar China)

(foto/Kementerian Luar China)

Jurucakap Kementerian Luar, Guo Jiakun menyatakan bahawa China menyokong usaha Malaysia sebagai pengerusi bergilir ASEAN, dan bersedia untuk berganding bahu bagi menambah baik kerjasama serantau, serta mencapai hasil yang memuaskan, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia pada baru-baru ini dalam kenyataan beliau antaranya menyebut peranan China sebagai rakan ekonomi signifikan bagi ASEAN selama bertahun-tahun, selain turut menyatakan bahawa hubungan tersebut akan terus menjadi asas kepada kestabilan serantau.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, jurucakap Kementerian Luar, Guo Jiakun berkata bahawa konsep berkongsi nasib China-ASEAN telah berakar umbi di bawah bimbingan strategik daripada pemimpin negara-negara China dan ASEAN, dengan kemajuan signifikan dilakukan secara aman, selamat, dan berjaya.

Menurut Guo, China dan ASEAN juga telah menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama bertahun-tahun secara berturut-turut, dengan Perundingan Menaik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 sebahagian besarnya telah dimuktamadkan.

Tambah beliau, pelaksanaan dasar bebas visa antara China dan negara seperti Malaysia juga telah membuahkan hasil yang memuaskan, sementara dasar ‘visa Lancang-Mekong’ juga telah secara rasminya dilaksanakan.

Berhubung kepengerusian ASEAN, Guo berkata China bersedia mempertingkatkan kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi dan perdagangan, transformasi digital, rantai bekalan dan perindustrian, pembangunan hijau dan pertukaran antara rakyat.

Memetik Xinhua lagi, jurucakap Kementerian Luar itu juga menyatakan bahawa usaha akan ditumpukan untuk mempromosi kemajuan bersama dan sinergi kerjasama Jalur dan Laluan berkualiti tingggi; tiga inisiatif global; dan pembinaan komuniti ASEAN, sekali gus menyumbang dalam membuahkan lebih banyak hasil.

Ketika menyentuh tentang pertikaian Laut China Selatan (LCS), Guo berkata China dan negara-negara ASEAN telah menimba pengalaman berharga dalam membangunkan hubungan dua hala dengan menelusuri pendekatan gaya Asia, iaitu berunding secara persahabatan untuk menyelesaikan perbezaan.

Jelasnya, China juga komited untuk menyelesaikan pertikaian yang berkaitan dalam LCS menerusi rundingan secara terus dengan negara-negara yang terlibat.

Video

Berita Berkaitan