Tinjauan CGTN: Prestasi Pentadbiran Trump 2.0 Belum Memadai

(CRI)Sabtu 22 Februari 2025

Menurut keputusan dalam sebuah tinjauan, 63.7 peratus responden berpendapat bahawa tindakan kerajaan baharu Amerika Syarikat (AS) yang menarik diri daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa membawa kesan negatif terhadap tadbir urus global. Sebanyak 63.3 peratus responden menganggap dasar “Memuliakan AS Semula” (MAGA) yang diambil kerajaan baharu AS sedang mempercepatkan langkahnya dalam menjejaskan ekonomi dunia yang sedang dalam pemulihan yang lemah, dan 58.4 peratus responden percaya bahawa dasar perlindungan perdagangan AS akan menghalang pembangunan ekonomi negara lain.

Tinjauan pendapat umum tersebut dijalankan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) bersama dengan Universiti Renmin China terhadap seramai 7,586 orang warganet dari 38 buah negara.

Menurut keputusan tinjauan itu, di enam negara Kumpulan Tujuh (G7) kecuali AS, 57 peratus responden berasa pesimis tentang perkembangan hubungan negara mereka dengan AS. Antaranya, responden dari Jerman dan Kanada menunjukkan tahap kebimbangan yang paling tinggi, dengan 66 peratus responden menyatakan sikap pesimis, diikuti Jepun, United Kingdom, dan Perancis yang masing-masing mencecah 60 peratus, 59.3 peratus dan 57.5 peratus.

Sementara itu, sebanyak 71.4 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap dasar tarif kerajaan AS, dengan 64.3 peratus memilih mengkritik tindakan pentadbiran Trump edisi 2.0 yang sewenang-wenangnya menarik diri dari pertubuhan dan perjanjian antarabangsa, yang dilihat boleh membawa dampak besar terhadap tadbir urus global dan kerjasama antarabangsa.

Dalam penilaian tentang "pengaruh diplomasi AS terhadap hubungannya dengan Rusia, China, Eropah, Jepun-Korea Selatan, dan Timur Tengah", responden AS jelas kekurangan keyakinan.

Hasil tinjauan itu menunjukkan, hanya terdapat 40 peratus responden berpendapat bahawa dasar luar kerajaan baru AS akan memberi kesan positif terhadap hubungannya dengan China, manakala 43 peratus responden percaya ia akan memberi kesan negatif, dan 17 peratus memilih "tidak pasti".

Antara responden yang terbabit dalam tinjauan ini, ada yang berasal dari negara maju seperti AS, Britain, Itali, Australia, Jerman, Perancis, Jepun, dan Korea Selatan, dan ada juga yang dari negara membangun seperti Malaysia, Brazil, Afrika Selatan, Mesir, Chile, Nigeria, Emiriah Arab Bersatu, dan Vietnam.

Video

Berita Berkaitan