Guangzhou Lancar Laluan Teksi Robot

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 24 Februari 2025
Guangzhou Lancar Laluan Teksi Robot

Di celah-celah kesibukan pusat bandar Guangzhou, sebuah teksi robot menepi dengan perlahan-lahan dalam arus trafik, sterengnya pusing secara automatik tanpa kehadiran pemandu. Seorang penumpang masuk, menekan skrin pada kerusi depan untuk pengesahan, dan bermulalah perjalanannya menaiki teksi robot.

Jumaat lalu, pembangun teknologi pemanduan berautonomi China, Pony.ai, melancarkan empat laluan demonstrasi pemanduan berautonomi di Guangzhou. Laluan yang diperkenalkan menghubungkan daerah perniagaan pusat metropolis tersebut dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou dan Stesen Kereta Api Selatan Guangzhou – dua hab pengangkutan utama di selatan China.

Menurut Pony.ai, penduduk Guangzhou kini boleh menempah perkhidmatan teksi robot ini melalui aplikasi telefon pintar. Waktu operasi adalah antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan 7.30 malam hingga 9.30 malam.

“Pusat bandar mempunyai lalu lintas yang lebih sibuk dan aliran kenderaan yang lebih padat. Tambahan lagi, laluan penghubung pusat bandar dan hab pengangkutan biasanya melibatkan lebuh raya yang kenderaannya berjalan laju. Maka, lebih tinggilah tuntutan terhadap persepsi, keupayaan membuat keputusan dan kemampuan operasi teknologi pemanduan berautonomi,” kata Dai Dunfeng, ketua bahagian perhubungan awam Pony.ai di China.

Dai turut menambah bahawa pelancaran empat laluan demonstrasi ini menandakan kejayaan syarikat Pony.ai menembusi kawasan-kawasan hab trafik dan pusat bandar yang utama.

Dari segi bilangan penumpang tahunan, Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun menduduki tempat pertama di China antara tahun 2020 hingga 2023. Stesen Kereta Api Selatan Guangzhou pula salah satu daripada hab pengangkutan rel terbesar negara jika dipandang dari sudut aliran penumpang.

Berpangkalan di Guangzhou, Pony.ai kini mengendalikan lebih 250 teksi robot dan 190 trak robot, dengan ujian jalan raya menggunakan pemanduan berautonomi mencakupi hampir 40 juta kilometer di seluruh dunia. Hampir 4 juta kilometer daripadanya adalah ujian tanpa pemandu seluruhnya.

Satu laporan terkini menyebut bahawa pada tahun lepas, Guangzhou telah membuka 791 jalan raya yang terhubung secara pintar untuk tujuan ujian kenderaan. Setakat akhir 2024, sebanyak 1,298 jalan raya seumpama serta 10 jalan ujian kelajuan telah beroperasi.

Pada masa yang sama, 16 syarikat selesai menjalankan lebih 1.24 juta jam ujian pemanduan berautonomi di Guangzhou, yang meliputi jarak 22.97 juta kilometer. Perkhidmatan teksi, trak dan logistik berautonomi sedang maju dengan pesat, menyaksikan lebih 90 peratus daripada jarak perjalanan dikendalikan dengan pemanduan berautonomi.

Video

Berita Berkaitan