- Lain-lain
AGV Lasak China Pesat Berkembang ke Pasaran Antarabangsa
Selari dengan industri seperti logistik dan pembuatan yang terus ditambah baik, keperluan pelabuhan dan kilang untuk mempunyai kenderaan berpandu automatik (AGV) untuk mengendalikan barangan ultra berat juga semakin meningkat.
Permintaan yang kian meningkat itu juga secara tidak langsung telah membuka peluang pasaran yang luas bagi AGV jenis lasak.
Pada tahun-tahun mutakhir ini, sektor AGV lasak di China telah mengalami pertumbuhan pesat – didorong oleh kemampuan inovasi yang kuat dan reputasi terhadap produk yang dipercayai.
Banyak syarikat China bukan sahaja memperkukuh keberadaan mereka di pasaran tempatan, tetapi turut mengembangkan perniagaan masing-masing ke pasaran antarabangsa.
Kenderaan berpandu automatik sedang dioperasikan di terminal automatik sepenuhnya di Pelabuhan Qingdao, Provinsi Shandong, di timur China. (People’s Daily Online/Zhang Jingang)
Sejak bermulanya tahun 2025, kilang Tianjin Lonyu Robot (Lonyu) sibuk untuk memenuhi permintaan, dengan barisan pembuatan beroperasi pada kapasiti penuh, dan AGV lasak sedang menjalani percubaan dan pembuatan intensif.
"Kami sibuk sejak awal tahun ini. Pada Januari sahaja, kami menerima pesanan luar negara bernilai RMB13 juta (AS$1.78 juta)," kata Ren Zhiyong, pengerusi Lonyu.
AGV lasak ialah kenderaan berpandu automatik yang direka untuk membawa muatan melebihi dua tan, serta mampu menyediakan penyelesaian automatik dan sangat cekap untuk mengangkut bahan yang sangat berat, bersaiz besar dan lebih panjang.
Ia yang digunakan secara meluas dalam industri seperti pembuatan automotif, keluli dan metalurgi, dan logistik pelabuhan itu sekali gus menjadi alat penting untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.
Pasaran AGV lasak sedang mengalami pertumbuhan yang mampan. Sebagai contoh, segmen AGV lasak luar telah memperlihatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sektor itu dari 2021 hingga 2026 di China menghampiri 25 peratus.
Jaten Robotics, sebuah syarikat berteknologi tinggi terkemuka yang khusus dalam robot dan automasi, yang berpangkalan di Foshan, Provinsi Guangdong di selatan China, telah mengiktiraf potensi pasaran yang besar untuk AGV tugas berat.
Difahamkan, ia adalah berikutan kemampuannya untuk memenuhi keperluan pengendalian bahan dalam industri seramik tempatan dengan berkesan.
"Saya telah melawat banyak kilang pembuatan dan menyaksikan kesukaran yang dihadapi pekerja dalam pengangkutan barangan, selalunya dalam keadaan kerja yang teruk," kata Chen Hongbo, naib presiden Jaten.
Beliau menambah bahawa AGV boleh berfungsi sebagai "kaki mekanikal," yang direka untuk membantu ramai pekerja daripada perlu terlibat dalam tugas intensif buruh, membosankan, berulang dan berbahaya.
Untuk rekod, AGV lasak luar terkini yang dikeluarkan Lonyu adalah berukuran 14.4 meter panjang, 3.4 meter lebar dan 1.2 meter tinggi, dengan kapasiti muatan 300 tan.
Ia boleh mengemudi kilang dengan mudah, yang bukan sahaja mendaki cerun dan berputar tetapi juga bergerak melalui selekoh sempit dengan ketangkasan yang luar biasa. Direka khusus untuk pengangkutan pintar tanpa pemandu antara bengkel dan merentasi zon kilang, ia mencerminkan kemajuan teknologi yang ketara.
"Berbanding dengan AGV tertutup, model ini menyepadukan kedudukan BeiDou, navigasi inersia dan teknologi persepsi visual, membolehkannya mengemudi persekitaran kompleks dengan selamat, sambil mengelak daripada pejalan kaki dan kenderaan dengan ketepatan tinggi," kata Zhang Binpeng, ketua jurutera teknologi Lonyu.
Inovasi teknologi adalah daya penggerak yang berterusan untuk industri robotik. Lonyu terus membuat penemuan teknologi, berulang kali mencatat rekod baharu untuk kapasiti muatan AGV.
Foto memperlihatkan reruai pameran Syarikat Tianjin Lonyu Robot semasa Ekspo Teknnologi dan Komponen Mekanikel 2024 di Osaka, Jepun. (Foto dari akaun rasmi WeChat Syarikat Tianjin Lonyu Robot)
"Pada 2024, kami menghantar AGV lasak dengan kapasiti muatan 600 tan, memecahkan rekod dunia. Kini, kami sedang membangunkan model yang mampu membawa 1,000 tan," kata Ren.
Jaten juga memberi penekanan yang kuat terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kami melabur 10-15 peratus daripada hasil tahunan kami ke dalam R&D untuk memastikan inovasi berterusan," kata Chen.
Selama bertahun-tahun, Jaten telah memperoleh lebih 600 paten dan berjaya membangunkan unit pemacu beban 20 tan, yang mengatasi pergantungan industri pada komponen pemacu teras yang diimport.
Hasil daripada kecekapan kos yang tinggi dan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian tersuai, AGV lasak China semakin mendapat pengiktirafan di pasaran antarabangsa.
Pada 2024, sebuah syarikat pembinaan dari Ireland telah mencari dua AGV lasak yang mampu untuk naik segerak sehingga tiga meter. Hakikatnya, ciri-ciri tersebut disifatkan sebagai sukar untuk dihasilkan bagi kebanyakan pembuat AGV.
Kenderaan berpandu automatik 600 tan yang dihasilkan oleh Syarikat Tianjin Longyu Robot sedang diserahkan kepada salah satu pelanggan. (Foto dari akaun rasmi WeChat Syarikat Tianjin Lonyu Robot)
“Mereka akhirnya menemui kami menerusi ejen, dan kami segera memberikan perincian cadangan reka bentuk, seterusnya mendapat kepercayaan mereka,” ujar Shan Chenxi, pengurus besar pusat jualan antarabangsa Lonyu.
Seteleh mesen tersebut dihantar ke Ireland, mereka telah menerima pujian yang menggunung daripada pelanggan, yang kemudiannya membuat keputusan untuk menempah secara besar pada tahun ini.
"Produk kami telah dijual ke 12 negara dan wilayah, dengan pesanan luar negara menyumbang sekitar 20 peratus daripada jumlah jualan kami," kata Shan, sambil menambah bahawa Lonyu berkembang pesat ke pasaran global dan menyasarkan untuk meningkatkan angka ini kepada 50 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Kini, Jaten bekerjasama dengan 70 syarikat Fortune Global 500 dan telah menubuhkan kilang di luar negara.
Menurut Chen, pasaran AGV lasak masih dianggap sebagai ‘lautan biru’. Berbanding dengan syarikat asing, pengeluar China telah meneroka rangkaian aplikasi yang lebih luas dan memperoleh pengalaman yang luas dalam pelbagai senario, membolehkan mereka bertindak balas dengan pantas kepada keperluan pasaran yang pelbagai.
"Ini adalah kelebihan daya saing utama untuk AGV tugas berat China dan meletakkan asas untuk penyeragaman masa depan produk ini," kata Chen.
- 139 Model Kereta Lulus Ujian Pematuhan Keselamatan Data Automobil
- Pelabuhan Yantai Rekodkan 737,000 Penghantaran Kenderaan Komersial Pada 2024
- Jualan Kereta Ikonik China Jenama Hongqi Catat Rekod Baharu pada 2024
- Pembuat Kereta China Terus Melabur Dalam R&D
- Pikap Elektrik Buatan China yang Pertama Mula Dipasarkan di Thailand
- Persidangan Kenderaan Pintar Keterhubungan Internet Dunia 2024 di Beijing
- Lihat Sepintas Rel Buatan China di Hanoi
- Jenama China Jadi Pendahulu Jualan Kereta di Sepanyol
- China Umum Pelarasan Eksport UAV
- FAW Jiefang Keluarkan Trak ke-9 Juta