China Umumkan Agenda Penerbangan Angkasa Lepas Bermanusia 2025

(CRI)Selasa 04 Mac 2025

Menurut Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSEO), pihaknya akan berhemah memangkin dua agenda utama bagi tahun 2025 yang berkait aplikasi dan pembangunan stesen angkasa lepas, serta penerokaan bulan bermanusia.

Pada masa ini, Stesen Angkasa Lepas China beroperasi dengan stabil di orbit, manakala pelbagai kerja penyelidikan, pembangunan serta pembinaan bagi projek penerokaan bulan bermanusia untuk fasa pendaratan berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.

Untuk agenda pertama, dua kali misi penerbangan bermanusia dan sekali penerbangan kapal angkasa kargo tuntuk bekalan bahan logistik akan dilakukan pada tahun 2025, dan kru angkasawan untuk dua kali misi penerbangan bermanusia itu telah dipilih dan latihan berkenaan sedang dijalankan.

Pada masa ini, lebih 180 item penyelidikan dan aplikasi sains angkasa di orbit yang melibatkan sains hayat angkasa dan penyelidikan manusia, fizik mikrograviti dan teknologi angkasa baharu telah membuahkan hasil inovatif di Stesen Angkasa Lepas China.

CMSEO dan Suruhanjaya Penyelidikan Angkasa dan Atmosfera Atas Pakistan telah menandatangani perjanjian kerjasama di Islamabad, ibu negara Pakistan baru-baru ini untuk membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang penerbangan angkasa lepas bermanusia.

Mengikut rancangan itu, kedua-dua pihak akan menyelesaikan kerja pemilihan angkasawan Pakistan dalam tempoh kira-kira setahun, dan mereka yang terpilih akan dibawa ke China untuk menerima latihan sistematik yang menyeluruh.

Menurut rancangan penerbangan Stesen Angkasa Lepas China, angkasawan Pakistan akan diatur untuk menjalankan misi jangka pendek bersama-sama dengan angkasawan China di stesen angkasa lepas pada beberapa tahun akan datang.

Untuk agenda kedua, pelbagai kerja penyelidikan dan pembinaan di peringkat pendaratan di bawah projek penerokaan bulan bermanusia sedang berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan bagi menyasarkan matlamat untuk mewujudkan misi pendaratan angkasawan China di bulan buat kali pertama sebelum 2030.

Pada masa ini, pelbagai peralatan penerbangan yang berkaitan misi pendaratan bulan seperti roket pembawa Long March 10 dan kapal angkasa bermanusia Mengzhou berada dalam keadaan penyelidikan dan penghasilan peringkat awal, sedangkan kemudahan dan peralatan ujian yang terbabit pun mula beroperasi di Pusat Pelancaran Wenchang.

Video

Berita Berkaitan