- Lain-lain
Lagi Kemajuan Besar Gugusan Satelit Komersial Mega China
![]() |
Roket pembawa Long March-8 YB yang membawa 18 satelit orbit bumi rendah berlepas dari tapak pelancaran kapal angkasa komersial Hainan di Wenchang, provinsi Hainan, selatan China, 12 Mac 2025. (Xinhua/Pu Xiaoyu) |
China dengan jayanya melancarkan kumpulan kelima satelit orbit bumi rendah untuk gugusan satelit komersialnya dari sebuah tapak pelancaran kapal angkasa tepi laut di provinsi Hainan, selatan China, Rabu lalu.
Perkembangan terbaru ini memantapkan lagi kemajuan projek tersebut ke arah membentuk ketersambungan peringkat global, sepertimana yang dimaklumkan oleh Lu Ben, naib presiden kanan Shanghai Spacesail Technologies Co., Ltd, pembangun gugusan satelit Spacesail, kepada Xinhua pada Khamis.
Ini merupakan pelancaran sulung bagi landas No.1 tapak pelancaran kapal angkasa komersial Hainan, yang pembinaan dan operasinya dikatakan telah mempertingkat kapasiti China dari segi pelancaran kapal angkasa.
“Penggunaan prasarana pelancaran komersial akan banyak menyokong kecepatan dan kuantiti dalam pembangunan gugusan satelit orbit bumi rendah kami, membantu pembentukan gugusan ini dengan lebih cepat,” ujar Lu.
Gugusan Spacesail merupakan gugusan mega pertama China yang memasuki fasa rangkaian.
Menurut Lu, projek tersebut menyasarkan pelancaran lebih 15,000 satelit dalam tiga fasa. Fasa pertama memfokuskan 648 unit yang direka untuk mencapai liputan serantau. Fasa kedua akan memperluas jaringan ini kepada 1,296 satelit yang akan membolehkan wujudnya liputan global, sementara fasa ketiga menyasarkan sebuah rangkaian komprehensif yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.
Pelancaran terbaru ini, yang mengangkut 18 satelit dalam satu misi, menyerlahkan tahap penguasaan China dalam teknologi “satu roket, berbilang satelit”, kata Lu.
Pendekatan inovatif ini melibatkan kaedah menyusun tindih satelit panel rata, teknik yang mengoptimumkan penggunaan ruang roket dan membolehkan pelancaran dilakukan dengan kerap.
Di pentas antarabangsa, Spacesail aktif menggalakkan penggunaan komersial gugusan satelit tersebut. Maklum Lu, pada November 2024, Spacesail telah menandatangani MoU dengan syarikat telekomunikasi milik negara Brazil, TELEBRAS, untuk membekalkan perkhidmatan Internet satelit di kawasan-kawasan terpencil serata Brazil.
Pada Januari tahun ini pula, Spacesail menjalin kerjasama dengan pengendali satelit Malaysia, MEASAT Global Berhad, untuk meneroka peluang kolaborasi membabitkan pengurusan satelit, pembangunan teknologi, serta aplikasi baru seperti IoT dan pemantauan bumi.
Gugusan Spacesail sudah pun memperlihatkan kemampuannya dalam senario-senario sebenar.
Pada Januari 2025, ia berjaya menyediakan sokongan semasa satu ujian komunikasi maritim sebuah kapal persiaran di Hong Kong, menyerlahkan keupayaannya untuk meningkatkan ketersambungan Internet bagi kapal-kapal di laut.
Ini merupakan ujian penggunaan pertama susulan pelancaran jaringan komersial gugusan satelit itu, kata Lu.
Tambahnya lagi, ujian itu juga membuktikan jaringan jalur lebar orbit bumi rendah yang berteraskan gugusan tersebut mampu mempertingkat kualiti perkhidmatan Internet dengan ketara buat kapal-kapal laut, termasuk kapal persiaran.
- China Lancarkan 18 Satelit di Pusat Pelancaran Kapal Angkasa Lepas Komersial Hainan
- China Lancarkan Satelit Percubaan Teknologi Komunikasi
- China Berjaya Lancar Satelit 4D Gaojing-1 03 dan 04
- Tianwen-2 Tiba di Pusat Pelancaran Satelit Xichang
- China Lancar Satu Lagi Satelit Ujian Teknologi Komunikasi
- China Lancar Satelit Ujian Isi Bahan Api di Orbit
- China Berjaya Lancarkan Satelit Shijian-25
- China Lancar Kumpulan Satelit Baharu
- China Berjaya Lancar Dua Satelit Baharu
- Penggembala Unta di Xinjiang Manfaatkan Teknologi Maju