- Lain-lain
Pasukan Ekspedisi Dapatkan Semula Pelampung Tambatan Bawah Permukaan Ekologi Antartika Pertama China
Pasukan ekspedisi Antartika China ke-41 berjaya mendapatkan semula pelampung tambatan bawah permukaan ekologi Antartika pertama negara, yang telah diletak atur di Laut Amundsen pada awal 2024, lapor agensi berita Global Times yang memetik CCTV pada Selasa.
Dengan kejayaan pasukan itu dalam menyelesaikan misi saintifik di Lautan Ross dan Amundsen, penemuan semula tersebut dijangka akan memberikan data yang bernilai dalam penyelidikan berkait ekosistem marin Antartika.
Untuk rekod, pelampung tambatan tersebut merupakan salah satu daripada peranti yang sering digunakan dalam ekspedisi lautan.
Dilengkapi dengan penderia yang berketepatan tinggi, pelampung tersebut diletak atur di bawah permukaan laut bagi mengawasi variasi antara tahun dan musim di dalam ekosistem marin untuk satu tempoh yang panjang.
Usaha untuk mendapatkan semula pelampung tersebut dari lautan itu merupakan satu tugas utama buat pasukan ekspedisi selepas melaksanakan pemerhatian dasar laut selama setahun.
Menurut Luo Guangfu, kapten pasukan ekspedisi Antartika ke-41 China, pelampung tersebut telah diletakkan oleh kru pemecah ais Xuelong 2 penyelidikan China atau Snow Dragon 2 semasa ekspedisi saintifik Antartika ke-40 pada Januari 2024.
Pelampung itu antara lainnya turut dilengkapi dengan modul pengesanan bio-akustik kutub, modul pengesanan bio-optik, dan modul pengawasan alam sekitar marin yang asas, dengan panjangnya berukuran 2.9 kilometer.
Difahamkan, pelampung jenis itu kebiasaannya mengandungi penderia, mekanisma pelepas dan pemberat, yang kesemuanya bersambung dalam satu siri oleh satu kabel.
Penderia akan memungut data secara berterusan daripada lapisan air sekitar, sementara pelampung pula mengekalkan keapungan untuk memastikan kedudukan penderia berada dalam keadaan tegak, manakala pemberat akan bertindak untuk menjamin pelampung ke dasar laut.
Luo menjelaskan bahawa pelampung yang diletak atur pada tahun lalu merupakan prototaip percubaan. Katanya, para penyelidik akan menaksir kestabilan sistem dan kualiti data menerusi dapatan untuk menambah baik model pada masa depan.
Kesemua penambahbaikan tersebut akan memberikan asas teknologi yang lebih kukuh untuk meneruskan penyelidikan ekosistem marin Antartika.
Dalam keseluruhan operasi mendapatkan semula pelampung tambatan di Laut Amundsen pada tahun ini, usaha untuk menemukan pelampung tambatan bawah permukaan ekologi kutub Antartika merupakan tugas paling mencabar, dengan jangkaan masa untuk mendapatkan semula selama 12 jam.
- Saintis China dan Asing Bakal Mulakan Ekspedisi Baharu di Gua Terpanjang Asia
- Ekspedisi China Jumpa Pelbagai Haiwan di Antartik
- Pasukan Ekspedisi Antartika ke-40 China Berlepas untuk Penyelidikan Saintifik
- Pembinaan Stesen Ekspedisi Saintifik China di Antartika Berjalan Lancar
- China akan Bina Stesen Penyelidikan Saintifik Baharu di Antartika
- Pasukan Ekspedisi Artik Ke-13 China Tiba di Kutub Utara
- Operasi Perairan Pertama Ekspedisi Arctic Ke-13 China Berakhir
- Kapal Ekspedisi Saintifik Xuelong-2 Berlepas ke Artik
- Ekspedisi Saintifik "Misi Puncak" 2023 Masuk Fasa Kritikal