Dedikasi Bi Liufu Hidupkan Semula Seni Pembuatan Payung Kertas Minyak

Bi Liufu sedang menghasilkan payung yang diperbuat daripada kertas minyak di perbandaran Fenshuiling, bandar Luzhou, Provinsi Sichuan, di barat daya China. (Foto/Bi Yuanshen)

Bi Liufu sedang menghasilkan payung yang diperbuat daripada kertas minyak di perbandaran Fenshuiling, bandar Luzhou, Provinsi Sichuan, di barat daya China. (Foto/Bi Yuanshen)

Bi Liufu, 68, merupakan pewaris warisan budaya tidak ketara peringkat kebangsaan dalam kraf pembuatan payung yang diperbuat daripada kertas minyak atau dipanggil Fenshui di perbandaran Fenshuiling, bandar Luzhou, di Provinsi Sichuan.

Difahamkan, payung kertas minyak Fenshui merupakan satu-satunya payung buatan tangan sepenuhnya di China. Penghasilan setiap satu payung tersebut memerlukan 96 langkah yang terperinci. Ia turut menggunakan bahan-bahan terpilih, termasuk buluh berusia tiga tahun yang membesar di cerun bercahaya bagi memastikan sifat keanjalan dan kukuh, serta kayu pokok daripada spesies yang tertentu.

“Setiap bahan-bahan perlu disediakan terlebih dahulu sebelum musim hujan bagi mengelakkan kelembapan berlebihan, yang mampu menjejaskan kualiti payung tersebut,” jelas Bi.

Untuk rekod, Bi merupakan pewaris generasi keenam kraf tersebut dalam keluarganya. Ketika zaman kanak-kanak, dia dan kakaknya sering membantu orang tua, dengan tugas yang diberi adalah seperti membenang dan menggilap buluh, sebelum perlahan-lahan mempelajari kraf itu secara sepenuhnya.

Sekitar tahun 1980-an dan 90-an, kebangkitan payung nilon telah menyaksikan penurunan buat industri payung kertas minyak. Selaku ketua Kilang Payung Kertas Minyak Fenshui, Bi pernah cuba mengurangkan kos dengan menggantikan minyak tung tradisional kepada minyak kimia.

Namun demikian, tindakan dia ibarat memakan diri sendiri apabila kain payung menjadi melekit, dan terpaksa dipulangkan semula. Mengambil iktibar daripada musibah tersebut, Bi kemudiannya kembali menggunakan minya tung.

Dedikasi Bi akhirnya membuahkan hasil. Pada 2008, pembuatan payung kertas minyak telah memasuki senarai warisan budaya tidak ketara peringkat kebangsaan. Dengan bantuan kerajaan dan perhatian daripada pihak media, kraf tersebut berjaya mendapatkan semula reputasinya.

Sambil memelihara tradisi itu, Bi juga menerokai unsur kebudayaan di sebalik payung tersebut. Untuk mendekati generasi yang lebih muda, dia dan pasukannya telah membuat hampir 1,000 corak baharu, dengan menampilkan tema seperti topeng Opera Peking, dan panda gergasi.

Hari ini, industri kertas minyak Luzhou menjana lebih RMB30 juta (sekitar AS$4.14 juta) setahun, dan angka jenama payung telah bertambah daripada hanya satu kepada 15. Dengan industri tersebut yang terus menyubur, rantai penghasilan payung kertas minyak juga telah muncul di seluruh provinsi itu.

Video

Berita Berkaitan