Kisah Xi | Budaya Tersendiri Modal Kampung Etnik Dong Jana Kemakmuran

Berlatarkan kampung dan berpentaskan kawasan desa, penduduk kampung Dong Zhaoxing di provinsi Guizhou menyambut ketibaan Presiden Xi Jinping pada petang 17 Mac dengan dendangan merdu melodi etnik, lengkap berbusana tradisional mereka.

Xi semasa tinjauannya di sana telah mengambil peluang untuk berbual-bual dengan pekedai, pelancong dan penduduk kampung. Selain usaha melindungi dan mewarisi budaya etnik tradisional, pemimpin itu mengambil berat akan kebangkitan menyeluruh kawasan desa, juga pembinaan organisasi Parti di peringkat akar umbi dan tadbir urus sosial.

Gembira melihat kampung etnik Dong itu dijaga dengan rapi dan penduduknya hidup sejahtera, Xi menzahirkan harapan agar mereka dapat menggembleng tenaga ke arah kemajuan kawasan desa dalam proses pemodenan ala sendiri China, dan mahu hidup mereka dilimpahi kemakmuran.

(Foto oleh Agensi Berita Xinhua)

(Foto oleh Agensi Berita Xinhua)

Genting kecil berwarna gelap, atap bercerun, tingkap kekisi, dan bangunan gaya antik yang tersusun dengan teratur... di tepi sungai, di padang bunga, di lorong-lorong, orang etnik Dong berpakaian tradisional datang dan pergi.

Ditubuhkan pada Dinasti Song Utara, kampung Dong Zhaoxing yang letaknya di kaunti Liping, Kawasan Autonomi Dong dan Miao Qiandongnan, merupakan salah satu daripada perkampungan Dong yang paling besar di seluruh China.

“Parti dan kerajaan telah membantu kami mencari, melindungi dan mengembangkan lagu-lagu etnik Dong,” kata Wu Bangmei, salah seorang penduduk yang menyertai korus meraikan Presiden Xi. “Lagu-lagu tersebut juga telah dimasukkan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO, muzik rakyat etnik Dong pula sudah kedengaran di pentas dunia.”

Makanan adalah santapan jasmani, dan lagu-lagu adalah santapan rohani. Bagi orang Dong, menyanyi dan makan sama pentingnya.

Demonstrasi teknik batik etnik Dong. (Foto oleh Yao Jingquan)

Demonstrasi teknik batik etnik Dong. (Foto oleh Yao Jingquan)

Budaya etnik minoriti bukan sahaja perlu dilindungi dan diwarisi dengan baik, transformasi kreatif dan pembangunan inovatifnya juga perlu digalakkan. Tang Dacai, pengarah Biro Budaya dan Pelancongan Kaunti Liping, berkata bahawa pada tahun-tahun kebelakangan ini, Zhaoxing telah memanfaatkan kampung etnik tradisional sebagai wahana untuk menginovasi dan mengembangkan persembahan lagu etnik Dong, teknik ikat celup batik dan sebagainya menjadi produk pelancongan. Tahun lepas, bilangan pelancong ke kampung Dong Zhaoxing dilaporkan melebihi satu juta.

Dipacu oleh industri-industri tipikal seperti pelancongan, orang Dong berjaya membawa diri mereka keluar daripada belenggu kemiskinan, sekali gus meningkatkan pendapatan dengan mewarisi kraf tangan tradisional, meneroka kraf tangan etnik, memperkenalkan produk budaya dan kreatif, serta memajukan industri inap desa.

Bahagian dalam pangkalan industri tipikal Dongxiang. (Foto oleh Yao Jingquan)

Bahagian dalam pangkalan industri tipikal kampung Dong. (Foto oleh Yao Jingquan)

“Selepas penubuhan koperasi pada 2014, bilangan ahlinya melonjak daripada 7 kepada 218, meliputi ratusan kampung dan memungkinkan ribuan orang menambah pendapatan,” jelas Lu Yongmei, ketua bengkel celup Dongpinyuan, yang memaklumkan perkembangan koperasi itu kepada Xi.

“Presiden Xi sangat mementingkan impak koperasi ini. Ini menjadikan saya lebih berkobar-kobar hendak terus mewarisi budaya dan menguruskan industri dengan baik, dan membantu penduduk kampung mengisi poket masing-masing,” ujarnya.

Kunci bagi pengurusan hal ehwal rakyat ialah pembinaan organisasi Parti yang mantap di kawasan luar bandar. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kader Parti peringkat akar umbi di kampung Dong Zhaoxing menumpukan usaha untuk membimbing rakyat mengembangkan ekonomi dan membaiki tadbir urus kawasan desa.

(Foto oleh Agensi Berita Xinhua)

(Foto oleh Agensi Berita Xinhua)

Di Menara Gendang Xintuan, Presiden Xi bersama pegawai dan wakil kampung bertukar-tukar pendapat dalam suasana ramah mesra.

“Saya telah melaporkan hasil kerja saya di kampung ini, dan galakan yang diberikan oleh Presiden Xi membuatkan saya teruja. Saya lebih yakin dan bermotivasi untuk menjalankan tugas dengan baik,” kata Xu Xinji, setiausaha Parti pertama kampung Dong Zhaoxing.

Beliau turut menekankan pentingnya mengikut cetak biru yang digariskan oleh Presiden Xi, dan memimpin penduduk kampung bekerja bertungkus lumus ke arah kebangkitan menyeluruh kawasan desa.

Video

Berita Berkaitan