Pelaburan China di ASEAN Berkembang Untuk Manfaat Bersama

Nota: Artikel yang diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online ini dipetik oleh agensi berita China Daily

Pekerja sedang memasang telefon pintar Oppo di kilang syarikat tersebut di Indonesia. (Foto/China Daily)

Pekerja sedang memasang telefon pintar Oppo di kilang syarikat tersebut di Indonesia. (Foto/China Daily)

Lima tahun selepas Oppo – pembuat telefon pintar China – membuat kemunculan sulung di pasaran tempatan, syarikat itu kemudian menerokai pasaran luar negara pada 2009, dan memperkenalkan produknya di Thailand.

Sejak itu, Oppo terus mara. Ia bukan sahaja menarik bahagian pasaran yang besar di negara itu, malah turut berjaya melebarkan sayapnya di serata Asia Tenggara, dengan bilik-bilik pamerannya terdapat di seluruh rantau itu, serta sebuah kilang di Indonesia.

Menurut Canalys, penganalisis teknologi global, pada 2024, Oppo memintas Samsung untuk menjadi jenama telefon pintar unggul di Asia Tenggara dengan 18 peratus bahagian pasaran, atau 16.9 juta hantaran. Ia secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan Oppo terhadap penentukuran produknya serta pelaburan bertaraf tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oppo Asia Pasifik, Shi Shuai berkata bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mempromosi keizinan tempatan, memupuk bakat tempatan, seterusnya berintegrasi dalam budaya tempatan.

Mengambil kilang Oppo di bandar Tangerang, di barat Jakarta, iaitu kilang pembuatan pertama Oppo di luar China sebagai contoh, beliau berkata bahawa kilang tersebut telah mewujudkan peluang pekerja buat warga tempatan, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi jangka panjang.

Iklan Oppo di Gandaria City, pusat membeli-belah di Jakarta, Indonesia. (Foto/Securities Times)

Iklan Oppo di Gandaria City, pusat membeli-belah di Jakarta, Indonesia. (Foto/Securities Times)

Kejayaan Oppo di Asia Tenggara mencerminkan evolusi pelaburan China di rantau itu dalam tempoh sedekad yang lalu, dengan fokus utama terhadap industri digital dan teknologi termaju yang responsif kepada permintaan pasaran domestik, mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab sosial korporat, dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

“Firma China dilihat lebih menumpukan untuk menjadi warga korporat yang baik di kawasan setempat. Ia adalah amalan biasa bagi syarikat multinasional China untuk memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan menyokong pekerjaan tempatan,” Erica Tay, pengarah penyelidikan makro di Maybank, Kuala Lumpur.

Tay yang diwawancara China Daily berkata, gelombang pertama pelaburan langsung China dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara pada awal 2000-an kebanyakannya dalam perusahaan milik Kerajaan yang terlibat dalam industri berat, manakala gelombang kedua pula disasarkan kepada industri digital sektor swasta dan pembuatan termaju.

Jelas beliau, syarikat China yang mengembangkan kapasiti masing-masing di ASEAN telah berjaya menerokai bekalan pekerja, tanah dan tenaga yang besar, serta mengakses pasaran baharu di ASEAN, iaitu ekonomi kelima terbesar di dunia dengan gabungan populasi melebihi 670 juta orang.

“Dalam mencari pasaran baharu dengan persaingan yang kurang berbanding di tanah air, firma China telah mengembangkan jejak langkah masing-masing dengan menyantuni keperluan pengguna ASEAN,” ujar Tay.

Seorang petugas mempamerkan sebuah model kereta api elektrik pelbagai unit semasa upacara pemeteraian perjanjian bersama antara CCCC dan Malaysia Rail Link di Putrajaya, pada 18 Disember 2024. (Xinhua/Chong Voon Chung)

Seorang petugas mempamerkan sebuah model kereta api elektrik pelbagai unit semasa upacara pemeteraian perjanjian bersama antara CCCC dan Malaysia Rail Link di Putrajaya, pada 18 Disember 2024. (Xinhua/Chong Voon Chung)

Syarikat-syarikat tersebut juga telah mendapat manfaat daripada Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China, yang memberikan akses utama dalam pasaran pengguna yang pesat membangun kepada produk daripada syarikat China di pangkalan ASEAN.

Untuk rekod, pembuatan telah menjadi pemacu penting pertumbuhan pelaburan terus asing (FDI) di ASEAN sejak sekian lama.

Memetik laporan Sekretariat ASEAN dan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan, pada 2023, ia telah meliputi lebih daripada AS$50 bilion aliran masuk FDI, atau 22 peratus daripada jumlah keseluruhan.

China merupakan sumber FDI ketiga terbesar pada 2023, mencecah AS$17 bilion, iaitu peningkatan tahun ke tahun hampir 20 peratus.

Laporan itu menyatakan bahawa FDI dari China berada pada ‘trend menaik’, iaitu meningkat daripada kurang AS$4 bilion pada 2010. Angka perusahaan China yang beroperasi di ASEAN pula meningkat daripada 2,600 pada 2012 kepada 6,500 pada 2022.

Pembuat tekstil dan pakaian telah melabur di Kemboja, Myanmar dan Vietnam; syarikat elektronik melabur di Malaysia dan Vietnam, sementara syarikat teknologi fokus ke Malaysia, Singapura dan Thailand.

Jika dibandingkan dengan 20 tahun lalu, syarikat China yang melabur di ASEAN merupakan perusahaan milik negara, yang terlibat dalam penerokaan minyak dan perlombongan, pembinaan, kuasa hidro, serta dalam pembangunan zon ekonomi khas dan taman-taman perindustrian.

Sebelum 2018, iaitu tahun perdagangan China-Amerika Syarikat berada dalam fasa ketegangan, hampir separuh daripada FDI China secara amnya di dalam hartanah dan kewangan.

Namun, setelah Presiden Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus pada Jun 2018 terhadap eksport China sejumlah AS$50 bilion, corak pelaburan China di ASEAN mulai berubah. Dari 2020 ke 2023, pelaburan dalam pembuatan bertambah pada kadar purata tahunan sebanyak 33 peratus, berbanding hanya kurang daripada 10 peratus dari tahun 2010 ke 2018.

Gangguan rantai bekalan akibat pandemik juga telah mendorong banyak syarikat China untuk mempelbagai pelaburan luar, dengan ASEAN menjadi pemanfaat utama.

Skrin mempamerkan maklumat tentang pembuat kelengkapan elektrik China, kilang Midea Group 5G di Chonburi, Thailand. (Foto/Xinhua)

Skrin mempamerkan maklumat tentang pembuat kelengkapan elektrik China, kilang Midea Group 5G di Chonburi, Thailand. (Foto/Xinhua)

Pemain industri dan penganalisis turut menzahirkan jangkaan masing-masing terhadap Trump yang berkemungkinan memaksa lebih banyak syarikat China untuk berpindah ke negara ASEAN untuk pembuatan.

Pengurus besar Youdao Ads, Feng Qingqiang ketika diwawancara China Daily berkata bahawa syarikat China sedang mengalami peluang strategik tatkala berada di dekad keemasan dalam menuju global.

Youdao Ads, subsidiari kepada syarikat internet China NetEast Group, telah menghubungkan lebih 10 juta pempengaruh dan mencapai 2 bilion pengguna di seluruh dunia di 75 negara dan wilayah, dengan memanfaatkan teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan.

Jelas Feng, faktro lokasi geografi Asia Tenggara, populasi berumur muda, dan keseiringan pembangunan ekonomi dengan pertumbuhan China pada masa lalu, memberikan potensi pasaran yang besar untuk perusahaan China.

“Selepas pandemik, pasaran e-dagang di Asia Tenggara telah menyaksikan pertumbuhan pesat, dengan kadar penembusan e-dagang di negara serantau utama mencapai 6.5 peratus menjelang 2025, iaitu peningkatan ketara daripada tahap pra-pandemik sebanyak 5 peratus,” katanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa China adalah salah satu daripada tiga sumber FDI teratas, dengan jumlah mencecah lebih RM28 bilion (AS$6.33 bilion) pada 2024.

Safwan Nizar Johari, pemangku konsul pelaburan untuk konsulat Malaysia di Guangzhou, Provinsi Guangdong berkata, kebanyakan pelaburan China baru-baru ini adalah dalam EV, bateri, dan industri bersekutu lain.

Beliau menyatakan bahawa selepas China dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024, syarikat China berminat untuk menjalankan perniagaan di Malaysia memandangkan negara berbilang budaya itu mempunyai populasi etnik Cina yang besar.

“Jadi mudah untuk syarikat China berniaga di negara kami (Malaysia). Bila ke Malaysia, mereka kata ramai yang boleh berbahasa Cina, banyak persamaan dengan budaya China,” kata Safwan.

Beliau berkata bahawa Malaysia juga meletakkan kedudukannya sebagai hab serantau, yang membolehkan syarikat China menggunakannya sebagai pangkalan pengeluaran untuk mengeksport ke seluruh ASEAN.

Salah satu syarikat dengan pegangan yang besar di Malaysia ialah Geely Holding Group dari Provinsi Zhejiang.

Pada 2017, pembuat kereta yang berpangkalan di Hangzhou itu memperoleh 49.9 peratus kepentingan dalam pengeluar kereta tempatan Proton, dengan matlamat untuk bersama-sama membangunkannya menjadi jenama No. 1 di Malaysia dan salah satu jenama terkemuka di ASEAN.

Jurucakap Geely ketika diwawancara China Daily berkata bahawa Proton berjaya mencapai transformasi komprehensif dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, kualiti, perolehan dam pemasaran, sekali gus meletakkan ia di tangga kedua dalam jualan dan pasaran saham di Malaysia buat enam tahun berturut-turut.

Seorang petugas sedang bekerja di kilang elektronik di Shanghai Greatway Industri Co di utara Vietnam pada Oktober 2024. (Xinhua/Yao Qilin)

Seorang petugas sedang bekerja di kilang elektronik di Shanghai Greatway Industri Co di utara Vietnam pada Oktober 2024. (Xinhua/Yao Qilin)

Di Thailand, pelaburan syarikat China meliputi lebih daripada 42 peratus pelaburan keseluruhan entiti asing, dengan catatan sebanyak THB981.65 bilion (AS$28.9 bilion), lapor Jabatan Pembangunan Perniagaan Thailand.

Difahamkan, syarikat elektronik dan pembuat kereta China merupakan pelabur utama. Fasiliti pembuatan EV China yang kebanyakannya terletak di sepanjang Koridor Ekonomi Timur negara itu merekodkan kapasiti penghasilan keseluruhan sebanyak 474,000 kenderaan pada 2024.

Mengikut laporan yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Kasikorn itu lagi, kapasiti penghasilan pada tahun ini diunjur melonjak sehingga 620,000.

Naib presiden kanan Kasikornbank, Wichai Kinchong Choi telah menekankan tentang peranan teknologi inovatif China dalam membantu transformasi Thailand kepada hab penghasilan EV di Asia Tenggara.

“Sementara kita melihat kuasa ekonomi Barat mengamalkan fahaman perlindungan dan sekatan perdagangan untuk manfaat sendiri dengan menolak persaingan adil; multilateralisme dan perdagangan bebas pula dipercayai akan mengekalkan hala tuju masa depan untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih mampan dan berjaya,” kata Wichai.

Narongsak Putthapornmongkol, presiden Dewan Perdagangan Thai-China berkata bahawa kilang-kilang China telah membuka banyak peluang pekerjaan di Thailand. Untuk rekod, Zon Perindustrian Rayong Thai-China telah mendorong volum eksport Thailand kepada AS$3 bilion dalam tempoh lebih setahun lalu, dan menyediakan pekerjaan untuk 55,000 orang rakyat tempatan.

Video

Berita Berkaitan