- Lain-lain
Kerjasama Digital Jadi Enjin Baharu Pertumbuhan China, ASEAN
Para pelajar sedang mengikuti kelas anjuran China di Institut Pos dan Telekomunikasi Laos. (People’s Daily Online/Sun Guangyong)
Di Pingxiang, wilayah autonomi Zhuang Guangxi di selatan China, projek pelabuhan pintar Pintasan Persahabatan atau Pelabuhan Youyiguan – pelabuhan pintar rentas sempadan pertama di China kini memasuki fasa akhir percubaan.
Setelah diluluskan kelak, fasiliti tersebut akan dilengkapi dengan navigasi satelit dan teknologi 5G untuk mengintegrasi kenderaan mengangkut autonomi, sistem pengendalian kargo automatik, dan mekanisme pemeriksaan pintar. Satu platform penghantaran pintar akan membolehkan pelepasan kastam beroperasi secara automatik sepenuhnya 24 jam sehari.
Dengan pelabuhan darat terbesar China kini berhubung dengan negara-negara ASEAN, transformasi digital Pintasan Persahabatan diyakini mampu menambah baik kecekapan kastam secara besar-besaran, sambil memacu kestabilan perindustrian China-ASEAN dan jaringan rantai bekalan.
Infrastruktur yang didorong teknologi tersebut secara tidak langsung memaparkan kemampuan China dan negara ASEAN memanfaatkan inovasi digital untuk menggerakkan pembangunan berkualiti tinggi dalam pelbagai sektor.
Kolaborasi digital juga muncul sebagai asas kepada kerjasama pelbagai hala dan dua hala antara China dengan ASEAN, memperlihatkan komitmen bersama masing-masing terhadap kemajuan teknologi dan integrasi ekonomi serantau.
Sekolah vokasional Thai melancarkan program latihan e-dagang dalam kerjasama bersama dengan perusahaan China. Foto menunjukkan pelajar sekolah sedang menjual kraftangan tradisional menerusi penstriman langsung. (People’s Daily/Bai Yuanqi)
China telah mewujudkan jaringan kabel fiber-optik daratan rentas sempadan yang menghubungkan Vietnam, Laos dan Myanmar, sekali gus mencapai kesalinghubungan digital dengan lebih daripada sepuluh operator telekomunikasi ASEAN.
Perusahaan China secara aktif mempertingkatkan pembangunan infrastruktur digital di seluruh ASEAN, bergandingan dengan Thailand untuk mengatur duduk jaringan 5G, bekerjasama dengan Indonesia untuk inisiatif jalur lebar kebangsaan, membina pusat data di Malaysia dan mengembangkan liputan fiber-optik di Filipina untuk mempercepat penyertaan digital serantau.
E-dagang dua hala antara China dan ASEAN telah menyaksikan pertumbuhan mampan, dengan transaksi secara puratanya merekodkan kenaikan tahunan melebihi 20 peratus pada tahun-tahun mutakhir ini, yang secara tidak langsung muncul sebagai enjin utama untuk pengembangan perdagangan.
Pengintegrasian teknologi kewangan pula terus diperdalam, dan ia boleh dilihat menerusi kerjasama antara PayNet Malaysia dan WeChat Pay China pada 2024, yang membolehkan perkhidmatan pembayaran buat lebih 2 juta peniaga Malaysia menerusi platform China itu.
China juga telah memperkukuh kerjasama keinstitusian menerusi memorandum persefahaman (MoU) berhubung pelaburan ekonomi digital dengan Malaysia, Singapura, Vietnam, Indonesia dan Kemboja. Antara yang jelas dapat dilihat adalah Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (versi 3.0) menggabungkan kolaborasi ekonomi digital yang pertama.
Trak sedang keluar masuk di Pintasan Persahabatan di Pingxiang, wilayah autonomi Zhuang Guangxi di selatan China. (People’s Daily/Chen Shangwen)
Semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-27 pada Oktober 2024, kedua-dua pihak telah mengeluarkan kenyataan bersama dalam usaha mempermudah kerjasama dalam membina ekosistem digital yang inklusif dan mampan, serta secara rasminya mengkhususkan pembangunan ekosistem digital sebagai kawasan utama untuk kolaborasi masa depan.
Tatkala penyelarasan dasar dan pelaburan digital sedang berkembang, negara ASEAN juga aktif untuk memperdalam usaha sama digital dengan China.
Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat, Prasert Jantararuangtong telah mengangkat pencapaian digital China khususnya dalam infrastruktur, mengatur dudukan 5G dan inovasi AI, dengan menyifatkannya sebagai memberi rujukan berharga buat transformasi digital ASEAN.
Xu Liping, penyelidik di Institut Strategi Antarabangsa Kebangsaan di bawah Akademi Sains Sosial China menyifatkan kerjasama digital China-ASEAN telah mempunyai asas yang kukuh.
Untuk itu, beliau turut menggariskan empat kelebihan struktur yang menyokong kerjasama digital China-ASEAN iaitu Sinergi Politik; Matlamat Pembangunan Bersama; Platform Berinstitusi; dan Kekuatan yang Saling Melengkapi.
Pembangunan bakat terus menjadi perhatian untuk mengekalkan kerjasama. Perusahaan China telah muncul sebagai penyumbang utama kepada pemupukan tenaga kerja digital di ASEAN. Misalnya, pada 2023, AliBaba telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Kemboja untuk menyediakan latihan kemahiran digital buat hampir 100 perusahaan kecil sederhana (PKS) Kemboja; Institut Pos dan Telekomunikasi Laos Bantuan China telah memulakan operasinya yang menjadi hab bakat ICT istimewa Laos; manakala gergasi teknologi China iaitu Huawei telah melancarkan perkongsian industri-universiti di Thailand, dengan menyasarkan latihan untuk 100,000 profesional digital menjelang 2025.
Xu menekankan bahawa pelaksanaan segera penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (versi 3.0) yang menggabungkan peruntukan khusus untuk kerjasama ekonomi digital, secara tidak langsung meluaskan kerjasama teknologi sebagai pendorong strategik.
- Liga Pendidikan Vokasional Dunia Ditubuh
- Universiti Vokasional China Tarik Lebih Ramai Pelajar, Tawar Peluang Pekerjaan Lebih Luas
- Kerjasama Teknikal China-Asia Tenggara Liputi Latihan Vokasional
- Pendidikan Vokasional Lahirkan Belia Juara Dunia
- Empat Negara Bersinergi Banteras Penipuan Telekomunikasi
- Pegawai Kanan China, ASEAN Berhimpun di Ningbo Sempena Sesi Rundingan China-ASEAN
- China Ikrar Bersama ASEAN Perangi Jenayah Penipuan Telekomunikasi
- Nanning Jadi Tuan Rumah untuk Datuk Bandar dari 7 Negara, Anjur Program Dialog
- Forum Pertukaran dan Kerjasama Kebudayaan Berorientasikan ASEAN Diadakan di Guangxi
- Minggu Drama China-ASEAN (Nanning) Buka Tirai
- Rondaan Bersama Kali ke-147 di Sungai Mekong Berakhir
- Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan China-ASEAN ke-14 di Laos
- Forum Pelabuhan Maklumat China-ASEAN Berlangsung Sempena WIC 2024
- PM Li Tekankan Lagi "Lima Prinsip Hidup Secara Damai" di Vientiane