- Lain-lain
Xi Temu Wakil Komuniti Perniagaan Antarabangsa
![]() |
Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil komuniti perniagaan antarabangsa di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Jumaat.
Xi berkata China sedang giat memperkasa keterbukaan bertaraf tinggi, di samping memperluas keterbukaan secara keinstitusian melibatkan peraturan, pengurusan, piawaian dan sebagainya. Dasar China berkaitan penggunaan modal asing tidak berubah dan akan terus kekal pada masa hadapan.
Beliau menegaskan bahawa peta garisan dan jadual waktu berhubung pembaharuan sistem pengurusan pelaburan asing dan pelaburan di luar negara telah digariskan dalam sidang pleno ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC).
Menurut beliau, China akan terus memperluas keterbukaan dengan tumpuan diberikan kepada pelonggaran akses pasaran, di samping memastikan syarikat asing menikmati layanan nasional.
Selain itu, China juga akan menyediakan kemudahan sedapat mungkin kepada pelabur asing serta memelihara hak dan kepentingan syarikat berkenaan.
Xi berkata syarikat asing khususnya syarikat multinasional memainkan peranan serta memikul tanggungjawab penting dalam memelihara orde ekonomi dunia.
Justeru syarikat berkenaan perlu bersama-sama menjaga sistem perdagangan multilateral, kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global serta persekitaran antarabangsa yang terbuka dan kolaboratif, di samping mendorong globalisasi ekonomi berkembang ke arah yang betul.
Sementara itu, wakil komuniti perniagaan berkata dalam senario fahaman perlindungan semakin meningkat, China menyuntik kestabilan kepada ekonomi global menerusi langkah memperkasa keterbukaan, sekali gus menjadi tumpuan pelabur asing.
Mereka menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama pelaburan dengan China, aktif menyertai proses modenisasi ala China, mendukung keterbukaan pasaran global dan memelihara perdagangan bebas antarabangsa bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi dunia.
Pertemuan itu dihadiri lebih 40 pengerusi lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat asing serta wakil persatuan perniagaan.
![]() |
- Perdagangan Luar China Kekal Mampan
- Ucapan Presiden Xi Mendapat Sambutan Hangat Rakyat
- China Terus Perluas Lingkaran Rakan Dalam Perdagangan Asing
- Dagangan Luar China Naik 5.2 Peratus 10 Bulan Pertama 2024
- China Perkukuh Dasar Bantuan untuk Pembangunan Perdagangan Luar
- Model Perniagaan inovatif: Momentum Baharu Pertumbuhan Perdagangan Asing
- Inovasi Produk: Transformasi Pintar dan Digital Perkukuh Asas Perdagangan Asing
- Keuntungan Syarikat Industri Besar China Cecah RMB5 Trilion Dari Jan Hingga Sept 2024
- Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran Tertinggi China Berlangsung Esok
- China Akan Laksana Langkah Untuk Pertumbuhan Perdagangan Asing