Kebersamaan China dengan Myanmar yang Diuji Musibah

(CRI)Selasa 01 April 2025

China bertindak pantas menghulurkan bantuan kepada Myanmar susulan berlakunya gempa bumi baru-baru ini, merupakan tanda kebersamaan China dengan negara itu yang diuji musibah, dan semangat persaudaraan "Paukphaw" yang disemarakkan secara turun-temurun.

Demikian dinyatakan oleh Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang akhbar semalam selepas memberikan taklimat mengenai perincian bantuan dihulurkan China kepada Myanmar pasca bencana gempa bumi.

Guo berkata, bencana gempa bumi yang melanda Myanmar sudah dalam perhatian China. Presiden Xi Jinping telah mengucap takziah kepada pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing serta menyampaikan simpati kepada mangsa yang terkorban dan salam kepada keluarga mangsa, anggota cedera dan penduduk awam di kawasan bencana negara itu.

Menurut Guo, Pasukan Penyelamat dan Perubatan Yunnan telah tiba di Myanmar, 18 jam selepas berlakunya gempa bumi, merupakan pasukan antarabangsa yang pertama memasuki kawasan bencana. Mereka bersama pasukan penyelamat tempatan turut berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, yang berturut-turut memasuki kawasan bencana itu termasuk Pasukan Penyelamat China, Pasukan Penyelamat Antarabangsa China, Pasukan Penyelamat Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Pasukan Palang Merah Antarabangsa China.

Selain itu, juga terdapat sejumlah pasukan penyelamat dari sektor swasta China yang sudah atau akan tiba di Myanmar.

Pada masa sekarang, kira-kira 400 pakar gempa bumi, penyelamat dan ahli perubatan China sedang terlibat dalam operasi menyelamat di pelbagai lokasi di Myanmar. Seramai 6 orang mangsa telah berjaya diselamatkan oleh penyelamat China.

Sebelum ini, China pernah mengumumkan akan memberi bantuan kemanusiaan kecemasan bernilai RMB100 juta (RM62 juta) kepada Myanmar, termasuk khemah, kit kecemasan, makanan dan air minuman. Barang bantuan kumpulan pertama sekarang ini sudah tiba di negara itu. Palang Merah China juga tidak ketinggalan dalam menyediakan barang bantuan bencana kepada Myanmar.

"Kami yakin bahawa dengan sokongan masyarakat antarabangsa, kerajaan dan rakyat Myanmar pasti dapat bersatu padu untuk mengatasi bencana dan membina semula rumah tangga mereka", kata Guo.

Video

Berita Berkaitan