Pusat Yiwu-Xinjiang-Eropah Tashkent Dirasmikan di Uzbekistan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 08 April 2025

Agensi berita Global Times pada Isnin melaporkan bahawa Pusat Gabungan Yiwu-Xinjiang-Eropah Tashkent telah dirasmikan di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, sekali gus menandakan ketersambungan perdagangan China yang semakin bertumbuh dengan pasaran Asia tengah dan Eropah.

Pusat Gabungan Yiwu-Xinjiang-Eropah Tashkent terletak berdekatan dengan jalan lingkaran luar Tashkent, iaitu sekitar 20 kilometer daripada ibu kota dan stesen-stesen kereta api yang utama.

Menurut satu kenyataan oleh pihak berkuasa perbandaran Yiwu kepada Global Times, jumlah pelaburan keseluruhan terhadap pusat yang meliputi 4.57 hektar dengan 6,000 meter persegi gudang, bangunan pejabat berkeluasan 600 meter persegi dan 35,000 meter persegi ruang berturap itu adalah sebanyak sekitar AS$9 juta.

Kereta api kargo berlepas dari Stesen Kereta Api Barat Yiwu di Provinsi Zhejiang, timur China. (Foto fail Xinhua)

Kereta api kargo berlepas dari Stesen Kereta Api Barat Yiwu di Provinsi Zhejiang, timur China. (Foto fail Xinhua)

Lapor Global Times, pusat tersebut juga menawarkan perkhidmatan khusus untuk pelanggan yang terlibat dalam perdagangan Uzbekistan.

“Kawasan itu boleh menempatkan kedua-dua kontena kosong dan berisi, dengan laluan rel yang khusus untuk pengurusan kargo.

“Sebagai hab gabungan dan pengedaran, pusat itu mengendalikan julat import yang luas termasuk peralatan elektrik, cip poliester, jentera dan bahan-bahan mentah perindustrian – dan eksport Uzbek seperti benang kapas, kalium klorida dan kacang hijau, yang kesemuanya boleh dihimpun dan dihantar melalui perkhidmatan kereta api kargo Yiwu-Xinjiang-Eropah,” petik kenyataan wakil pihak berkuasa perbandaran Yiwu kepada Global Times.

Difahamkan, pusat itu juga berfungsi sebagai hab transit antarabangsa, menghimpunkan barangan dari negara-negara jiran untuk dieksport semula ke China dan negara-negara lain. Pada masa sama, kargo dari China dan kawasan-kawasan lain yang tiba di Tashkent akan diedar semula melalui kereta api dan trak ke pasaran Asia Tengah seperti Tajikistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Afghanistan.

Kereta api kargo China-Eropah telah memberikan kesan limpahan kepada pembangunan hab logistik baharu, taman perindustrian dan pusat perdagangan di luar negara. Sebagai contoh, terminal Małaszewicze di Poland telah menyaksikan peningkatan trafik, secara tidak langsung mendorong ekonomi tempatan secara signifikan, lapor People’s Daily pada Isnin.

Menurut People’s Daily, Kereta Api Ekspres China-Eropah telah mengoperasikan lebih daripada 105,000 perjalanan hingga hari ini, termasuk perjalanan ulang-alik. Secara domestiknya, 93 laluan berjadual dengan kelajuan maksimum sehingga 120 kilometer sejam menghubungkan 125 bandar.

Secara antarabangsa pula, perkhidmatan itu menghubungkan 227 bandar di 25 negara Eropah, dan lebih daripada 100 bandar di negara Asia.

“Tahun demi tahun, kereta api kargo China-Eropah telah mendorong ketersambungan rentas sempadan dan pertukaran ekonomi secara signifikan dengan menambah baik kecekapan pengangkutan, memendekkan masa penghantaran, dan mempermudah aliran barangan yang lancar, khususnya dalam kalangan negara rakan Inisiatif Jalur dan Laluan,” ujar Sun Zhang, pakar kereta api di Universiti Tongji Shanghai kepada Global Times.

Menurut beliau, kereta api itu menawarkan peluang baharu kepada kawasan barat dan tengah China.

“Pelancaran kereta api kargo China-Eropah menambah baik ketersambungan antara tengah dan barat China dan Eropah, dengan kastam kini ditempatkan di bandar-bandar pedalaman. Ini telah melonjakkan aliran perdagangan, mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kawasan pantai timur,” kata Sun lagi.

Global Times yang memetik kenyataan pihak berkuasa perbandaran Yiwu berkata pelancaran pusat tersebut telah menandakan fasa baharu pengembangan laluan Yiwu-Xinjiang-Eropah di kawasan itu, dan memperkuat lagi ekosistem rantai bekalan kereta api kargo China-Eropah, menambah baik nilai jenama dan pengaruhnya di pasaran antarabangsa.

Video

Berita Berkaitan