- Lain-lain
Vietnam Terima 1.6 Juta Pelancong China Pada Q1 2025, Ungguli Carta
Foto ini memperlihatkan penerbangan terus pertama syarikat penerbangan Colorful Guizhou dari Guiyang ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Longdongbao Guiyang di Provinsi Guizhou pada 31 Ogos 2024. (Oleh Xinhua)
Vietnam telah memecahkan rekod pelancong paling banyak pada suku pertama (Q1) 2025, dengan pelawat dari China mengungguli carta iaitu sekitar 1.6 juta orang, lapor agensi berita Global Times yang memetik media tempatan Vietnam iaitu VietNamNet, pada Isnin.
Menurut laporan itu, lebih daripada 6 juta pelancong telah mengunjungi Vietnam, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 30 peratus dari tahun ke tahun. Pelancong China dan Korea Selatan direkodkan berada di tangga teratas dalam pasaran sumber utama itu, dengan jumlah gabungan sebanyak 47 peratus berbanding pelancong dari negara lain.
Lebih menarik, laporan tersebut turut menyebut bahawa pendorong utama pertumbuhan itu adalah berikutan daripada peningkatan angka pelancong China, yang menyaksikan kenaikan memberangsangkan, iaitu sebanyak 78.3 peratus berbanding tahun terdahulu.
Seorang pemerhati berpendapat bahawa pengangkutan rentas sempadan antara China dan Vietnam telah membangun baik, dengan kemajuan paling jelas dapat dilihat adalah dalam ketersambungan kereta api dan pengoptimuman jaringan laluan rentas sempadan.
Beliau berkata bahawa keadaan itu telah memudahkan permintaan pelancongan yang kian meningkat, didorong oleh perubahan pemilihan dalam kalangan pelancong China.
Zhang Lingyun, profesor dan ketua pengarang eksekutif Tourism Tribune ketika diwawancara Global Times berkata bahawa faktor musim turut menjadi pengaruh. Katanya, ketika cuaca sejuk suku pertama, pelancong China akan lebih memilih destinasi Asia Tenggara dalam perancangan pelancongan luar negara masing-masing.
Tatkala permintaan yang kian meningkat, angka penerbangan baharu yang dilancarkan antara kedua-dua negara turut sama menaik.
Syarikat penerbangan tempatan Vietnam, VietJet Air telah melancarkan empat laluan penerbangan baharu yang menghubungkan Beijing dan Guangzhou dengan bandar utama di Vietnam iaitu Hanoi dan Ho Chi Minh.
Laluan Beijing-Hanoi yang kini beroperasi tiga kali seminggu akan dinaik taraf kepada penerbangan harian mulai 27 April, lapor laman sesawang industri penerbangan cnair.com. Tambahan lagi, laluan Shanghai-Hanoi baharu juga akan dilancarkan pada 29 April dengan penerbangan secara harian.
Xiamen Airlines pada 30 Mac telah melancarkan perkhidmatan dua hala secara kerap antara Fuzhou di Provinsi Fujian dan Hanoi, sekali gus menandakan laluan ke-60 antara China dan Vietnam, lapor China Media Group (CMG). Menurut CMG, Fuzhou juga menjadi bandar ke-20 China yang akan mengoperasikan penerbangan terus ke Vietnam.
Memetik laporan di laman rasmi jabatan pelancongan dan kebudayaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Vietnam menjadi rakan kongsi untuk zon kerjasama pelancongan rentas sempadan kebangsaan pertama China, yang secara rasminya memulakan operasinya pada 15 Oktober 2024.
Di bawah program itu, pelancong dari kedua-dua negara boleh menyertai pelancongan rentas sempadan menerusi tempahan berkumpulan, jadual perjalanan yang tetap, kemasukan berdasarkan kuota dan masa terhad, serta pengaturan kumpulan masuk-keluar.
- NA Vietnam Lulus Pelan Projek Kereta Api Lao Cai-Hanoi-Hai Phong
- To Lam, Setiausaha Agung CPVCC Terpilih
- Vietnam Langsungkan Pengebumian Negara untuk Nguyen Phu Trong
- Vo Thi Anh Xuan Dilantik Pemangku Presiden Vietnam
- Presiden Vietnam Letak Jawatan
- Xi Anugerahkan Pingat Persahabatan kepada Ketua Parti Komunis Vietnam
- Nguyen Phu Trong akan Lawat China
- Vietnam Giat Promosi Buah Longan ke Pasaran China