Perdagangan Asing China Mampu Tangani Cabaran dan Risiko

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 10 April 2025

Perdagangan asing China mempunyai keyakinan dan kemampuan untuk mendepani pelbagai risiko dan cabaran.

Demikian ujar wakil Kementerian Perdagangan China, Xiao Lu dalam satu sidang media di Beijing, pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata bahawa potensi pasaran China yang luas terus dilanjutkan, dan langkah-langkah yang memfokuskan untuk menstabilkan ekonomi dan perdagangan asing sedang dilaksanakan secara progresif.

“Trend asas untuk pembangunan ekonomi jangka panjang yang sejahtera kekal tidak berubah,” ujar Xiao.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa ekonomi global ketika ini mengalami ketidaktentuan, khususnya dalam sektor perdagangan, yang menyaksikan kestabilan rantai bekalan di dalam ancaman.

Lapor Xinhua, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mengeluarkan amaran terhadap kebarangkalian ‘perang perdagangan’ yang lebih luas dan mampu mengundang kepada kenaikan sekatan perdagangan.

Sebagai hasil, OECD telah menyemak semula unjurannya buat pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini dengan menurunkan 0.2 mata peratusan kepada 3.1 peratus. Pada masa sama, ia juga meningkatkan unjuran pertumbuhan China sebanyak 0.1 mata peratusan, lapor Xinhua.

“Perubahan ini mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap ekonomi China dan sikap optimis yang semakin bertambah untuk prospek pembangunan China,” kata Xiao.

Pada 2024, import dan eksport barangan China mencapai RMB43 trilion (sekitar AS$5.97 trilion). Ia menjadi rakan dagang utama dengan lebih 150 negara dan wilayah, serta menandatangani 23 perjanjian perdagangan bebas dengan 30 negara dan wilayah.

Video

Berita Berkaitan