Golongan Muda Pilih Gaya Hidup Hijau

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 11 April 2025

Peminat basikal sedang berkayuh di pekan Eshan, daerah Fanchang, bandar Wuhu, Provinsi Anhui, timur China. (Foto/Xiao Benxiang)

Peminat basikal sedang berkayuh di pekan Eshan, daerah Fanchang, bandar Wuhu, Provinsi Anhui, timur China. (Foto/Xiao Benxiang)

Daripada membawa cawan kopi sendiri ke kedai kopi dan membeli pakaian yang diperbuat daripada bahan mesra alam, kepada memilih produk terpakai dan memandu kenderaan tenaga baharu, pengguna golongan muda di China hari ini semakin memilih gaya hidup hijau.

Mereka dilihat beransur-ansur menjadikan gaya hidup rendah karbon dan mesra alam sekitar kepada satu trend yang popular.

Pada Februari 2025, Pentadbiran Kawalan Pasaran Kebangsaan China bersama-sama dengan empat jabatan lain telah mengemukakan pelan tindakan tiga tahun untuk menambah baik persekitaran pengguna negara itu, dengan fokus khas terhadap bidang seperti penggunaan digital, penggunaan hijau dan penggunaan kesihatan.

Kebangkitan platform terpakai

Lin, seorang mahasiswa di kolej yang sedang melakukan latihan industri di Beijing, sedang melayar Idle Fish atau Xianyu, iaitu pasar terpakai di dalam telefon pintar di bawah syarikat milik Alibaba, Taobao.

Sebuah kanta zoom Canon yang baharu berharga RMB299 telah mencuri tumpuannya. Dia meniliti foto, melihat ulasan dan bersedia untuk tawar-menawar – yang disifatkannya sebagai seronok.

Ramai golongan muda turut berkongsi semangat yang seumpama. Menurut satu kaji selidik dalam talian, lebih daripada separuh responden membeli-belah di platform terpakai, dengan hampir 60 peratus memilih atas faktor manfaat kepada alam sekitar dan harga yang lebih murah.

Pelanggan sedang memilih buku terpakai di kedai buku di daerah Yangpu, Shanghai. (Foto/Wang Chu)

Pelanggan sedang memilih buku terpakai di kedai buku di daerah Yangpu, Shanghai. (Foto/Wang Chu)

Xianyu melaporkan bahawa mereka memiliki lebih daripada 600 juta pengguna pada 2024, dengan golongan yang lahir selepas tahun 1995 dan 2000 meliputi lebih daripada separuh dalam keseluruhan jumlah, sementara pesanan untuk barangan terkitar semula bertumbuh hampir 50 peratus dari tahun ke tahun.

Difahamkan, bukan kedai terpakai dalam talian sahaja yang sedang berkembang maju, malah kedai fizikal juga turut semakin popular.

Dikendalikan oleh sukarelawan, Kedai Amal Zhong’ai di daerah Chaoyang menjual barang-barang yang didermakan untuk mendanai kerja-kerja amal. Barangan beraneka jenis itu antaranya meliputi pakaian, buku, kraf dan mainan.

Xianyu mempunyai kedai kitar semula di bandar-bandar seperti Hangzhou, Shanghai, Chengdu, dan Nanjing, dengan pelbagai format termasuk kedai komuniti, kedai kampus dan pusat beli-belah istimewa.

Menurut statistik, hasil jualan barangan pengguna di bawah dasar program tukar beli China telah melangkaui angka RMB1.3 trilion pada 2024, melonjakkan pertumbuhan runcit sebanyak lebih daripada 1 mata peratusan.

Setakat 14 Mac lalu, China telah menerima permohonan subsidi sekitar 1.3 juta untuk tukar beli kenderaan penumpang pada tahun ini, dan lebih daripada 39 juta pengguna telah memohon subsidi untuk tukar beli untuk lebih 49 juta produk digital.

Memetik laporan kerja kerajaan semasa sesi ketiga Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 pada Mac lepas, China akan mengeluarkan bon perbendaharaan istimewa ultra panjang sebanyak RMB300 bilion untuk menyokong program tukar beli barangan pengguna.

Berbelanja pintar, kehidupan mampan

Sun, seorang pengamal media yang lahir pada 2000-an, cenderung untuk memesan kandungan makanan yang lebih kecil pada makan tengahari hari minggu, dengan menyifatkan usaha itu sebagai memenuhi aspirasi amalan pemakanan yang seimbang dan mengelak daripada pembaziran.

Pelanggan memilih makanan berdasarkan pilihan masing-masing di sebuah kantin di daerah Licang, Qingdao, Provinsi Shandong di timur China. (Foto/Zhang Ying)

Pelanggan memilih makanan berdasarkan pilihan masing-masing di sebuah kantin di daerah Licang, Qingdao, Provinsi Shandong di timur China. (Foto/Zhang Ying)

Pada tahun-tahun mutakhir ini, jabatan kerajaan yang berkaitan turut mengeluarkan pendekatan bagi menggalakkan hidangan dalam kuantiti yang kecil.

Pada Jun 2023, Kementerian Perdagangan dan Pentadbiran Kawalan Pasaran Kebangsaan telah mengeluarkan garis panduan untuk menggalakkan platform penghantaran makanan bagi mempromosi kempen hidangan kuantiti kecil. Pada November tahun berikutnya, China mengumumkan pelan tindakan untuk mengurangkan pembaziran makanan.

Dengan usaha secara bersama antara pihak berkuasa dan peniaga, pengguna turut menyahut seruan. Mengikut data daripada platform e-dagang China iaitu Meituan, setakat Oktober 2024, hampir 1.68 juta restoran telah menawarkan lebih daripada 9 juta hidangan kecil pada di platform itu.

Di sebalik saiz makanan yang kecil, golongan muda juga memilih makanan pukal diskaun yang tidak terjual serta makanan yang hampir dengan tarikh luput. Mereka menyifatkan komoditi tersebut sebagai jimat, menarik, dan mesra alam sekitar. Menurut mereka, meskipun hampir dengan tarikh luput, ia masih baik untuk dimakan, sekali gus memberikan dimensi baharu dalam penggunaan hijau.

Teknologi mendorong pemilihan yang lebih hijau

Bagi kebanyakan golongan muda, menanam pokok dalam talian telah menjadi gaya hidup. Liu Shuangming, seorang kakitangan muda di Syarikat Shaanxi Construction Machinery di Xi'an, Provinsi Shaanxi di barat laut China, merupakan pengguna setia Ant Forest, iaitu inisiatif hijau yang dilancarkan oleh Ant Financial Services Group, di bawah Alibaba.

Seorang kakitangan (kiri) menunjukkan kepada pengguna cara menggunakan robot kitar semula di pusat beli-belah di daerah Shapingba, Perbandaran Chongqing di barat daya China. (Foto/Sun Kaifang)

Seorang kakitangan (kiri) menunjukkan kepada pengguna cara menggunakan robot kitar semula di pusat beli-belah di daerah Shapingba, Perbandaran Chongqing di barat daya China. (Foto/Sun Kaifang)

Dalam aplikasi itu, aktiviti yang menyumbang kepada rendah karbon seperti berjalan kaki atau menaiki kereta api bawah tanah memberi pengguna ‘mata tenaga hijau’. Sejurus mereka telah cukup menyimpan, ‘mata tenaga hijau’ boleh digunakan untuk menanam pokok di tempat seperti Liga Alxa di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China.

Liu menanam pokok pertamanya melalui Ant Forest pada 2017. Menjelang 2024, dia telah menanam lebih daripada 2,500 batang pokok.

Dengan lebih 700 juta pengguna, Ant Forest menggalakkan amalan karbon rendah harian yang memberikan kesan alam sekitar yang besar.

Wang Xiaoying, setiausaha agung Yayasan Ant Forest berkata bahawa golongan yang berumur antara 18 dan 25 merupakan sebahagian besar pengguna.

Ant Forest menanam 548 juta pokok di atas tanah seluas 5.8 juta mu (3,866.67 kilometer persegi) dari Ogos 2016 hingga Ogos 2024. Ia juga membantu mewujudkan 34 kawasan pemuliharaan merentasi lebih 4,900 kilometer persegi tanah dalam tempoh yang sama.

Laporan mengenai penghijauan tanah di China pada 2024, yang dikeluarkan pada 12 Mac 2025 oleh Suruhanjaya Penghijauan Kebangsaan China, menunjukkan bahawa China menubuhkan lebih 2,600 pangkalan penanaman pokok pada 2024 dengan terus memanfaatkan kuasa internet untuk melibatkan orang ramai dalam usaha penghutanan semula.

Untuk rekod, pada 2024, platform penghijauan dalam talian China menerbitkan lebih daripada 61,000 aktiviti.

Video

Berita Berkaitan