Dua Tapak Taman Geologi China Masuki Senarai UNESCO

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 14 April 2025

Gambar yang diambil oleh dron ini memaparkan pemandangan Taman Geologi Kebangsaan Kanbula di kawasan autonomi Tibet Huangnan, di Provinsi Qinghai, barat laut China pada 1 September 2022. (Foto/Xinhua)

Gambar yang diambil oleh dron ini memaparkan pemandangan Taman Geologi Kebangsaan Kanbula di kawasan autonomi Tibet Huangnan, di Provinsi Qinghai, barat laut China pada 1 September 2022. (Foto/Xinhua)

China mengekalkan kedudukan sebagai negara peneraju dalam Taman Geologi Global terbanyak di dunia, dengan dua lagi tapak telah disenaraikan dalam Taman Geologi Global oleh UNESCO, lapor agensi berita China Daily.

Difahamkan, Kanbula yang terletak di Provinsi Qinghai, barat laut China dan Yunyang di Chongqing telah diluluskan sebagai Taman Geologi Dunia pada sesi Lembaga Eksekutif UNESCO ke-221 di Paris, pada 10 April.

Menurut China Daily, dengan penambahan dua lagi tapak itu, ia sekali gus menyaksikan China mempunyai 49 Tapak Geologi Global, iaitu lebih banyak berbanding dengan negara lain.

Antara Taman Geologi Global UNESCO lain yang terdapat di China adalah termasuk Dali-Cangshan di Provinsi Yunnan, barat daya China, Huangshan di Provinsi Anhui dan Gunung Changbaishan di Provinsi Jilin, timur laut China.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Tanah Rumput dan Perhutanan Kebangsaan, Kabula terletak di kawasan autonomi Tibet Huangnan Provinsi Qinghai di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet, dan meliputi kawasan seluas 315,000 hektar.

Lapor Petadbiran itu lagi, Kanbula menampilkan contoh proses peralihan lautan-benua dengan struktur dan lapisan geologi purba yang dipelihara dengan baik.

Ia bukan sahaja terkenal dengan Bentuk Muka Bumi Danxia dan pemandangan Sungai Kuning yang menakjubkan, tetapi juga untuk budaya yang pelbagai dan kewujudan bersama yang harmoni dalam perlindungan alam sekitar dan aktiviti manusia.

Adat, tradisi dan budaya tidak ketara kumpulan etnik Tibet dan Qiang telah disebatikan dan berkembang mekar di Kanbula. Salah satu contohnya adalah seni Regong, yang menggambarkan agama Budha Tibet menerusi lukisan, arca dan sulaman.

Sekeping gambar sudut udara yang diambil menggunakan dron ini memaparkan pemandangan Taman Geologi Yunyang di Chonqing di barat daya China. (Foto/Xinhua)

Sekeping gambar sudut udara yang diambil menggunakan dron ini memaparkan pemandangan Taman Geologi Yunyang di Chonqing di barat daya China. (Foto/Xinhua)

Yunyang di Chongqing terletak di daerah pedalaman kawasan rizab tiga gaung, iaitu empangan terbesar di dunia, dan meliputi kawasan seluas 112,400 hektar. Ia mempunyai fosil dinosaur yang dilindungi dengan baik, bentuk muka bumi karst dan spesies haiwan yang jarang ditemui, iaitu tempat peninggalan sejarah dan budaya kumpulan etnik Tu dipelihara baik.

UNESCO mentakrifkan Taman Geologi Dunia sebagai ‘kawasan geografi tunggal yang bersatu, membolehkan tapak dan landskap kepentingan geologi antarabangsa diuruskan dengan konsep perlindungan, pendidikan dan pembangunan mampan yang holistik’. Ia juga melibatkan kewujudan bersama yang mampan dalam pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan masyarakat tempatan.

Pada tahun 2015, UNESCO melancarkan Program Geosains dan Taman Geologi Antarabangsa dengan tujuan untuk melindungi warisan geologi dan landskap semula jadi dunia. UNESCO telah menyenaraikan 213 tapak di 48 negara sebagai Taman Geologi Global setakat Julai, dan jumlah itu telah meningkat kepada 229 tapak di 50 negara setakat tahun ini.

Video

Berita Berkaitan