- Lain-lain
Ledakan ‘Ekonomi Musim Bunga’ Cerminan Daya Hidup Pasaran Pengguna China
Foto pengayuh basikal sedang berbasikal melalui jalan yang diapit oleh lautan bunga di kampung Libai, kaunti Dianjian, perbandaran Chongqing, di barat daya China pada 25 Mac 2025. (People's Daily Online/Gong Changhao)
Kehadiran musim bunga di serata China dilihat telah menonjolkan dinamika sektor pelancongan dan kebudayaan.
Daripada menikmati keindahan bunga dan kulinari musim bunga kepada memanjat gunung, berbasikal dan berkhemah di luar, data pasaran yang rancak serta trend kepenggunaan menunjukkan terdapat ledakan dalam permintaan dan bekalan ‘ekonomi musim bunga’.
Secara tidak langsung, ia telah mencerminkan daya hidup pasaran pengguna di China.
Ketibaan musim bunga telah muncul sebagai makna kepada trend pelancongan. Meituan, platform terkemuka e-dagang untuk perkhidmatan di China dalam laporannya menyatakan bahawa carian berkaitan ‘pelancongan tengok bunga’ telah melonjak sebanyak 396 peratus dari tahun ke tahun.
Manakala, data daripada penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian, Ctrip pula menunjukkan bahawa tempahan terhadap jadual perjalanan melihat bunga dalam tempoh cuti sempena Pesta Qingming pada 4 hingga 6 April telah meningkat sebanyak 45 peratus berbanding minggu yang terdahulu.
Foto memperlihatkan pelancong di tapak perkhemahan di kampung Zhongfen, perbandaran Suncun, Wuhu, Provinsi Anhui di timur China pada 4 April 2025. (People’s Daily Online/Xiao Benxiang)
Destinasi tradisional yang terkenal dengan bunga sakura, peony dan pic telah menyaksikan lonjakan kedatangan pelancong. Antara tempat utama adalah Taman Bunga Sakura Tasik Timur di Wuhan, Provinsi Hubei dan Pesta Peony di Luoyang, Provinsi Henan, serta Pesta Bunga Sakura di Kawasan Pemandangan Yuantouzhu di Wuxi, Provinsi Jiangsu.
Taman-taman bandar dan kebun botani telah muncul sebagai destinasi yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong dan penduduk tempatan bagi menikmati keindahan musim bunga yang bermekaran.
Memetik data daripada platform e-panggilan iaitu DiDi, terdapat peningkatan 21 peratus dari tahun ke tahun dalam permintaan pengangkutan untuk ke lokasi-lokasi tersebut semasa cuti Pesta Qingming.
Meskipun ramai yang berpusu-pusu untuk pergi melihat bunga yang berkembang mekar di luar, terdapat sebahagian lain yang menikmatinya dari rumah, dengan membawa bunga mekar ke dalam rumah. Platform e-dagang Taobao merekodkan bahawa carian harian untuk produk bunga segar melebihi 150,000 pada bulan Mac, dengan carian untuk bunga potong meningkat lebih 20 peratus berbanding setahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, nilai transaksi untuk tulip, peony dan bunga teluki meningkat dua kali ganda dalam tempoh ini.
"Saya sangat teruja untuk menikmati qingtuan setiap kali tibanya musim bunga," kongsi Jiang Jiaqi, seorang pekerja bank yang berpangkalan di Beijing dari daerah Chaoyang, yang memesan beberapa kotak makanan bermusim dengan pelbagai inti dalam talian semasa percutian itu.
Sebagai hidangan istimewa musim bunga, qingtuan - snek pulut berinti manis atau berperisa - terus mendapat sambutan dalam kalangan pengguna.
Gergasi e-dagang, JD.com melaporkan bahawa jualan qingtuan pada minggu sebelum Pesta Qingming meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun, dengan perisa yang rendah gula menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 109 peratus. Ia sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan yang lebih sihat dalam kalangan pembeli yang mementingkan rasa.
Melihat kepada sayur-sayuran bermusim yang membanjiri pasaran, rasa musim bunga segar telah memacu pertumbuhan dalam sektor makanan dan minuman China.
Data daripada Meituan mendedahkan bahawa terdapat lonjakan 117 peratus tahun ke tahun dalam tempahan untuk pakej makan bermusim yang menampilkan masakan musim bunga sejak Mac.
Difahamkan, permintaan yang kukuh telah mempercepatkan inovasi menu, dengan restoran yang menawarkan hidangan berinspirasikan musim bunga meningkat sekitar 470 peratus berbanding tahun lepas.
Mengambil semangat untuk memanfaatkan permintaan tinggi tersebut, banyak restoran melancarkan tawaran bermusim yang inovatif.
"Sejak permulaan musim bunga, kami telah memperkenalkan pelbagai hidangan berasaskan rebung, dan jualan telah meningkat dengan ketara. Penggunaan rebung segar meningkat sebanyak 25 peratus tahun ke tahun," kata wakil dari Restoran Tongchunyuan Beijing, di bawah kendalian Huatian Group, sebuah syarikat perkhidmatan moden merentas wilayah yang disenaraikan dalam industri perkhidmatan hotel.
Dipacu oleh dwi tenaga penggunaan bermusim dan pelancongan musim cuti, penjualan seperti peralatan aktiviti luar dan khemah, produk berbasikal serta fesyen bertemakan bunga telah menikmati lonjakan ketara.
Data oleh Ctrip menunjukkan bahawa terdapat ledakan dalam tempahan hotel di destinasi popular seperti Wuyuan di Jiangxi, Nyingchi di Xizang, Wuxi di Jiangsu, Anshun di Guizhou dan Wuhan di Hubei.
“Memanjat gunung untuk menikmati pemandangan telah menggabungkan elemen senaman dengan keseronokan,” ujar Liu Wei, seorang pengunjung yang menerokai Gunung Tianping di Shuzhou, Provinsi Jiangsu. Di situ, para pengunjung boleh menikmati panorama bunga azalea yang berkembang mekar dari serata dunia dan menerokai landskap bertemakan bunga.
Pelancong menaiki bot di Taman Runtuhan Tembok Bandar Dadu Yuan di Beijing, 4 April 2025. (People’s Daily Online/Guo Junfeng)
Kemunculan musim bunga telah mendorong kepelbagaian dalam trend pengguna, dengan pelbagai minat yang telah merancakkan permintaan di beberapa sektor. Menurut JD.com, jualan pakaian perlindungan matahari pada minggu sebelum Pesta Qingming telah melonjak sebanyak 240 peratus berbanding minggu yang terdahulu.
Dalam tempoh tersebut, penjualan pelitup muka pelindung suria meningkat 116 peratus, manakala losyen pelindung suria turut melonjak sebanyak 82 peratus.
Keinginan untuk mengabadikan kenangan musim bunga juga telah mendorong pertumbuhan pesat dalam peralatan fotografi; dengan jualan kamera aksi melonjak sebanyak 654 peratus, kamera segera sebanyak 193 peratus, dan kamera digital sebanyak 132 peratus.
Aktiviti luar seperti berbasikal dan berkhemah, terus mendapat momentum. Data JD.com telah menunjukkan terdapatnya lonjakan jualan yang ketara sebelum Pesta Qingming; iaitu jualan pakaian berbasikal meningkat sebanyak 67 peratus, basikal bandar sebanyak 46 peratus, khemah sebanyak 74 peratus dan perabot perkhemahan sebanyak 70 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Dengan ekonomi musim bunga berkisar dengan ekonomi percutian, elemen penggunaan baharu, perkhidmatan dan produk muncul secara tidak langsung menyuntik tenaga segar ke dalam pembangunan ekonomi dan sosial China.
- Jutaan Tulip Berkembang Mekar di Henan
- Beijing Umum 10 Teratas Bagi Destinasi Pemandangan Musim Bunga
- Bunga Ceri Bermekaran di Guizhou
- Pokok Pir Berusia 138 Tahun Berbunga Penuh di Timur Laut China
- Kereta Api Laju Menuju ke Musim Bunga di Xizang
- Lokasi Hayati Bunga di Beijing
- Tibanya Musim Bunga, Produk Bercorak Bunga Kian Laris
- Tauhu 1,500 Kg untuk Galakkan Pembajakan Musim Bunga
- Pemandangan Musim Bunga Dasar Tasik Daye, Hubei
- Karnival Musim Bunga Meriahkan Pekan Air Kuno