Latihan ‘Pesanan Sukan’ Atas Permintaan Raih Perhatian Meluas di China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 04 Disember 2025

Jurulatih bola sepak, Liang Haojie menyediakan perkhidmatan ‘pesanan sukan’ di sebuah dataran komuniti di daerah Jianxi, Luoyang, Provinsi Henan di tengah China. (Foto oleh Zhang Yixi)

Jurulatih bola sepak, Liang Haojie menyediakan perkhidmatan ‘pesanan sukan’ di sebuah dataran komuniti di daerah Jianxi, Luoyang, Provinsi Henan di tengah China. (Foto oleh Zhang Yixi)

Ibu bapa di bandar-bandar serata China semakin galak dalam membuat tempahan jurulatih sukan profesional untuk ke kejiranan masing-masing dengan hanya menyentuh skrin di telefon pintar.

Model latihan atas permintaan tersebut yang turut digelar sebagai ‘pesanan sukan’ dilihat sedang membentuk semula latihan atletik tradisional.

Liu, seorang bapa kepada anak berusia 14 tahun di Beijing berkata bahawa, pada masa lalu, beliau perlu menghabiskan masa satu jam perjalanan pergi dan pulang untuk menghantar anaknya ke kelas kecergasan.

“Kini, jurulatih datang terus ke kejiranan kami, dan lebihan masa tersebut kami boleh gunakan untuk membaca bersama-sama,” ujar Liu.

Untuk rekod, ‘pesanan sukan’ adalah satu model perniagaan baharu yang menyepadukan pendidikan fizikal dengan ekonomi atas permintaan. Ia tidak lagi tertakluk dengan kebergantungan latihan tradisional yang memerlukan venue tetap, dan kini memanfaatkan taman-taman komuniti, ruang terbuka serta rumah sebagai lokasi latihan.

Li Hai, dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Sukan Shanghai berkata bahawa, dengan menyepadukan sumber menerusi platform digital, pesanan sukan menawarkan keselesaan, fleksibel, dan perkhidmatan sukan yang diperibadikan, sambil mencipta peluang keusahawanan dan pekerjaan baharu untuk profesional.

Aplikasi platform sukan khidmat rumah ke rumah di Beijing, Leshi Sports menawarkan kursus yang pelbagai termasuk persediaan ujian senaman fizikal untuk pelajar, latihan kecergasan untuk pekerja pejabat, dan Tai Chi untuk warga emas. Malah, sukan baru muncul seperti frisbee dan bola pikel juga terbukti popular dalam platform tersebut.

Chen Xueli, pemilik bersama platform itu berkata bahawa, dalam tempoh 12 bulan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihaknya telah berjaya menarik lebih 300,000 pengguna di serata 100 bandar-bandar di China, dengan kadar pembelian semula sehingga 45 peratus.

Sementara itu, Li pula menekankan bahawa piawaian perkhidmatan yang disatukan serta mekanisme penyeliaan yang efektif sangat diperlukan bagi memastikan pesanan sukan dapat mencapai pembangunan mampan.

Katanya, jabatan kerajaan yang memantau sukan, peraturan pasaran, pendidikan dan bidang-bidang lain seharunya bekerjasama untuk menetapkan piawaian jelas dan menambah baik dasar-dasar penyeliaan.

Dalam pada itu, pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Sukan di Universiti Keawangan dan Ekonomi Pusat, Wang Yuxiong berpendapat bahawa keutamaan harus diberikan untuk memperkukuh penyeliaan, mewujudkan mekanisme akses dan menetapkan piawaian kualiti untuk menjamin keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan perkhidmatan.

Setakat awal 2021, Pentadbiran Am Sukan China mengeluarkan kod tata laku untuk latihan sukan selepas waktu sekolah, dengan secara jelas menuntut jurulatih agar mempunyai pensijilan yang berkaitan.

Pemain industri mencadangkan agar melaksanakan perjanjian perkhidmatan elektronik untuk memperjelas tanggungjawab keselamatan dan melindungi keselamatan individu serta privasi pengguna.

Mereka turut memberi cadangan agar bekalan venue sukan awam ditambah lagi, menggalakkan sekolah untuk membuka fasiliti masing-masing secara berperingkat-peringkat, dan membina sistem insurans yang komprehensif.

Video

Berita Berkaitan