Raja Jordan Terima Kunjungan Menteri Luar China

(CRI)Selasa 16 Disember 2025

Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II telah berkenan menerima kunjungan Menteri Luar China, Wang Yi di Amman pada Isnin.

Raja Abdullah II menyatakan bahawa Jordan mengambil berat terhadap pembangunan hubungan dengan China, dan berharap dapat mengeratkan lagi hubungan peringkat tinggi dengan pihak China.

Ini juga termasuk memajukan kerjasama dan meningkatkan penyelarasan komunikasi dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, serta berganding bahu untuk menangani situasi antarabangsa yang penuh dengan pergolakan terutamanya konflik di Asia Barat.

Selain itu, Jordan menegaskan komitmennya untuk menyokong penganjuran Sidang Kemuncak China-Arab Kedua di China tahun hadapan dan bersedia memberi sokongan penuh dalam kerja persiapan agar sidang kemuncak berkenaan menjadi peluang baharu memperkukuhkan hubungan erat dan dinamik antara negara-negara Arab dengan China.

Sementara itu, Wang berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik China-Jordan.

Justeru, beliau berkata China bersedia meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan Jordan, melaksanakan kata sepakat yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, di samping merancang pembangunan dekad seterusnya bagi hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Menurut Wang, China juga akan sentiasa berdiri di pihak Selatan Global serta negara kecil dan sederhana, melindungi kepentingan bersama negara-negara membangun, dan bersedia untuk terus menjadi rakan strategik yang paling dipercayai Jordan dalam proses pembangunan dan kebangkitan negara.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan secara mendalam mengenai situasi rantau Asia Barat.

Video

Berita Berkaitan