PM Li Adakan Pertemuan dengan Anwar di Hangzhou

(CRI)Jumaat 25 September 2026

Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hangzhou pada Khamis pagi.

Dalam pertemuan itu Li berkata, China sentiasa mengutamakan pembangunan hubungan dengan Malaysia dalam diplomasi serantau.

Katanya lagi, tatkala dunia mengalami pergolakan dan perubahan yang tidak pernah berlaku dalam seratus tahun lalu, China bersedia bersama-sama Malaysia untuk menyemarakkan ikatan muhibah tradisional, mengukuhkan rasa saling percaya dalam bidang politik, menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib bersama China-Malaysia bertaraf tinggi dan strategik ke arah lebih substantif, demi membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

China juga sudi bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan keserasian dalam bidang ekonomi, memacu pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi, dan memastikan projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia dilaksanakan dengan lancar.

Pada masa sama, adalah perlu untuk memperkuat kesalinghubungan antara pasaran dua hala, memajukan perdagangan bilateral terus diperluas dan ditingkatkan dari segi kualiti, di samping memperkasakan kerjasama dalam industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik bateri (BEV), dan semikonduktor, serta berusaha mewujudkan situasi saling untung dan sama menang ke arah yang lebih tinggi.

Kedua-dua pihak juga perlu memperkuat koordinasi pendirian dalam isu-isu penting, mengintensifkan kolaborasi dalam empat inisiatif global utama, bersinergi membanteras tingkah laku membuli, melindungi sistem perdagangan multilateral, dan menjaga hak serta kepentingan negara sendiri, kata Li.

Sementara itu, Anwar berkata, negaranya menghargai perkongsian strategik komprehensif Malaysia-China dan teguh berpegang kepada dasar Satu China.

Beliau berkata, Malaysia ingin bekerjasama dengan China dalam melaksanakan konsensus penting dicapai pemimpin dua negara, memperkasakan kerjasama praktikal dalam bidang infrastruktur, AI dan lain-lain, serta terus memberi jaminan kukuh kepada perusahaan China untuk menjalankan pelaburan dan perniagaan di Malaysia, ujar beliau.

Katanya lagi, Malaysia mendukung cadangan disyorkan oleh Presiden China, Xi Jinping dalam tadbir urus AI, dan menyanjung peranan China sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab dalam menggalakkan penyempurnaan tadbir urus global, mempertahankan hak sah dimiliki negara-negara Global Selatan, dan memajukan kemakmuran bersama semua negara.

Beliau turut meluahkan kesediaan bersinergi dengan China untuk membuat sumbangan lebih besar bagi kedamaian dan pembangunan serantau bahkan dunia.

Video

Berita Berkaitan