- Lain-lain
Model AI China Menonjol di Arena Global
Sejak bermulanya tempoh Pelan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025), sejumlah besar model AI besar dari China telah pesat berkembang dan menjadi tumpuan global, sekali gus menyuntik momentum kukuh terhadap pembangunan ekonomi China yang berkualiti tinggi.
Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat memaklumkan bahawa, industri AI China berjaya mengekalkan pertumbuhan rancak di sepanjang tempoh itu, dengan angka perusahaan dan skala keseluruhan industri berkembang stabil.
Model bahasa besar (LLM) yang dicipta di China seperti DeepSeek dan Tongyi Qianwen sedang menerajui ekosistem sumber terbuka global, sementara cermin mata pintar, telefon pintar dan terminal pintar lain yang dikuasakan AI sedang menerima tarikan luar biasa.
China kini menempatkan lebih daripada 5,100 perusahaan AI dan mengepalai dunia dari sudut angka model AI besar yang dikeluarkan. Model AI China ketika ini meliputi sembilan daripada 10 kedudukan teratas dalam ranking Hugging Face, iaitu komuniti AI sumber terbuka global yang terbuka. Lebih manis, kejayaan itu berjaya direalisasikan kurang daripada dua tahun.
Liu Liehong, ketua Pentadbiran Data Kebangsaan berkata bahawa penggunaan token harian di China adalah sebanyak 100 bilion pada awal 2024. Menjelang penghujung Jun 2025, angka tersebut berkembang melebihi 30 trilion, iaitu peningkatan lebih 300 kali ganda dalam tempoh hanya 18 bulan.
Syarikat tempatan juga terus melakukan pelaburan penting dalam penyelidikan dan pembangunan, yang secara tidak langsung mendorong kepada penambahbaikan prestasi yang mampan dalam LLM dari China.
Satu contoh yang menonjol ialah Kling AI, model video generatif yang dilancarkan oleh platform video pendek China, Kuaishou. Sejak membuat penampilan sulungnya pada setahun yang lalu, Kling telah menarik lebih 22 juta pengguna, dan kini menyumbang kira-kira 30 peratus daripada bahagian pasaran global, sekali gus menduduki tempat pertama di peringkat global.
Menurut Gai Kun, naib presiden kanan di Kuaishou dan ketua Kling AI dan bahagian sains komuniti platform tersebut, Kling berjaya memendekkan masa penerbitan video dengan ketara. Siri drama pendek kini hanya mengambil kira-kira satu pertiga daripada masa yang diperlukan oleh kaedah tradisional.
Dengan memanfaatkan seni bina model berkecekapan tinggi proprietari dan algoritma pemadanan aliran, Kling telah meningkatkan keupayaannya untuk mensimulasikan hukum fizikal dan bertindak balas terhadap input pengguna yang kompleks, menghasilkan pergerakan watak yang lebih hidup dan kesan visual yang lebih lancar dan koheren.
Kebolehcapaian sumber terbuka merupakan ciri dan kekuatan yang menentukan banyak model AI besar dari China. Sehingga kini, Tongyi Alibaba telah menyediakan lebih daripada 300 model sumber terbuka merentasi pelbagai modaliti dan skala.
Untuk rekod, model Tongyi telah dimuat turun lebih 600 juta kali di seluruh dunia, menghasilkan lebih daripada 170,000 model derivatif. Infrastruktur AI dan rangkaian pengkomputeran awan Alibaba Cloud kini beroperasi di 91 zon ketersediaan merentasi 29 wilayah di seluruh dunia.
Sejak permulaan tempoh FYP ke-14, model AI China telah berkembang pesat ke dalam pelbagai senario aplikasi, yang turut mengubah pengeluaran dan kehidupan seharian dengan ketara.
Contoh jelas antaranya dapat dilihat menerusi pemeriksaan grid kuasa. Pemeriksaan manual tradisional pernah memerlukan tenaga kerja yang besar. Kini, melalui kerjasama AI dan peranti awan yang terkini, syarikat dalam industri kuasa telah mencapai kecekapan operasi yang jauh lebih tinggi.
Li Chao, pengurus besar bahagian perniagaan tenaga Baidu AI Cloud, berkata bahawa dengan memanfaatkan model besar Wenxin, Baidu telah membantu State Grid Corporation of China melancarkan Model Besar Guangming Power, iaitu model khusus industri, dan membina platform inovasi AI terbuka bersepadu yang menghubungkan ibu pejabat syarikat dengan 27 anak syarikat di provinsi. Ia juga menyokong pemeriksaan dron 5 juta menara penghantaran setiap tahun, mengurangkan pendakian menara manual sebanyak 40 peratus.
Pada 28 September, Tencent mengeluarkan dan menyumberkan Hunyuan Image 3.0 secara terbuka, model penjanaan imej pelbagai mod asli daripada platform AI miliknya, Hunyuan. Dalam masa hanya seminggu, ia menduduki tempat teratas dalam ranking teks kepada imej terkini LMArena, diiktiraf sebagai model teks kepada imej sumber terbuka yang terbaik.
Zhang Yunming, Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat berkata bahawa, gabungan pasaran besar China dan penggunaan teknologi terkini sedang mencipta peluang yang luas buat pembangunan model besar tempatan.
Melihat ke hadapan, pihak berkuasa tempatan akan terus memfokuskan terhadap invoasi teknologi dan penggunaan praktikal untuk mempromosi pembangunan berkualiti tinggi industri AI, selain mempercepat proses perindustrian baharu negara.
- China, ASEAN, Bersama Inovasi Khidmat Selia Pasaran
- Pengguna AI Generatif di China Berjumlah 515 juta Orang
- Guangxi Perkukuh Kerjasama Belia dalam AI dengan ASEAN
- AI Teraju Ekonomi Digital Guangxi
- Sidang Pertukaran AI China-ASEAN Diadakan
- Guangxi Tubuh Dana Pelaburan Industri AI
- Pusat Kerjasama Pengaplikasian AI China-ASEAN Dirasmikan
- Guangxi Pamer Hasil Aplikasi AI dalam E-dagang Rentas Sempadan
- Pertandingan AI Buka Masa Depan Baharu Buat E-dagang Rentas Sempadan
- Xi Ucap Tahniah Perasmian Ekspo Industri Pintar Dunia 2025




