Mesyuarat Menteri Luar China-Jerman-Perancis Berlangsung di Munich

(CRI)Sabtu 14 Februari 2026

Mesyuarat menteri luar tiga pihak antara China, Jerman dan Perancis berlangsung di Munich pada Jumaat.

Menteri Luar China Wang Yi menyifatkan mesyuarat yang julung kalinya diadakan antara menteri luar tiga negara itu sebagai langkah inovatif selaras dengan perkembangan situasi semasa dan juga peluang penting bagi melakukan komunikasi strategik.

Wang berkata kerjasama antara China dan Kesatuan Eropah (EU) sepanjang lima dekad membuktikan kedua-dua pihak adalah rakan kongsi, bukan lawan.

Sebagai negara besar EU, Jerman dan Perancis diharap mendorong EU membina persepsi yang objektif dan menyeluruh serta mengamalkan dasar yang rasional dan pragmatik terhadap China, demi kepentingan dua negara itu dan EU.

Menteri Luar Jerman Johann Wadephul berkata pihaknya menghargai peranan positif dimainkan China dalam urusan global dan berhasrat memperkasa komunikasi dan koordinasi dengan China.

Beliau juga menzahirkan komitmen Jerman dalam menyokong perdagangan bebas dan menentang amalan ‘cantas hubungan’.

Jerman bersedia menyelesaikan pergeseran perdagangan dengan China menerusi perundingan dan mendorong perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan EU-China secara seimbang, katanya.

Sementera itu, Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot berkata ketiga-tiga negara perlu bersama memainkan peranan dalam mendorong kedamaian dunia dan menyempurnakan tadbir urus global.

Perancis komited menyumbang kepada hubungan yang lebih mantap dan positif antara EU dengan China.

Perancis berharap dapat menjalankan komunikasi dengan China, mendorong penyelarasan antara pelbagai platform multilateral serta memelihara multilateralisme dan perdagangan bebas, ujarnya.

Video

Berita Berkaitan