- Lain-lain
Model AI China Diguna Pakai Meluas

Jurutera memeriksa pusat data Internet di sebuah kemudahan pengkomputeran antarabangsa di Changji, wilayah autonomi Uygur Xinjiang, barat laut China. (Foto/He Long)
Di serata pasaran global, semakin ramai pengguna yang memilih untuk mengguna pakai model besar AI China untuk merangsang produktiviti. Setiap interaksi menggunakan unit digital dipanggil “token” – blok asas yang diperlukan oleh sistem AI untuk memproses bahasa. Secara umumnya, setiap aksara Cina bersamaan dengan satu token, manakala perkataan Inggeris jatuh antara satu hingga dua token, termasuk tanda bacaan.
Memandangkan model besar mengehadkan teks yang diproses per sesi, kebanyakan perkhidmatan AI mengenakan caj berdasarkan penggunaan: lebih tinggi penggunaan, lebih tinggi kosnya.
Sejak Mac tahun ini, penggunaan token harian China telah melebihi 140 trilion, iaitu melonjak seribu kali ganda dalam dua tahun. Data industri menunjukkan bahawa model besar AI China kini antara yang terdepan di dunia dalam jumlah penggunaan token.

Foto menunjukkan sebuah taman perindustrian data besar di Zhangjiakou, provinsi Hebei, utara China. (Foto/Chen Xiaodong)
Yan Yijun, naib presiden MiniMax, syarikat model asas AI yang berpangkalan di Shanghai, menjelaskan, “Pengguna memilih berpandukan kriteria yang jelas: pertama, model itu mestilah pintar, mesra pengguna dan responsif, serta mampu menyelesaikan masalah-masalah rumit; kedua, harganya mesti berpatutan dan boleh dikekalkan secara komersial.”
Penggunaan token mencerminkan penggunaan dalam dunia sebenar – menandakan betapa mendalam, kerap dan meluasnya model besar AI terintegrasi dalam senario penggunaan. “Model besar AI China diguna pakai oleh pengguna global dengan kadar kekerapan yang tinggi. Ini satu bentuk pengiktirafan daripada pengguna di seluruh dunia,” tambah Yan lagi.
Bagi pembangun, mengimbangkan prestasi yang tinggi dengan kos yang rendah bukanlah sesuatu yang mudah. Peningkatan dalam kemampuan model sering kali datangnya dengan pertumbuhan eksponen dalam parameter, yang turut meningkatkan penggunaan token. Lebih banyak token digunakan, lebih tinggi kos operasi bagi syarikat dan kos penggunaan bagi pengguna.
Yan mengambil contoh “MiniMax M2.5” sebagai satu penyelesaian: “Kami menggunakan inovasi algoritma untuk mencipta jalan penaakulan yang efisien, sekali gus mengurangkan penggunaan token di sumbernya sambil meningkatkan nilai setiap token.”
Dengan kos $1 sejam, model tersebut menghasilkan 100 token sesaat. Menurut anggaran, model China menawarkan prestasi yang setanding pada satu persepuluh kos produk alternatif dari AS.
“Kos yang semakin menurun bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi syarikat AI China, malah juga kemampuan rantaian pembekalan kuasa dan perindustrian negara,” jelas Li Zhiqing, seorang profesor dari Sekolah Ekonomi Universiti Fudan.

Pelajar menghadiri kelas pengetahuan AI asas di sebuah sekolah rendah di Tianjin, utara China. (Foto/Liu Dongyue)
Li membuat satu perbandingan: secara tradisionalnya, satu kilowatt-jam elektrik menghasilkan satu hingga dua kali nilainya dalam output. Namun bagi token, nilainya boleh bertambah puluhan malahan ratusan kali ganda.
- Aplikasi AI Terserlah dalam Pameran Elektronik Pengguna dan Isi Rumah 2026 di China
- China Kini Pemilik Paten AI Terbesar Dunia
- Transformasi Pintar Pacu Perkembangan Pelebur Tembaga Utama China
- Lebih 6,000 Syarikat AI di China pada 2025
- People’s Daily Online Anjur “AI Night in Xi’an”, Pamer Masa Depan Media Dipacu AI
- Industri Teras AI China Dijangka Bernilai RMB1.2 Trilion Pada 2025
- AI+e-Sukan Corakkan Tatamain Baharu Masa Depan
- China Mahu Majukan Jaringan Pengangkutan Menjelang 2030
- Pembuat Permainan China Gabungkan AI Dengan Elemen Kebudayaan, Kecapi Kejayaan Antarabangsa
- China Sedia Pergiat Kerjasama Siber dengan Dunia




