Visi Baharu Singkap Lembaran Baharu Hubungan China, AS

(CRI)Sabtu 16 Mei 2026

Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump selama tiga hari ke China yang bermula Rabu menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Ini merupakan pertemuan bersemuka antara pemimpin kedua-dua negara selepas mereka bertemu di Busan pada Oktober lalu, dan juga lawatan pertama Presiden AS ke China dalam tempoh sembilan tahun.

Visi baharu untuk membina hubungan China-AS berteraskan kestabilan strategik yang konstruktif antara konsensus penting yang dicapai sempena pertemuan pemimpin kedua-dua negara kali ini.

Visi itu bukan sahaja memberikan panduan strategik untuk hubungan bilateral dalam tempoh tiga tahun akan datang dan seterusnya, tetapi juga menyuntik kestabilan dan kepastian buat dunia.

Mengulas lanjut mengenai 'kestabilan strategik yang konstruktif', Presiden Xi Jinping menekankan ia perlu menjurus kepada kestabilan dengan mengutamakan kerjasama, mengamalkan persaingan sederhana, memastikan perbezaan pendapat terkawal dan menjanjikan keamanan.

Menurut penganalisis, kestabilan dalam empat aspek itu menggariskan pendekatan untuk mewujudkan cara pergaulan yang tepat antara kedua-dua negara pada era baharu. Ia selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara dan juga aspirasi masyarakat antarabangsa.

Dalam pertemuan kali ini, pihak China sekali lagi menyatakan bahawa AS dialu-alukan memperkasa kerjasama saling untung dengan China. Di samping itu, Presiden Trump menggalakkan usahawan AS yang mengiringinya dalam lawatan kali ini untuk memperluas kerjasama dengan negara Tembok Besar.

Kedua-dua negara diharap dapat memanjangkan senarai kolaborasi dan memendekkan senarai masalah, sekali gus menggerakkan kerjasama pragmatik dalam bidang ekonomi dan perdagangan bagi menjana lebih banyak peluang pembangunan.

Sebagai hubungan bilateral paling penting di dunia pada masa ini, hubungan China-AS bukan sahaja berkaitan dengan kesejahteraan lebih 1.7 bilion rakyat kedua-dua negara, malah rakyat seluruh dunia.

Selain bertukar-tukar pendapat mengenai isu antarabangsa dan serantau yang penting seperti situasi Asia Barat, krisis Ukraine dan isu Semenanjung Korea, pemimpin kedua-dua negara juga sepakat saling menyokong dalam penganjuran Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

China dan AS diharap melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara dengan baik, menterjemahkan visi baharu menerusi dasar dan langkah konkrit, dan menjadikan 2026 tahun bersejarah dan penting yang menyingkap lembaran baharu dalam hubungan bilateral.

Video

Berita Berkaitan