China, Jepun Capai Konsensus untuk Stabilkan dan Kembangkan Hubungan Dua Hala

(CRI)Jumaat 18 November 2022

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Bangkok, Thailand pada Khamis. Kedua-dua pihak mencapai konsensus dalam lima perkara untuk menstabilkan dan mengembangkan hubungan dua hala.

Pertama, kesignifikanan hubungan China-Jepun tidak berubah dan tidak akan berubah. Kedua-dua pihak akan mematuhi prinsip empat dokumen politik, dan mengamalkan konsensus politik iaitu China dan Jepun ialah "rakan kongsi, bukan ancaman".

China dan Jepun bersetuju untuk mengukuhkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, mengintensifkan kepercayaan politik, dan komited kepada pembinaan hubungan China-Jepun yang membina dan stabil yang sesuai dengan keperluan pada era baharu.

Kedua, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan dialog ekonomi peringkat tinggi pusingan baharu secepat mungkin, mengukuhkan kerjasama dalam bidang penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar, pembangunan hijau, perubatan, dan penjagaan warga emas, serta bersama-sama menyediakan persekitaran perniagaan yang adil, tanpa diskriminasi dan boleh diramalkan.

Ketiga, China dan Jepun memberi penilaian positif terhadap siri aktiviti sambutan ulang tahun ke-50 penormalan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat mekanisme dialog kemanusiaan dan budaya peringkat tinggi China-Jepun pusingan baharu secepat mungkin, serta menjalankan pertukaran lawatan antara kerajaan, parti politik, parlimen, tempatan dan dalam golongan belia.

Keempat, kedua-dua pihak bersetuju untuk membuka talian langsung mengenai isu laut dan udara dalam mekanisme perhubungan di jabatan pertahanan secepat mungkin, mengukuhkan dialog dan komunikasi antara jabatan pertahanan dan maritim, dan bersama-sama mematuhi konsensus berprinsip empat perkara yang dicapai pada tahun 2014.

Kelima, China dan Jepun bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan kemakmuran antarabangsa dan serantau. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau untuk menangani cabaran global.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan