- Lain-lain
Wang, Hsieh Juara Beregu Wanita French Open 2023
Wang Xinyu (kiri) dari Tanah Besar China dan Hsieh Su-Wei (kanan) dari Taipei, China menjulang trofi Simonne Mathieu selepas memenangi kategori beregu wanita French Open 2023 di Paris, Perancis pada 11 Jun, 2023. (foto: Gao Jing/Xinhua)
Gandingan mantap Wang Xinyu dari Tanah Besar China dan Hsieh Su-wei dari Taipei, China muncul sebagai juara bagi kategori beregu wanita French Open Ahad lalu, mengatasi pasangan Leylah Fernandez dari Kanada dan Taylor Townsend dari Amerika Syarikat dengan keputusan 1-6, 7-6(5), 6-1.
Hsieh, 37 tahun, dan Wang, 21, telah melalui dua minggu yang menakjubkan di Paris. Mereka yang tidak disangka-sangka boleh menang berjaya menundukkan lima pasangan pemain pilihan bagi menjulang trofi Simonne Mathieu.
"Sebelum datang ke sini, kami tidak menyangka akan dapat bermain di pusingan akhir. Kami pasangan yang baru berganding tidak sampai sebulan, niat kami hanyalah untuk menikmati setiap perlawanan," kata Hsieh.
Walaupun terlepas mata kejuaraan pertama pada 40-15, Hsieh cuba mencapai mata kejuaraan kedua dan berjaya memastikan trofi beregu Grand Slam kelimanya, manakala Wang merangkul trofi Grand Slam pertama.
"Kadang-kadang kita kalah pada set pertama, tapi pada set kedua, kalau tak berputus asa, peluang yang diharapkan akan datang," kata Hsieh.
Perlawanan balik mereka bermula dari set kedua dengan Wang yang lebih handal di garisan dasar memperkuat serangannya sementara Hsieh meningkatkan kadar capai markah di jaring.
"Selepas set pertama, Hsieh beritahu saya ini bukan masalah besar. Paling teruk sekali pun kami tewas satu set lagi, dan sekurang-kurangnya masih dapat pulang bergelar naib juara," kata Wang. "Dengan itu, kami tak lagi cemas atau tertekan dalam set kemudian."