Ban Ki-moon Sifatkan Kepimpinan Xi Sebagai Penting, Proaktif

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 25 Disember 2024
Ban Ki-moon Sifatkan Kepimpinan Xi Sebagai Penting, Proaktif
Mantan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon. (Foto Chen Shangwen/People’s Daily)

Mantan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menzahirkan pujian terhadap kepimpinan Presiden China, Xi Jinping, dengan menyifatkan ia sebagai proaktif dan penting dalam menangani cabaran serta mempromosi keamanan dan pembangunan sejagat.

Ketika menerima wawancara ekslusif People’s Daily baru-baru ini, beliau telah berkongsikan pengalamannya berinteraksi dengan Xi, dan menggambarkan Presiden China itu sebagai seorang pemimpin berwawasan dan penuh kebijaksanaan.

“Saya pernah bertemu dengan Presiden Xi Jinping beberapa kali. Hubungan dan persahabatan kami terjalin berdasarkan kefahaman bahawa manusia berkongsi Bumi dan masa depan yang sama,” kata Ban.

Pada Julai 2005, beliau buat pertama kalinya berjumpa dengan Xi yang ketika itu merupakan Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China bagi Provinsi Zhejiang, yang sedang dalam rangka lawatan di Korea Selatan.

Selaku Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Korea Selatan ketika itu, Ban menyifatkan Xi sebagai seorang pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan bertindak berdasarkan keperluan mereka.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung PBB dari 2007 hingga 2016, Ban aktif menyokong peranan China di peringkat antarabangsa.

Pada 2015, atas jemputan Ban, Xi menghadiri sidang kemuncak memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan PBB di New York. Semasa kunjungan itu, Xi menghadiahkan Zun of Peace kepada PBB, iaitu simbolik sokongan China terhadap keamanan sejagat.

Ban berkata, semasa menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB ketika itu, Xi telah menyeru kerjasama global untuk membentuk komuniti dengan masa depan bersama bagi umat manusia.

Mengulas mengenai ucapan itu, Ban berpendapat bahawa pemikiran tersebut memberikan inspirasi kepada negara anggota PBB, selain turut bersetuju bahawa dunia ketika ini memerlukan solidariti dan usaha bersama.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kisah peribadi, termasuk hadiah bahan kaligrafi tradisional yang diterimanya daripada Xi sebagai tanda penghargaan.

“Ketika berjumpa dengan Xi, saya tidak pernah sebut tentang minat terhadap kaligrafi Cina. Selepas mengetahuinya, dia telah menghadiahi saya dengan satu set kelengkapan menulis.

“Hadiah itu cukup bermakna, sehingga saya tidak sanggup menggunakannya,” kata Ban sambil memberitahu bahawa hadiah itu disimpan secara rapi sehingga kini.

Ban memuji komitmen Xi dalam menangani perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan rendah karbon.

“Di bawah kepimpinan Xi, China komited untuk mempromosi pembangunan mampan dan rendah karbon, serta secara rancak membangunkan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mempamerkan tindakan dan keazaman yang terpuji,” tambahnya.

Menyentuh mengenai pembangunan yang disifatkan sebagai matlamat bersama semua negara, Ban turut berpandangan bahawa China telah berganding bahu dengan negara-negara lain untuk mencapai kemakmuran dan pembangunan bersama.

Melalui inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC), dan konsep pembangunan bersama, Ban percaya China, di bawah kepimpinan Xi, telah menawarkan penyelesaian baharu untuk cabaran global.

“Xi percaya bahawa kejayaan China berkait rapat dengan kejayaan dunia,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya selaku Pengerusi Forum Boao untuk Asia, Ban akur terhadap sokongan berterusan China dalam membina konsensus dan kerjasama serantau.

“Kita mesti terus bersatu untuk mencapai keamanan dan kemakmuran bersama,” kata Ban mengakhiri wawancaranya

Mantan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon ketika menerima wawancara eksklusif People’s Daily. (Foto Yuan Xiaohai/People’s Daily)

Video

Berita Berkaitan