Pasaran Pelancongan Warga China ke Luar Negara Terus Bertumbuh Pada 2024

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 26 Disember 2024
Pasaran Pelancongan Warga China ke Luar Negara Terus Bertumbuh Pada 2024
Pelancong China sedang bergambar semasa di Antartika. (Foto daripada Kumpulan UTour)

Pada 2024, pelancong China dilihat teruja untuk menerokai lebih banyak negara dan berjalan lebih jauh, dengan negara seperti Thailand, Singapura dan Malaysia yang menawarkan dasar bebas visa kepada pelancong China menjadi destinasi popular, di samping negara-negara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Difahamkan, pelancong China lebih menekankan terhadap aspek kualiti pengalaman perjalanan dan keperluan tersuai, yang cuba untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tempatan di destinasi yang mereka lawati.

Maklumat yang dipetik daripada pelbagai agensi pelancongan dan platform dalam talian mendapati bahawa negara-negara bebas visa telah menjadi pilihan utama dalam kalangan warga China bagi pelancongan luar negara pada tahun ini, yang membolehkan mereka melakukan perjalanan secara lebih spontan.

Menurut statistik setakat 1 Disember, Thailand telah menerima sejumlah 6.21 juta pelancong China tahun ini, sekali gus menjadikan China sebagai sumber pelancong terbesar di negara itu.

Pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 1.45 juta perjalanan telah dilakukan oleh pelancong China ke Singapura, yang melebihi daripada negara lain. Di Malaysia pula, ia telah dilawati lebih daripada 2.5 juta pelancong China, yang melebihi rekod pada tempoh sama tahun 2019. Angka tersebut dijangka akan mencapai sehingga 5 juta menjelang hujung tahun nanti.

Pengarah Institut Penyelidikan Antarabangsa di Akademi Pelancongan China, Yang Jinsong berpendapat bahawa pelancongan ke luar negara pada 2024 terus memulih dan hampir menyamai pada paras tahun 2019.

Jelasnya, antara trend paling menonjol pada tahun ini termasuk permintaan tinggi terhadap pengalaman pelancongan berkualiti tinggi, serta pembangunan produk premium dan pengoptimuman rantaian bekalan oleh penggiat industri.

Yang berkata, kemudahan yang ditambah baik seperti kelancaran proses visa dan pilihan penerbangan turut menjadi faktor kepada pertambahan pelancongan luar negara.

Agensi pelancongan China, CYTS Tours memaklumkan bahawa pasaran pelancongan ke luar negara memperlihatkan pemulihan yang kuat pada tahun ini, dengan terdapat kenaikan signifikan pada jumlah pelancong dan perbelanjaan.

Data daripada Qunar, penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian China menunjukkan bahawa terdapat 50 peratus kenaikan dalam tempahan hotel di kawasan pelancongan luar negara yang popular, dia ia dijangka akan melangkaui jumlah pada tahun 2019.

Platform perkhidmatan pelancongan, Fliggy dalam statistiknya pula memberi petanda bahawa sekumpulan destinasi khusus dengan keunikan landskap kebudayaan dan semula jadi serta pengalaman yang berbeza telah menjadi ‘kuda hitam’ dalam pelancongan ke luar negara pada tahun ini.

Memetik platform itu lagi, negara seperti Nigeria, Zambia, Chile, Turkiye, Serbia, Kazakhstan, Croatia, Republik Czech, Hungary, dan Belgium telah didapati mempunyai pertumbuhan tinggi dalam tempahan pelancongan.

Mutakhir ini, pengarah Organisasi Pelancongan Serbia, Marija Labovic menyatakan bahawa angka pelancong China yang melawat Serbia untuk sembilan bulan pertama 2024 telah meningkat kepada 71 peratus berbanding tempoh sama tahun terdahulu.

Begitu juga dengan negara-negara BRI, apabila pengendali pelancongan China iaitu UTour Group berkata bahawa negara-negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Afrika Selatan, Mesir, Kenya, Tanzania, Zimbabwe telah secara aktif menyasarkan pasaran pelancongan China dengan menawarkan perkhidmatan lebih menyenangkan bagi menarik kehadiran pelancong negara Tembok Besar.

Penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian, Mafengwo pula memberitahu bahawa Asia Tengah telah menjadi destinasi popular bagi pelancong golongan muda yang mencari elemen baharu.

Tambah agensi itu lagi, siri TV popular “To the Wonder” bukan sahaja mendorong pelancongan di Xinjiang, malah turut mempromosikan Kazakhstan yang mempunyai landskap serupa.

Pada masa sama, Uzbekistan yang mempunyai sejumlah besar tapak Warisan Dunia juga telah memperlihatkan kenaikan signifikan dalam minat pelancongan, dengan Samarkand, Tashkent dan bandar purba Khiva telah mendapat perhatian paling tinggi.

Susulan dasar pengecualian visa yang dimeterai antara China dan Uzbekistan pada awal Disember, carian mengenai pelancongan Uzbekistan telah meningkat sehingga 97 peratus berbanding bulan yang sebelumnya.

Pengarah Akademi Pelancongan China, Dai Bin berkata terdapat pertambahan pelancong China kini yang mahu berbelanja untuk kualiti semasa melancong, termasuk memilih tempat tinggal yang lebih baik, menjamu selera di tempat dengan mutu lebih tinggi, menerokai galeri seni dan muzium, serta menghadiri pertunjukan persembahan yang unggul.

Foto bertarikh 16 Oktober 2024 ini memaparkan reruai pemeran Uzbekistan di Pasaran Pelancongan dan Perjalanan Luar Negara China 2024 di Beijing. (vip.people.com.cn/Du Jianpo)

Video

Berita Berkaitan