China, Mesir Menentang Paksakan Rakyat Palestin Pindah dari Gaza

(CRI)Ahad 23 Februari 2025

Menteri Luar China, Wang Yi membuat perbincangan telefon dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty mengenai situasi serantau dalam perjalanannya pulang ke China setelah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 di Johannesburg pada Sabtu.

Setelah memberi taklimat mengenai perkembangan terkini situasi di Gaza, Badr Abdelatty mengatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan negara-negara Arab untuk merangka pelan pembinaan semula, sementara itu menentang tindakan yang memaksa rakyat Palestin meninggalkan kampung halaman mereka.

“Pihak Arab mementingkan peranan istimewa dan penting yang dimainkan China sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan presiden bergilir pertubuhan itu pada bulan ini, dan berharap mendapat sokongan China dalam pemulihan keamanan dan pembinaan semula Gaza,” kata beliau.

Wang Yi pula menyatakan, China menyokong pendirian yang adil negara-negara Arab, menolak rancangan yang memaksa rakyat Palestin berpindah dari Gaza, dan berharap perjanjian gencatan senjata dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin, dan masa depan Gaza perlu ditentukan dengan sikap menghormati aspirasi rakyat Palestin. Pelan tadbir urus pasca perang di Gaza perlu dilaksanakan dengan mencerminkan prinsip ‘pentadbiran Palestin diterajui rakyatnya’.

“Hanya berpegang kepada Penyelesaian Dua Negara, isu berkenaan barulah dapat diselesaikan secara tuntas bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan pada akhirnya,” kata Wang.

Video

Berita Berkaitan