Robot Manusia Berjaya Lakukan Aksi ‘Front Flip’

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 25 Februari 2025
Robot Manusia Berjaya Lakukan Aksi ‘Front Flip’

Gempar dunia teknologi baru-baru ini dengan berita kejayaan sebuah robot manusia melakukan aksi balik kuang depan atau ‘front flip’ untuk julung kalinya. Pengumuman berbentuk video yang dibuat oleh pembangun, Shenzhen Zhongqing Technology pada 23 Februari turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial pada hari yang sama.

Lompatan balik kuang depan amat memberatkan imbangan dinamik, daya pecutan sekelip mata dan pendaratan yang jitu oleh robot. Berbanding dengan aksi balik kuang belakang, kawalan pusat graviti bagi baling kuang depan adalah lebih rumit manakala tuntutan halaju sudut pula lebih besar. Robot berkenaan perlu menyesuaikan postur dan mengatasi inersia ketika di udara, dan membetulkan trajektori gerakan dalam masa nyata menggunakan sensor.

Syarikat Zhongqing Technology diasaskan pada Oktober 2023 dengan pasukan seramai 50 orang, dan telah mencapai dua kejayaan besar dalam masa hanya 16 bulan.

Empat bulan lalu, Zhongqing Technology melancarkan robot manusia pertama di dunia dengan gaya jalan berlutut tegak yang elegan, menggantikan mod berjalan biasa dengan kaki dan lutut bengkok. Kejayaan melakukan aksi ‘front flip’ juga menjadi satu batu tanda baharu yang membawa robot daripada sekadar “berjalan” kepada “gerakan kompleks”.

“Kami berharap dapat mencipta robot yang memiliki tahap kebebasan dan kepintaran yang tinggi untuk digunakan dalam pelbagai senario, misalnya perkhidmatan komersial, teknologi polis dan pembuatan pintar.

Memetik Yao Qiyuan, pengasas bersama merangkap ketua pemasaran Shenzhen Zhongqing Robot Technology Co., Ltd., pihaknya akan terus melakar kemajuan dalam penciptaan robot yang mampu melakukan gerakan lebih mencabar dan meneroka keupayaan kawalan gerakan pada tahap lebih tinggi.

Sebagai pusat inovasi teknologi global, kadar penyetempatan syarikat-syarikat robot terunggul Shenzhen melebihi 90%, sementara kadar penyetempatan rantaian bekalan pula setinggi 60%. Ini mewujudkan sebuah ekosistem yang lengkap, daripada komponen teras hinggalah integrasi sistem. Shenzhen sedang mempercepat ayunan langkahnya ke arah “bandar robot manusia pertama”.

Zhongqing Technology baru-baru ini selesai menjalankan satu pusingan pembiayaan berjumlah ratusan juta yuan dengan penglibatan modal dari Asia Barat, sekali gus menyuntik momentum kuat ke dalam penyelidikan dan pembangunan teknologinya.

Video

Berita Berkaitan